JIKA
seseorang pelajar diberikan ujian oleh guru yang mengajar, tujuannya untuk
menguji sejauh mana anak-anak muridnya memahami apa yang diajarkan dan untuk
mengetahui sejauhmana prestasinya menerima pelajaran. Daripada ujian itu
dapatlah diketahui siapakah yang
mendapat markah tertinggi dan siapakah yang gagal.
Bagi Allah, untuk mengetahui sejauh
manakah tahap keimanan hamba-hamba-Nya, diturunkanlah musibah dengan harapan
musibah itu akan menjadi kayu ukur sejauh mana kesabaran, redha dan syukurnya
umat manusia. Mereka yang bersyukur, sabar dan redha dengan setiap musibah akan
menerima darjat dan ganjaran yang tinggi.
Sebenarnya banyak hikmah selepas
menerima sesuatu musibah itu di antaranya menjadikan seseorang itu lebih tabah,
kuat, yakin dan bersemangat jika dibandingkan dengan sewaktu belum menerima
musibah. Mereka yang pernah ditimpa musibah pasti mengakui keyakinan mereka
terhadap Allah semakin meningkat serta bertambah sabar serta yakin musibah yang
Allah timpakan bukan satu kezaliman tetapi tanda bukti kasih sayangnya.
Allah menurunkan musibah kepada
hamba-hamba-Nya pada waktu yang lain kemudian mngurniakan hikmahnya pada waktu
yang lain pula. Jarak waktu di antara menerima musibah dengan waktu Allah
memberikan hikmahnya, sudah ditentukan oleh Allah pada masa yang sesuai. Tidak
mungkin ketika itu ditimpakan musibah, ketika itu juga akan menerima hikmahnya.
Pada masa perbezaan jarak inilah,
Allah melihat sikap dan tindak-tanduk hamba-hamba-Nya menerima musibah. Sudah
pasti ada yang bersyukur, sabar dan redha
dan ada juga yang memberontak, sukar menerima kenyataan, buruk sangka
dan menyalahkan Allah.
Ketika inilah Allah menilai
siapa-siapakah para hamba-Nya yang berharap sepenuhnya kepada Allah dan siapa
yang berpaling. Sesiapa yang mengharapkan pertolongan, Allah akan memberikan pertolongan
dan sesiapa yang kufur akan merasai balasan Allah yang pedih.
Jika besar musibah yang menimpa,
semakin besar dan banyak pula pahala dan ganjaran yang diterimanya. Jika kecil
musibah itu, kecil jugalah pahala yang diterimanya. Ini berdasarkan hadis daripada Anas bin malik, Rasulullah SAW
bersabda, “ Sesungguhnya besarnya ganjaran itu diilai pada besarnya bala yang
menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum ,
maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha
dengan ujian yang menimpa, dia akan memperolehi keredhaan Allah dan barangsiapa
yang tidak, maka padanya kemurkaan Allah.” – Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Albani.
Meskipun besar atau kecilnya
ganjaran yang diberikan oleh Allah bergantung kepada besar atau kecilnya
sesuatu musibah, kita jangan sekali-kali beranggapan kasih sayang Allah
terhadap para hamba-Nya sama dengan kasih sayang di antara manusia dengan
manusia lain.
Kasih sayang Allah terhadap para
hamba-Nya bukan sahaja ditimpakan anugerah dan kurniaan nikmat hidup tetapi
termasuk juga musibah yang berupa kesakitan, kelaparan, kematian, penderitaan,
ketakutan, kehilangan harta benda, pangkat, kuasa dan sebagainya.
Bezanya kasih sayang manusia
terhadap manusia terhad hanya kepada pemberian anugerah atau nikmat yang berupa
kebaikan atau kegembiraan tetapi kasih sayang Allah terhadap para hamba bukan
sahaja berupa nikmat tetapi juga keburukan. Untuk itu bukanlah mudah untuk
meraih kasih sayang Allah selagi tidak
diuji dengan musibah atau penderitaan.
Bukan sahaja mendapat ganjaran
pahala, mereka yang redha dan bersabar akan memasuki syurga. Ini berdasarkan
janji allah dalam surah al-Baqarah ayat 214 bermaksud, “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padal belum
sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)
seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum
kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan
(dengan ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang
beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”
Ketahuilah sesungguhnya pertolongan itu dekat (asalkan kamu bersabar dan
berpegang teguh kepada agama Allah.
Justeru apabila diuji dengan
pelbagai musibah di dalam hidup, anggaplah ia satu peluang mendapatan kaish
sayang Allah dan laluan untuk menuju ke syurga asalkan sahaja kita dan
bersyukur dengan musibah yang diterima meskipun ia menjengkelkan hati.
Jika di dalam hidup ini, kita mendapat
secara percuma semua nikmat Allah, apabila tiba masanya kita diuji dengan
musibah, buktikan dengan kesyukuran apabila ditimpa ujian yang menyakitkan.
Semoga kita menjadi manusia yang meletakkan Allah di tingkat paling atas
berbanding perkara-perkara lain.