Jumaat, 28 November 2014

UTAMAKAN ALLAH APABILA DITIMPA MUSIBAH



RAMAI beranggapan apabila kita ditimpa sesuatu musibah, jawapannya bukan pada Allah sedangkan pada hakikatnya pemberi musibah itu Allah, sudah tentu Allah memiliki jalan penyelesaiannya dan kepadanya memohon pertolongan. Oleh kerana beranggapan seperti itu, tidak hairanlah ada manusia hilang pertimbangan kerana tidak tahu kepada siapa mahu mengadu.

            Manusia sering lupa, apabila ditimpa musibah jangan terus cuba selesaikan musibah itu.  Cara yang betul ialah bertaubat dahulu, memohon keampunan kepada Allah seraya memohon pertolongan. Bukankah musibah itu sebagai teguran atau peringatan supaya kita kembali kepada-Nya?

            Setelah kita bertaubat dan memohon keampunan, barulah kita selesaikan masalah atau musibah itu dan pasti Allah akan menunjukkan jalan keluar setelah berdoa memohon pertolongan. Perlu diingat, dalam hal ini jangan sekali-kali pinggirkan Allah sebagai pemberi musibah.

            Sebagai contoh apabila kita ditimpa sesuatu penyakit serius. Iktikad kita hanyalah terus berjumpa doktor kerana mereka berpendapat hanya doktor sahaja yang boleh memberikan ubat dan menyembuhkan penyakitnya. Mereka lupa, yang memberikan penyakit adalah Allah dan Allah jugalah yang berkuasa menyembuhkan penyakit.

            Di dalam minda mereka, Allah tidak ada kaitan dalam perkara ini lalu mendahulukan doktor dan mengenepikan Allah dalam urusan menyembuhkan penyakitnya. Tidak salah untuk mendapatkan rawatan doktor kerana doktor hanyalah perantara Allah untuk menyembuhkan penyakit, bukannya doktor penyembuh penyakit.

            Apabila kita mendahulukan yang lain selain Allah, itu yang menyebabkan pertolongan Allah lambat sampai atau dalam erti kata lain musibah atau ujian itu lambat untuk diselesaikan sedangkan Allah itu yang lebih dekat dengan manusia. Ini dijelaskan dalam surah al-Qaaf ayat 16 bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dan Kami ketahui apa-apa yang ada di dalam hati (bisikan hati) mereka dan Kami lebih hampir kepadanya dari urat lehernya.”

            Dari segi logiknya apabila rumah kita dimasuki perompak atau pencuri, kepada siapakah kita memohon pertolongan kalau bukan jiran-jiran yang berdekatan. Tidak mungkin kita akan meminta tolong kepada mereka yang tinggal berjauhan. Begitulah juga apabila kita ditimpa musibah, tempat pertama mengadu ialah Allah.
             
            Contoh lain,  seseorang akan dipenjarakan atau dihadapkan ke mahkamah lalu diisytiharkan muflis sekiranya gagal membayar hutang-hutangnya. Di dalam pemikiran mereka, jalan penyelesaikan ialah dengan menyediakan wang ringgit untuk melunaskan hutang dan mengelakkan dari di penjara atau diisytiharkan muflis.

            Ya, sememangnya mustahil Allah akan menggugurkan wang dari langit untuk melunaskan hutang  orang berkenaan sekiranya dia bertaubat, mengadu dan memohon pertolongan daripada Allah kerana jawapan daripada penyelesaikan ini ialah wang. Tetapi bukan mustahil jika Allah mengirimkan malaikat lalu memberikannya wang untuk menyelesaikan hutangnya itu.

            Persoalannya di sini, jangan berkiblatkan wang untuk mencari jalan penyelesaikan tetapi berkiblat dahulu kepada Allah dan Allah akan memberikan pertunjuk bagaimana supaya hutang itu dapat diselesaikan. Kalaupun tidak semestinya hutang itu mesti diselesaikan pada tempoh tertentu, apabila meminta pertolongan Allah, bukan mustahil jika si pemberi hutang lembut hatinya supaya hutang dibayar beransur ansur atau dikurangkan jumlahnya.

            Perancangan Allah tidak ada sesiapa pun tahu. Walaupun jika orang yang berhutang itu tidak dapat menyesaikan hutangnya, dan ia dipenjara atau muflis, hikmahnya akan memberi keinsafan kepadanya supaya jangan suka berhutang. Pengalaman merengkok di penjara atau muflis akan mematangkan dirinya kemudian bangkit semula selepas dibebaskan.

            Mereka menjadi manusia baru bahawa perancangan atau pertolongan Allah dikemudiankan dengan orang yang berhutang ini lebih berhati-hati lalu berusaha bangkit semula mengumpul kekuatan dengan memperbaiki kehidupannya semula.

            Bukan mustahil, orang yang sudah jatuh tertiarap akhirnya perlahan-lahan bangun semula dan kemudian mampu berlari dan menjadi gagah, lebih gagah daripada sebelum dia jatuh tertiarap.

            Sebenarnya perancangan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang memohon pertolongan dan mendahulukan Allah daripada segala-galanya sangat unik dan tidak terjangkau oleh pemikiran  manusia.  Berapa ramai orang yang ditimpa musibah tetapi mereka istiqamah bersabar dan redha, akhirnya mereka berjaya bangkit semula dengan kejayaan yang luar biasa.

            Itulah juga yang dijanjikan oleh Allah dalam al-Quran setiap kesusahan yang dilalui akan ada kesenangan pada akhirnya. Cuma apa yang penting di sini, jadikan Allah sebagai rujukan pertama sekiranya ditimpa sesuatu musibah.        



Khamis, 27 November 2014

MUSIBAH ITU SATU AMANAH



WALAUPUN musibah seringkali dikaitkan dengan sesuatu keburukan, tetapi perlu diingatkan musibah bukan sahaja satu bentuk pembalasan tetapi kenikmatan, kemewahan, kekayaan, kuasa dan sebagainya juga merupakan satu musibah berbentuk Ibtila.’ Apa pun bentuk musibah, ia sebenarnya satu amanah yang wajib dipertanggungjawabkan.

            Apabila musibah dalam bentuk ibtila’ ini diberikan,  Allah akan memerhatikan ke manakah nikmat ini disalurkan sama ada ke jalan yang diredhai Allah ataupun digunakan untuk tujuan kemaksiatan. Yakinlah, apabila kenikmatan ini disalahgunakan ia akan mengundang kemurkaan Allah.

            Rasulullah SAW pernah mengingatkan, sabdanya, “Tidaklah tergelincir  kaki seorang anak Adam pada hari kiamat di sisi Tuhannya sehingga ditanya mengenai lima perkara: Tentang umurnya, dalam perkara apa dia habiskan; tentang masa  mudanya, dalam perkara apa dia habiskan; tentang hartanya, dari mana ia perolehi dan untuk perkara apa dihabiskan; dan apa yang sudah dia amalkan dari ilmunya,” – Hadis oleh At-Tirmizi dan Abdullah bin Mas’ud ra.

            Sementara jika seseorang ditimpakan musibah seperti kehinaan, kehilangan, kematian, ditimpa penyakit dan seumpamanya, wajar sekali untuk bersabar kerana kesabaran itu nanti akan membenihkan pahala.

            Ini dijelaskan dalam surah Al-Imran ayat 186 bermaksud, “Kalian sungguh-sungguh akan diuji terhadap harta dan diri kalian. Kalian sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberi kitab sebelum kalian dan dari orang-orang musyrik gangguan yang banyak. Jika kalian bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya  yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.”

            Sebenarnya Allah menguji hamba-hamba-Nya bukan sahaja perkara keburukan tetapi juga perkara kebaikan. Ini dijelaskan dalam surah Al-A’araf  ayat 168 bermaksud, “Dan Kami bagi-bagi mereka di dunia kepada beberapa golongan, di antaranya ada orang-orang yang soleh dan di antaranya ada yang tidak demikian. Dan Kami Cuba mereka dengan kebaikan dan keburukan agar mereka kembali.”

            Bezanya musibah dalam bentuk kebaikan jarang disebut ‘musibah’ tetapi kenikmatan atau anugerah manakala perkara keburukan sering disebut sebagai mala petaka atau bencana. Ramai di antara kita sukar hendak menerima musibah kerana selama ini sudah mendapat pelbagai nikmat Allah.

            Siapakah yang mahu menerima musibah berbentuk kehilangan harta benda, kehilangan  nyawa, kecacatan, penyakit kronik, dihina dan difitnah, kegagalan hidup, hilang pekerjaan, tidak memiliki anak dan seumpamanya?

            Bentuk  musibah yang dinyatakan, di luar kemampuan manusia untuk mengawalnya manakala musibah yang berlaku di dalam diri berpunca daripada sikap angkuh, sombong, malas, suka berdengki dan menfitnah, pendendam, rakus, zalim dan seumpamanya.

            Musibah dalam bentuk kenikmatan atau anugerah ini akan menyebabkan tumbuhnya sifat-sifat yang disebutkan di atas. Sebagai contoh, apabila mereka dikurniai kemewahan, pangkat dan harta, mereka mahu dihormati, dipuji dan disanjung.

            Sangat sedikit mereka yang dikurniai nikmat seperti ini sudi bermusahabah diri sebaliknya ingin menunjukkan mereka berkuasa dan berbanga-banga dengan nikmat yang  mereka perolehi hasil usaha sendiri sedangkan pada hakikatnya Allah yang mengurniakan nikmat itu.

            Allah sebenarnya mahu melihat sejauh mana kesyukuran mereka menerima nikmat itu. Sekiranya mereka masih bergelumang dengan maksiat, yakinlah musibah dalam bentuk mala petaka akan menimpa. Tetapi jika terus bersyukur dengan nikmat itu, Allah akan mennambahkan lagi nikmat yang diperolehi itu.

            Sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan, sudah tentu manfaatnya akan kembali kepada pelakunya. Manakala mereka yang melakukan kejahatan, musibah akan menimpa sama ada ketika di dunia atau di akhirat.

            Allah menegaskan dalam surah Al-Mukminun ayat 40 bermaksud, “Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amal yang soleh baik laki-laki atau perempuan sedangkan ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, meeka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.”

            Oleh kerana musibah itu satu amanah, mereka yang ditimpa tidak sewajarnya  ‘lari’ atau mengelak malah bertanggungjawab untuk memikul sekaligus  menerima dan menyelesaikan musibah itu sebaik mungkin. Bagi orang yang beriman, mereka sangat rindukan musibah kerana musibah itu akan menguji sekalgus akan meningkatkan darjat mereka di sisi Allah.





MENGAPA ALLAH MENIMPAKAN MUSIBAH



RAMAI manusia mengeluh apabila ditimpa sesuatu musibah. Apatah lagi jika musibah itu bukan suatu yang diharapkan. Manusia  buruk sangka terhadap Allah kerana manusia lebih suka kepada kenikmatan berbanding musibah. Ibnu Qayyim dalam Syifaa ul ‘Aliil berkata, “Seandainya manusia mengetahui bahawa nikmat Allah yang ada dalam musibah itu tidak lain seperti halnya nikmat Allah yang ada dalam kesenangan, nescaya hati dan lisannnya akan selalu sibuk mensyukurinya.”

            Berapa ramai manusia yang beranggapan musibah Allah itu sebenarnya satu nikmat yang tidak ternilai kerana ada keuntungan di sebaliknya tetapi sayang, tidak semua manusia berfikiran yang sama. Oleh kerana nilai yang tinggi dan ada keuntungannya di sebaliknya, hanya sebilangan kecil manusia redha menerima musibah. Itu pun hanya kepada manusia yang benar-benar beriman kepada Allah.

            Ini ditegaskan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang hamba ditimpa sesuatu musibah lalu mengucapkan, “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raajiun, allahumma jumii fii mushiibatti wa akhlif lii khairan minhaa.” (Sesungguhnya kita berasal dari Allah dan akan kembali kepada-NYA. Ya, Allah, berikanlah aku ganjaran dalam musibahku ini, dan berikanlah ganti kepadaku dengan yang lebih baik darinya) melainkan Allah memberikan pahala dan musibahnya itu, dan menggantikan dengan yang lebih baik baginya.” – Hadis riwayat Muslim.

            Sungguh, syurga itu mahal harganya. Bukan sebarang orang boleh memasukinya dan bukan sedikit cubaan yang perlu ditempuhi sebelum melepasi ujian yang Allah berikan. Hanya mereka yang redha dan sabar dengan pelbagai musibah sahaja mampu menempatkan diri di dalam syurga yang pebuh kenikmatan.

            Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seseorang yang benar-benar memiliki kedudukan di sisi Allah, namun tiada satu amal yang dapat menghantarkannya  ke sana. Maka Allah sentiasa mencubanya dengan sesuatu yang tidak disukainya, sehingga mereka mampu sampai ke kedudukan itu.” – Hadis oleh Abu Ya’ala, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.

            Orang yang bertakwa dan beriman tidak akan bertanya mengapa Allah memberikan musibah kepada tetapi sentiasa bersyukur dengan apa yang diterimanya sama ada ia berupa musibah atau kenikmatan.  Apabila diuji dengan musibah, mereka bersykur kerana sekurang-kurangnya Allah telah menghapuskan sebahagian dosa-dosanya. Bagi mereka musibah atau ujian hanya  seperti orang yang dikejutkan dari kelekaan atau kelalaian lalu apabila tersedar, mereka segera ingat kepada Allah.

            Ungkapan ‘Bismillahir Rahman nir Rahim’ yang bermaksud, Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, mengingatkan betapa Allah sangat sayangkan hamba-hamba-NYA. Tetap malangnya apabila manusia ditimpa musibah, mereka pula mempersoalkan di manakah kasih sayang Allah apabila ditimpakan musibah.

            Jika manusia  mengasihi, mencintai atau menyayangi seseorang, mahukah mereka memberikan ujian berupa kesedihan, kekurangan, kehilangan dan sebagainya? Tentu tidak, tetapi kasih sayang  Allah tentulah berlainan dengan kasih sayang  manusia terhadap manusia lain.

            Musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan, kehilangan dan yang seumpamanya akan membuatkan manusia tertanya-tanya, tidak sayang lagikah Allah kepadaku? Tanggapan buruk seperti ini  hanya lahir dalam pemikiran manusia tetapi perancangan Allah mengandungi banyak hikmah  dan kebaikan seumpama  ubat yang pahit untuk ditelan tetapi yang pahit itulah yang akan menyembuhkan penyakit.

            Terlalu besar hikmah Allah yang tidak terjangkau oleh  pemikiran manusia. Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, “Barangsiapa menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-NYA, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.

            Ibnu Ataillah mahu menjelaskan, apa juga ujian Allah pasti bermaksud baik walaupun pahit bagi manusia. Beliau menegaskan lagi, “Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati dan memikirkan dengan akal agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”

PERBEZAAN DI ANTARA MUSIBAH DAN IBTILA'



MUSIBAH atau disebut juga sebagai ‘ibtila’  merupakan satu bentuk musibah dariapada Allah kepada para hamba-NYA. Allah tidak sesuka hati menurunkan musibah kepada sesiapa sahaja tetapi hanya ditimpakan ke atas hamba-hamba-NYA yang terpilih dan disayangi.

        Sebagai hamba apakah kita berasakan diri kita sudah cukup bagus dan taat kepada perintah-NYA? Apa buktinya? Memang sukar hendak ditunjukkan buktinya. Pada mata kasar, kita sudah melakukan sebaik mungkin segala perintah dan menjauhi larangan-NYA. Tetapi apakah itu sudah mencukupi?

            Ya, kita berasakan apa yang kita lakukan itu sudah mencukupi tetapi pada pandangan Allah tidak begitu. Justeru untuk mengetahui sama ada kita benar-benar beriman atau tidak, dugaan atau musibahlah yang akan memberikan jawapannya. Lihatlah apakah reaksi seseorang apabila ditimpa musibah.      
             
            Sekiranya seseorang itu redha, dia akan menerimanya dengan rasa syukur dan sabar tanpa ada alasan kerana mereka yakin, selain darjat mereka akan dimuliakan, mereka juga akan diberikan ganjaran yang setimpal dengan musibah itu. 

              Ini  dijelaskan dalam surah Al-Kahfi ayat 7 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menjadkan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar Kami menguji mereka siapakah  di antara mereka yang terbaik perbuatannya.”

            Mungkin ramai di antara kita tidak mengetahui apa sahaja kurniaan Allah di muka bumi ini sebenarnya alat untuk menguji manusia. Manusia diuji dengan kekayaan, kemewahan, pangkat, kuasa, harta benda dan sebagainya. Manusia juga diuji dengan kemiskinan, kelaparan, kehinaan, kemelaratan dan sebagainya.

            Mereka yang diuji itu akan dinilai oleh Allah berpandukan tindak tanduknya sebaik sahaja diberikan musibah sama ada mereka   bersyukur dengan nikmat Allah atau mereka menjadi kufur atau lupa diri. Dalam surah Muhammad ayat 31, Allah menegaskan, “Sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kalian, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) keadaan kalian.”

            Perbezaan di antara musibah dan ibtila’ tidaklah begitu ketara sangat. Musibah sesuai yang tidak disukai yang lazimnya dikaitkan dengan mala petaka manakala ibtila’ merupakan satu kejelekan dan tidak disukai tetapi pada masa yang sama, ia juga baik menurut pandangan manusia seperti kenikmatan dan kesenangan hidup.

            Di dalam al-Quran, Allah ada menjelaskan mengenai perkara ini, di antaranya dalam surah al-Anbiya ayat 135 bermaksud, “Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan hanya kepada Kamilah kalian dikembalikan.”

            Surah Al-A’araf ayat 168 bermaksud, “Kami bahagi-bahagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan, di antaranya ada orang-orang yang soleh dan di antaranya ada yang tidak demikian. Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (musibah) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

            Surah Al-Fajr ayat 15-16 bermaksud, “Adapun manusia apabila Rabbnya mengujinya dengan memuliakannya dan memberinya kenikmatan, maka dia akan berkata, “Rabbku telah memuliakanku.” Adapun apabila Rabbnya mengujinya dengan membatasi rezekinya, maka dia berkata, “Rabbku telah menghinakanku.”

            Surah An-Nahl ayat 40 bermaksud, “Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata: Ini termasuk kurnia Rabbku untuk mencuba aku, apakah aku bersyukur atau mengengkari (akan nikmat-NYA). Barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingka, maka sesungguhnya Rabbku itu Ghaniy (Maha Kaya) lagi Karim (Maha Mulia).”

            Di sini, musibah lebih berupa hukuman sama ada di dunia ataupun akhirat manakala ibtila’ lebih berbentuk ujian sama ada sesuatu yang buruk atau kenikmatan. Bagaimanapun kadang-kadang ‘ibtila’ itu wujud hasil redhanya Allah berbeza dengan musibah yang wujud hasil kemarahan dan kemurkaan Allah.

            Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya besar pahala diiringi dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya Allah apabila mencintai suatu kaum akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha maka dia akan mendapat redha Allah dan barangsiapa yang marah maka dia mendapat kemarahan Allah,” – Hadis At-Tirmizi dari Anas bin Malik.