KALAU burung pun
sanggup keluar pagi-pagi buta mencari rezeki, mengapa kita yang celik mahu
menunggu matahari tegak di atas kepala baru nak keluar mencari rezeki? Itulah
bezanya burung dengan manusia.
Burung yang ada nafsu
tetapi tidak ada akal pun tahu, mencari rezeki pagi-pagi itu satu keberkahan.
Tetapi kita, sudahlah solat subuh ditinggal, ada hati pulak nak rezeki
murah?Bangun pula sesudah ayam jantan tak berkokok lagi!
Burung dan ayam jantan
pun tahu, bangun mesti pagi untuk cari rezeki. Haiwan itu tahu rezeki tak
datang bergolek, tapi manusia mengharapkan rezeki datang bergolek. Pelikkan?
Tidak kiralah sama ada
bekerja sendiri atau bekerja dengan majikan, sifat malas manusia memang susah
nak ubah. Kalau hari tidak bekerja, bangun lewat sudah pasti. Kalau bangun
solat subuh sekalipun, selesai solat nak sambung sambung mimpi lagi.
Kalau begini, macam
manalah rezeki nak datang. Waktu-waktu subuh beginilah, Allah SWT menurunkan
keberkahan kepada sesiapa yang berusaha mencari rezeki.
Kebanyakan rezeki mesti
dicari. Rezeki tidak akan datang bergolek jika tidak ada sesiapa yang
menggoleknya. ALLAH sudah mengingatkan umatnya dalam surah ar-Ra’adu ayat 11
yang bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH tidak
akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang
ada pada diri mereka sendiri.”
Kena ingat, rezeki
mesti dicari dengan usaha. ALLAH tidak
mungkin melonggokkan rezeki di hadapan kita. Perhatikan, burung-burung pun
mesti keluar dari sarangnya untuk memenuhkan perutnya dengan terbang mencari
rezeki, tetapi kenapa manusia yang mempunyai akal dan fikiran masih duduk
termenung mengharapkan rezeki datang bergolek?
Manusia mesti mengubah
sikapnya daripada sifat malas kepada sifat rajin untuk menambahkan rezeki. Jika
manusia itu sendiri enggan mengubahnya, sampai bila-bila pun mereka tidak akan
berubah dan rezeki juga tidak akan bertambah. Hanya orang yang bersabar dengan
usahanya itu akhirnya akan memberikan hasil.
Ini dijelaskan dalam
al-Quran surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
(kepada musuh) dan berasa kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan
jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah
khabar kepada orang-orang yang sabar.”
Biasanya kalau manusia tidak diuji dengan rasa takut, kelaparan dan
kehilangan harta benda, manusia tidak akan mahu merubah hidupnya. Mereka fikir apa yang ada padanya hanyalah itulah rezeki
untuknya sedangkan ALLAH meminta supaya kita terus berusaha.
Dalam surah al-Baqarah ayat 245, ALLAH
menegaskan lagi bermaksud, “ALLAH jualah
yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezseki) dan kepada-NYAlah kamu
semua dikembalikan.”
Kalau kita rasa selama
ini rezeki kita sempit, cepat-cepatlah teropong ke dalam diri sendiri. Jangan
suka salahkan orang lain. Diri sendiri sebenarnya yang salah. Allah sentiasa
meluaskan rezeki tetapi kita yang menyempitkan. Sedar tak?
Banyak orang fikir bila
berbicara mengenai rezeki, yang terbayang di ruang mata tidak lain, duit,
duit,duit…..Habis, kalau panjang umur, sihat anggota badan, anak-anak yang
pandai, jauh daripada mala petaka atau kesusahan, itu bukan rezekikah?
Itulah, bila sudah
ditanam dalam kepala, rezeki tiu hanya wang ringgit, kita dah tak nampak lain
dah! Nikmat hidup macam angin, udara,
hujan, siang dan malam dianggap bukan rezekikah?
Bayangkanlah jika panas atau
hujan berpanjangan, bagaimanakah kita mahu mendapatkan rezeki? Tumbuh-tumbuhan tidak akan boleh hidup dalam
keadaan hujan berterusan, begitu juga dengan panas berpanjangan.