BAYANGKANLAH
jika solat subuh pun selalu tertinggal atau terlewat menunaikannya,
bagaimanakah hendak mengamalkan solat malam yakni bangun pada sepertiga malam
lebih kurang di antara pukul 3.00 pagi untuk menunaikan solat tahajud?
Walaupun hukum solat tahajud atau
solat malam ini hanya sunat sahaja tetapi kelebihannya amat besar sekali. Tidak
ramai yang tahu kelebihan yang ALLAH berikan kepada mereka yang mengamalkan
solat tahajud ini kerana waktu yang dianjurkan itu ialah waktu paling enak
untuk ‘tidur mati’.
Tetapi bagi mereka yang merasakan
kelazatan nikmat solat tahajud, mereka akan sentiasa tertunggu-tunggu detik itu
kerana saat hening seperti itulah waktu yang sesuai sekali untuk bermunajat
kepada ALLAH. Para malaikat akan turun ke dunia untuk melihat hamba-hamba-Nya
yang kusyuk menunaikan ibadah kepada ALLAH.
Kenikmatan hidup di dunia mungkin
tidak dapat dirasakan oleh mereka yang rajin bertahajud setiap malam, tetapi
ALLAH menjanjikan tempat yang terbaik pada hari akhirat kelak.
Ini ditegaskan sendiri oleh ALLAH
dalam al-Quran surah al-Israk ayat 79, ALLAH berfirman yang bermaksud, “…....dan bangunlah pada
sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah ’sembahyang tahajud’ padanya,
sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu
pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.”
Dalam
menjalinkan hubungan di antara manusia dengan ALLAH, solat tahajud merupakan
peluang keemasan yang ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan tetapi
sejauh manakah manusia merebut peluang itu? Tidak dinafikan sejumlah besar umat
membiarkan sahaja peluang kemasan itu berlalu begitu sahaja. Alangkah ruginya manusia,
setelah diberikan peluang keemasan tetapi diabaikan begitu sahaja.
Sudah
tentulah banyak alasan akan diberikan mengapa sedikit yang mahu merebut peluang keemasan itu kerana menganggap ia hanya sunat bukan perkara wajib
selain syaitan akan berusaha sedaya upaya supaya umat manusia terus tidur
daripada bangun menyembah ALLAH.
Abu
Hurairah merekodkan dalam sebuah hadis
Rasulullah s.s.w berkata, “Syaitan mengikat tengkuk kamu yang tidur
dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk pada setiap ikatan, ‘Bagimu malam yang
panjang, maka tidurlah.’ Apabila kamu bangun dan berzikir mengingati ALLAH,
maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk, terbuka satu lagi ikatan.
Apabila kamu solat, terbukalah satu ikatan lagi. Maka di pagi hari, kamu segar
dan bersemangat. Sekiranya tidak, di pagi hari tentu kamu berasa lesu dan malas.”
Begitu
hebatnya syaitan mengekang umat Muhammad daripada bangun bersolat tahajud tetapi
mereka yang pernah merasai kelazatannya
bermunajat kepada ALLAH, terasa rugi jika meninggalkan terus solat malam
ini walaupun dibelenggu syaitan setiap penjuru.
Pada
sepertiga malam pintu langit akan terbuka luas bagi sesiapa yang mahu bertaubat
dan ALLAH sudah tentu menerima taubat hamba-Nya. Manakala Malaikat yang turun
ke dunia membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api
neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Dalam
sebuah hadis direkodkan oleh Abu Daud, Rasulullah s.a.w menegaskan , “ALLAH sayang kepada lelaki yang bangun malam
kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau
isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. ALLAH sayangkan perempuan yang
bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika
suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.”
Saidina
Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa yang
mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan ALLAH
sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.”
Lima kurniaan di dunia ialah:
1.
Dijauhi daripada
segala penyakit
2.
Terdapat kesan takwa pada wajahnya
3.
Dikasihi sekalian
mukmin dan seluruh manusia
4.
Percakapannya
mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
5.
Dikurniakan
kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati).
Sementara empat perkara di akhirat ialah:-
1.
Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
2.
Dipermudahkan hisab
3.
Cepat melalui siratal-Mustaqim seperti kilat
4.
Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui
tangan kanan.
Walaupun
banyak solat-solat sunat yang dianjurkan tetapi solat tahajud adalah solat yang
penting di antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah s.a.w pernah ditanya,
“Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?” Beliau menjawab
dengan tegas, “Solat malam!” - (Hadis Riwayat Muslim).
Sekiranya
ramai umat manusia yang mengetahui keutamaan dan kelebihan solat malam ini,
mereka akan berlumba-lumba menunaikannya cuma apa yang menjadi persoalan,
sekiranya solat yang wajib pun tidak dilakukan pada waktu yang ditetapkan
bagaimanakah mahu menunaikan solat tahajud yang kebanyakan umat manusia pada
ketika itu sedang lena tidur?
Justeru
itulah mereka yang tekad bangun untuk solat malam dijanjikan oleh ALLAH
keutamaan dan kemuliaan. Dalam al-Quran surah Az-Dzariyat ayat 15- 18 ALLAH
berfirman yang bermaksud, “Sesungguhmya
orang yang takwa ialah orang yang dijanjikan syurga dengan air yang mengalir di
dalamnya. Mereka mengambil apa yang ALLAH berikan kepadanya. Mereka adalah
orang-orang yang sedikit tidur pada waktu malam dan pada sepertiga malam mereka
bangun dan memohon ampun kepada ALLAH.”
Mereka yang ikhlas menunaikan solat tahajud
adalah orang yang dikasihi ALLAH, hidup mereka sentiasa tenang dan tidak ada
sifat sombong dan jika mereka taat kepada-Nya, mereka akan mendapat
perlindungan. Ini kerana mereka bangun pada malam hari dan bersujud kepada
ALLAH dan tidak semua orang sanggup melakukannya melainkan jika benar-benar
taat kepada ALLAH.
ALLAH
menjelaskan perkara ini dalam al-Quran surah al-Furqan ayat 63-64 yang
bermaksud, “Hamba-hamba yag dikasihi
ALLAH ialah mereka yang berjalan di muka bumi ini yang tidak ada sifat sombong
dan jika mereka dianiayai oleh orang jahat, mereka tidak bimbang. Ini kerana
mereka pada malam hari akan sujud kepada ALLAH memohon perlindungan.”
Mungkin ada orang yang tidak percaya
membiasakan diri bersolat malam boleh menghindari daripada penyakit,
bagaimanapun Salman Al-Farisi menceritakan, Rasulullah s.a.w berkata,
“Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu,
jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta
penghindar penyakit.”
Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w
berkata, “Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam
terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan.
Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun
kepadaku, pasti AKU ampuni.’” - (Hadis
Riwayat Al-Jama’ah).
‘Amr bin
Al-‘Ash pula meriwayatkan Rasulullah s.a.w berkata, “Sedekat-dekat hamba kepada
ALLAH adalah pada tengah malam yang terakhir. Apabila kamu dapat menyertai
golongan orang yang berzikir mengingat ALLAH pada saat itu, maka lakukanlah.” -
(Hadis Riwayat Al-Hakim).
Bangun
solat malam bagi yang tidak biasa melakukan, bukan satu kerja mudah. Selain
daripada banyak melakukan dosa-dosa, berkemungkinan juga hal pemakanan yang
sumber yang diragui atau yang memang jelas dari sumber yang haram akan
membuatkan hati berat untuk bertahajud. Terdapat beberapa petikan dari al-Quran
dan hadis yang menganjurkan kita supaya menunaikan solat malam sebagai
menambahkan amalan tambahan dan keimanan terhadap ALLAH.
Dalam
al-Quran surah Al-Muzzamil ayat 1- 4, ALLAH
mengingatkan yang bermaksud, “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk
solat) di malam hari, kecuali sedikit daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan.”
Ayat di atas menjelaskan kepada
Rasulullah s.a.w
yang sedang
tidur untuk melakukan solat malam atau solat tahajud. Perlu diingat,
perintah solat
tahajud bukan untuk Rasulullah s.a.w sahaja bahkan kepada semua umat yang
mengaku dirinya beriman kepada ALLAH. Keikhlasan dan ketaatan kita melaksanakan
solat malam akan menjadi kayu ukur adakah iman kita sudah benar-benar sempurna?
Jika kita masih mengabaikan solat
malam, ini bermakna tahap keimanannya belumlah sempurna. Oleh itu perbaikilah
dengan melakukan solat malam biarpun sedikit tetapi tetap berterusan.
Sebuah hadis direkodkan oleh Muslim dan Ahmad, dari Jabir
r.a, ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda, “Sesungguhnya pada malam hari itu benar-benar ada saat yang seorang
muslim dapat menepatinya untuk memohon kepada ALLAH suatu
kebaikan dunia dan akhirat, pasti ALLAH akan memberikannya (mengabulkannya) doa
itu setiap malam.”
Sementara itu hadis daripada
Ahmad, Rasulullah s.a.w berpesan, “Lazimkan
dirimu untuk solat
malam kerana
hal itu tradisi orang-orang soleh
sebelummu, mendekatkan diri kepada ALLAH, menghapus dosa, menolak penyakit, dan pencegah dari
dosa.”
Dari Sahal bin Sa’ad r.a.,
ia berkata, “Malaikat Jibril datang kepada Rasulullah s.a.w
lalu berkata, ‘Wahai Muhamad, hiduplah sebebas-bebasnya, akhirnya pun kamu akan
mati. Berbuatlah semahumu,
pasti akan dapat balasan. Cintailah orang yang engkau mahu,
pasti kamu akan berpisah. Kemuliaan orang mukmin dapat diraih dengan melakukan
solat
malam dan harga dirinya dapat ditemukan dengan tidak meminta
tolong orang lain.”
Setelah memahami betapa
kelebihan dan keutamaan menunaikan solat
tahajud,
mulai saat ini bagaimana jika kita berhijrah daripada tidak pernah melakukan
solat tahajud kepada menunaikan solat tahajud setelah mengetahui keistimewaan yang bakal
dinikmati.
Untuk memudahkan
kita bangun solat malam, cubalah ikuti panduan yang diberikan ini, semoga ia
dapat menmbantu kita yang liat untuk bangun beribadah.
1.
Biasakan tidur pada awal waktu kerana apabila tidak cukup tidur akan menyusahkan untuk
bangun malam.
2.
Sebelum
masuk tidur amalkan adab tidur seperti
yang Rasulullah s.a.w lakukan. Contohnya seperti mengambil air sembahyaang ,
solat sunat, berzikir, berdoa sebelum tidur dan memasang niat untuk bangun
malam.
3.
Tidur
dalam keadaan suci dan tidak berhadas besar kerana ia akan menghalang keinginan
untuk bangun.
4.
Elak
daripada beranggapan bangun solat malam sebagai menyusahkan kerana pemikiran
seperti ini akan melemahkan semangat sebaiknya menganggap ia satu peluang yang
mesti direbut yang tidak semua orang mampu melakukannya.
5.
Hati
hendaklah senantiasa ikhlas
ketika berniat untuk bangun malam dan melakukan solat tahajud.
Niat yang ikhlas, akan meringankan pekerjaan yang dianggap berat.
6.
Sebelum
tidur, pastikan waktu yang tepat untuk kita bangun. Alat penggera seperti
telefon bimbit boleh disetkan lebih awal
untuk memudahkan kita terjaga apabila terdengar bunyi penggera itu.
7.
Elakkan
daripada menyiapkan kerja yang tidak siap
sehingga lewat malam. Ini akan
menghalang kita daripada bangun solat malam.
8.
Tidur
siang sebentar jika ada peluang supaya tidak terlalu mengantuk pada waktu malam
untuk bertahajud.
9.
Jangan
makan terlalu kenyang sebelum tidur kerana perut yang terlalu kenyang akan
membuatkan tidur ‘mati’ dan sukar untuk terjaga.
10.
Jika
bekerja pada waktu siang, pastikan tidak terlalu keletihan dan dapatkan rehat
yang secukupnya serta kurangkan aktiviti
yang memenatkan.
11.
Berlaku
adil terhadap kegiatan rohani dan jasmani kerana kedua-duanya saling memerlukan
dan jangan berat sebelah.
12.
Wujudkan
rasa kerinduan untuk bermunajat kepada
ALLAH pada setiap malam sebagaimana rindunya kita ingin berjumpa ketika berkasihan.
13.
Renungkan
betapa banyak kelebihan bakal diperoleh jika selalu solat malam dengan ikhlas.
14.
Elakkan
daripada melakukan maksiat dan dosa besar kerana ia menurunkan kadar keimanan
yang sangat nipis dan sukar untuk melakukan kebajikan.
15.
Susun
jadual dalam keluarga untuk solat malam berjamaah mengikut masa yang ditetapkan
sama ada setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali.
16.
Jangan lupa untuk
sentiasa berdoa dan memohon kepada ALLAH agar diberikan kemudahan untuk bangun malam dan
melakukan solat tahajud dengan ikhlas dan kusyuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan