Khamis, 29 Januari 2015

BERQIYAMULAIL, BERDOA DAN BERISTIGHFAR



BAGI mereka yang beriman,  apabila disebut qiamulail, sekeping hati mereka seolah-olah ditarik kerana kerinduan untuk melakukannya. Tetapi bagi mereka yang tidak pernah melakukannya dan kerana nipisnya iman, qiamulail tidak lebih hanya  perbuatan yang menyusahkan sedangkan pada waktu itulah masa  yang paling berharga untuk tidur.
        Mereka yang ingin mencari kesempurnaan iman tidak akan membiarkan peluang itu terlepas begitu sahaja apatah lagi jika qiamulail itu dilakukan secara beramai-ramai. Qiamulail merupakan satu bentuk komunikasi di antara hamba dengan ALLAH dan  salah satu cara membina rohani yang mantap dan seterusnya menjadi penjana jati diri setiap mukmin. Usaha ini memerlukan azam, kekuatan, ketabahan, dan pengorbanan kerana nafsu, iblis dan tenteranya sentiasa berusaha untuk melemahkan iman seseorang daripada taat kepada ALLAH.
         Qiamullail ialah bangun pada waktu malam dengan beribadat kepada ALLAH seperti bersolat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredaan ALLAH.
    Sewaktu berkomunikasi itu mereka akan berdoa, bermunajat, beristighfar, bertasbih dan memuji-muji ALLAH. Sebagaimana yang ALLAH janjikan, mereka yang bermunajat, berdoa, bertasbih dan memuji-mujinya akan mendapat  keberkatan yang tidak terhingga malah segala dosa-dosanya akan diampunkan dan diberi ganjaran menjadi penghuni syurga.
            ALLAH akan memperkenan, mengurniakan apa yang dipohon oleh hamba-Nya sesuai dengan kecintaan mereka kepada ALLAH, ALLAH akan mencintai mereka.  Memahami bahawa keperluan rohani juga perlu dalam hidup kita disamping keperluan jasmani untuk menseimbangkan di antara dunia dan akhirat.
        Waktu untuk solat malam ialah selepas isyak sehingga sebelum masuk subuh. Bagi solat tahajud, kita digalakkan untuk tidur dahulu walaupun seketika.   Waktu yang paling utama ialah sepertiga malam terakhir. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, “Puasa yang lebih disukai oleh ALLAH ialah puasa Nabi Daud dan solat yang disukai oleh ALLAH ialah solat Nabi Daud. Baginda tidur pertengahan malam, bangun sepertiganya (solat) lalu tidur seperenamnya. Baginda pula berpuasa sehari dan berbuka sehari.”
     Dari Jabir r.a., ia barkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya pada malam hari itu benar-benar ada saat yang seorang muslim dapat menepatinya untuk memohon kepada ALLAH suatu kebaikan dunia dan akhirat, pasti ALLAH akan memberikannya (mengabulkannya); dan itu setiap malam.” - Hadis Riwayat. Muslim dan Ahmad.
        Seseorang mukmin yang berterusan melakukan qiamullail, sudah pasti akan dicintai dan berasa dekat dengan ALLAH. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh imam Ahmad, Rasulullah s.a.w berkata, “Lazimkan dirimu untuk solat malam kerana solat malam perbuatan  tradisi orang-orang soleh sebelummu, mendekatkan diri kepada ALLAH,   menghapus dosa, menolak penyakit, dan pencegah dari dosa.”
         Oleh kerana untuk melakukan qiamulail memerlukan kesungguhan yang kental, bukan semua orang sanggup melakukannya. Meskipun ALLAH berjanji memberikan ganjaran masuk ke syurga tetapi ganjaran syurga itu belum mampu lagi untuk mendorong umat Islam melakukan qiamulail.
            Ini ditegaskan dalam sebuah hadis dari Sahal bin Sa’ad r.a., ia berkata, “Malaikat Jibril a.s. datang kepada Nabi s..aw. lalu berkata, ‘Wahai Muhamad, hiduplah sebebas-bebasnya, akhirnya pun kamu akan mati. Berbuatlah semahumu, pasti akan dapat balasan. Cintailah orang yang engkau mahu, pasti kamu akan berpisah. Kemuliaan orang mukmin dapat diraih dengan melakukan solat malam dan harga dirinya dapat ditemukan dengan tidak minta tolong orang lain.’”
      Ganjaran syurga rupa-rupanya  tidak membuatkan umat Muhammad ini berlumba-lumba berqiamulalil meskipun sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abdullah bin Salam, Rasulullah s.a.w berpesan, “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan dan solat malamlah pada waktu orang-orang sedang tidur, sesungguhnya kamu akan masuk syurga dengan selamat.”
         Meskipun dijamin masuk ke syurga dengan selamat, tidak ramai yang tertarik mahu melakukan qiamulail malah ada yang sanggup berjaga malam bukan untuk berqiamulail tetapi untuk perkara lain. Alangkah baiknya jika waktu itu digunakan untuk berqiamulail.
            Pada hari akhirat kelak, mereka yang bangun berqiamulail akan dipanggil tetapi jumlah mereka terlalu sedikit lalu mereka melangkah ke syurga dengan aman. Rasulullah s.a.w  dalam sebuah hadis yang menjelaskan perkara ini, berkata, “Seluruh manusia dikumpulkan di tanah lapang pada hari kiamat. Tiba-tiba ada panggilan dikumandangkan di mana orang yang meninggalkan tempat tidurnya, maka berdirilah mereka jumlahnya sangat sedikit, lalu masuk syurga tanpa hisab. Baru kemudiaan seluruh manusia diperintah untuk diperiksa.”
           Untuk melakukan qiamulail memerlukan kesungguhan dan keimanan yang tinggi kerana untuk meninggalkan tempat tidur pada waktu malam bukanlah mudah apatah lagi syaitan sentiasa mencari peluang untuk menghasut supaya mengengkari perintah ALLAH. Bagi mereka yang berqiamulail ALLAH akan memberikan  beberapa kelebihan seperti dilindungi ALLAH daripada khianat manusia.
       Dalam riwayat Ibnu Ishaq dan Ahmad dari Jabir bin Abdullah r.a. ia menceritakan, “Kami berangkat bersama Rasulullah s.a.w ketika perang Dzatur Riqaa’. Pada kesempatan itu tertawanlah seorang wanita musyrikin. Setelah Rasulullah s.a.w berangkat pulang, suami wanita itu yang sebelumnya tidak ada di rumah, baru saja datang. Kemudian lelaki itu bersumpah tidak akan berhenti mencari sebelum dapat mengalirkan darah para sahabat Rasulullah s.a.w. Lalu lelaki itu keluar mengikuti jejak perjalanan Rasulullah s.a.w. Pada sebuah lorong di suatu lembah Rasulullah s.a.w bersama para sahabat berhenti. Kemudian beliau berkata, “Siapakah di antara kalian yang bersedia menjaga kita malam ini?” Jabir berkata, “Maka majulah seorang dari Muhajirin dan seorang lagi dari Ansar lalu keduanya menjawab, ‘Kami siap untuk berjaga ya Rasulullah’. Rasulullah s.a.w berpesan: “Jagalah kami di pintu masuk lorong ini.” Jabir menceritakan waktu itu, Rasulullah s.a.w bersama para sahabat berhenti di lorong suatu lembah.
           Ketika kedua orang sahabat itu masuk ke lorong itu, sahabat Ansar berkata kepada sahabat Muhajirin, ‘Pukul berapa engkau inginkan aku berjaga, apakah permulaan malam ataukah akhir malam?’ Sahabat Muhajirin menjawab; ‘Jagalah kami di awal malam’, kemudian sahabat Muhajirin itu berbaring tidur sedangkan sahabat Ansar melakukan solat. Jabir berkata, datanglah lelaki musyrikin itu dan ketika mengenali sahabat Ansar, musyrikin itu mengetahui bahawa sahabat itu sedang solat malam. Kemudian orang itu memanahnya tepat mengenai diri Ansar tersebut, lalu sahabat Ansar itu mencabutnya kemudian berdiri tegak melanjutkan solatnya.
            Kemudian orang musyrikin itu memanahnya lagi dan tepat mengenainya lagi, lalu sahabat itu mencabut kembali anak panah itu kemudian berdiri tegak melanjutkan solatnya. Kemudian untuk ketiga kalinya orang itu memanah kembali sahabat Ansar tersebut dan tepat mengenai dirinya. Lalu dicabut pula anak panah itu kemudian ia rukuk dan sujud. Setelah itu ia membangunkan sahabat Muhajirin seraya berkata, ‘Duduklah kerana aku telah dilukai.’ Jabir berkata. Kemudian sahabat Muhajirin itu melompat mencari orang yang melukai sahabat Ansar itu.
           Ketika orang musyrikin itu sedar mereka tahu perbuatannya dia pun melarikan diri. Ketika sahabat Muhajirin mengetahui darah yang melumuri sahabat Ansar, ia berkata, ‘Subhanallah kenapa engkau tidak membangunkan aku dari tadi?’ Sahabat Ansar menjawab, ‘Aku sedang membaca surah dan aku tidak ingin memutusnya. Namun, setelah orang itu berkali-kali memanahku barulah aku rukuk dan memberitahu dirimu. Demi ALLAH  kalau bukan kerana takut mengabaikan tugas penjagaan yang diperintahkan Rasulullah s.a.w kepadaku nescaya nafasku akan berhenti sebelum aku membatalkan solat.’’
            Begitulah salah satu contohnya hebatnya qiamulalil apabila dilakukan dengan penuh kusyuk dan ikhlas ALLAH akan membentengi daripada perbuatan khianat manusia. Kita wajib percaya apabila sesuatu ibadah itu dilakukan dengan ikhlas, pertolongan ALLAH sentiasa di sisi kita.
            Kepada mereka yang berhajat untuk melakukan qiamulail, berikut disediakan adab untuk memudahkan kita mengamalkannya.

ADAB-ADAB QIAMULLAIL

1.  Berniat sebelum tidur untuk Qiamullail
Barangsiapa yang tidur sedang dia berniat akan bangun untuk bersolat di malam hari, tetapi dia terus tertidur hingga pagi, ditulis baginya apa yang telah diniatkannya dan tidurnya itu merupakan rahmat Allah kepadanya.” – Hadis Riwayat An-Nasai dan Ibn-Majah.
.2.  Tidur mengikut adab-adab yang ditentukan.
3.  Berdoa, bersuci, bersugi, berwuduk dan memakai pakaian bersih setelah bangun daripada tidur.
4.  Keluar dan memandang ke langit lalu berdoa (rujuk buku panduan qiamullail) dan membaca sepuluh ayat terakhir surah Al-Imran.
5.  Memulakan solat malam dengan solat dua rakaat yang ringan, selepas itu solatlah seberapa banyak yang disukai.
6.  Membangunkan dan mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan turut serta berqiamullail.
“Apabila seseorang membangunkan isterinya di malam hari lalu kedua-duanya bersolat/bersolat dua rakaat bersama-sama, ditulislah baginya dalam golongan orang-orang yang mengingati ALLAH.” – Hadis Riwayat Abu Daud.
 7.  Menghentikan solat dan tidur apabila mengantuk dan teruskan apabila hilang  mengantuk
8.  Beribadah sekadar yang mampu lalu dikekalkan (istiqamah) dan jangan ditinggal kecuali darurat.
9.  Muhasabah diri berkenaan amalan dan perjalanan hidup kita sepanjang hari.

AMALAN-AMALAN SUNAT KETIKA QIAMULLAIL

1.  Solat sunat tahajud
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam dan kerjakanlah solat tahajjud sebagai solat tambahan bagimu. Semoga tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari qiamat ditempat yang terpuji.”  -  Surah Al-Isra’ ayat 79.

“Sebaik-baik solat selain solat fardu ialah solat malam.” – Hadis Riwayat  Muslim.

2.  Solat sunat tasbih, taubat, istikharah,hajat, mengqada’ solat fardu, solat mutlak, dan solat sunat yang lain.
3. Solat witir
4.  Berzikir, bertasbih dan bertahmid.
5.  Membaca al-Quran.
6.  Lakukan amalan-amalan lain seperti muhasabah dan memikirkan keagungan dan kekuasaan ALLAH.
               
HIKMAH QIAMULLAIL

1.  Meningkatkan keimanan individu.
2.  Meninggikan darjat di sisi ALLAH.
3.  Dapat beribadah dengan lebih khusyuk
4.  Mendidik jiwa bersyukur dengan nikmat kesihatan dan nikmat waktu malam yang tenang
5.  Melatih diri menjadi insan bertakwa.
6.  Melatih diri menperbanyakkan amalan sunat.
7.  Mendidik jiwa melawan nafsu dan syaitan.
8.  Menyedari bahawa manusia dicipta untuk beribadah.
9.  Melatih diri mengharap keredaan ALLAH.
10.  Memberi ketenangan jiwa (emosi).
11. Memberi kesihatan (fizikal).
12.  Menajamkan akal fikiran.
13.  Meneguhkan kekuatan rohani.
14.  Menambahkan rasa kekerdilan di sisi ALLAH dan bertawakkal kepada-Nya.
15.  Melatih diri bersikap takut dan berharap kepada ALLAH..

KELEBIHAN QIAMULLAIL

1.  Dimakbulkan doanya dan masin perkataan.
2.  Tenang hati dan fikirannya.
3.  Dimurahkan rezeki.
4.  Dihormati masyarakat.
5.  Dilindungi ALLAH daripada khianat manusia.
6.  Jika dia pemimpin, dia akan disegani.
7.  Dan banyak lagi  (Perlu difahami bahawa segala kelebihan adalah nikmat ALLAH bergantung kepada rahmat ALLAH. ALLAH berhak mengurniakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya)
















Tiada ulasan: