Motivasi Islamik : Menyusuri kembara mencari redha llahi
Ahad, 5 Mac 2017
Sabtu, 28 Januari 2017
JANGAN HARAP REZEKI DATANG MENGOLEK
KALAU burung pun
sanggup keluar pagi-pagi buta mencari rezeki, mengapa kita yang celik mahu
menunggu matahari tegak di atas kepala baru nak keluar mencari rezeki? Itulah
bezanya burung dengan manusia.
Burung yang ada nafsu
tetapi tidak ada akal pun tahu, mencari rezeki pagi-pagi itu satu keberkahan.
Tetapi kita, sudahlah solat subuh ditinggal, ada hati pulak nak rezeki
murah?Bangun pula sesudah ayam jantan tak berkokok lagi!
Burung dan ayam jantan
pun tahu, bangun mesti pagi untuk cari rezeki. Haiwan itu tahu rezeki tak
datang bergolek, tapi manusia mengharapkan rezeki datang bergolek. Pelikkan?
Tidak kiralah sama ada
bekerja sendiri atau bekerja dengan majikan, sifat malas manusia memang susah
nak ubah. Kalau hari tidak bekerja, bangun lewat sudah pasti. Kalau bangun
solat subuh sekalipun, selesai solat nak sambung sambung mimpi lagi.
Kalau begini, macam
manalah rezeki nak datang. Waktu-waktu subuh beginilah, Allah SWT menurunkan
keberkahan kepada sesiapa yang berusaha mencari rezeki.
Kebanyakan rezeki mesti
dicari. Rezeki tidak akan datang bergolek jika tidak ada sesiapa yang
menggoleknya. ALLAH sudah mengingatkan umatnya dalam surah ar-Ra’adu ayat 11
yang bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH tidak
akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang
ada pada diri mereka sendiri.”
Kena ingat, rezeki
mesti dicari dengan usaha. ALLAH tidak
mungkin melonggokkan rezeki di hadapan kita. Perhatikan, burung-burung pun
mesti keluar dari sarangnya untuk memenuhkan perutnya dengan terbang mencari
rezeki, tetapi kenapa manusia yang mempunyai akal dan fikiran masih duduk
termenung mengharapkan rezeki datang bergolek?
Manusia mesti mengubah
sikapnya daripada sifat malas kepada sifat rajin untuk menambahkan rezeki. Jika
manusia itu sendiri enggan mengubahnya, sampai bila-bila pun mereka tidak akan
berubah dan rezeki juga tidak akan bertambah. Hanya orang yang bersabar dengan
usahanya itu akhirnya akan memberikan hasil.
Ini dijelaskan dalam
al-Quran surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
(kepada musuh) dan berasa kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan
jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah
khabar kepada orang-orang yang sabar.”
Biasanya kalau manusia tidak diuji dengan rasa takut, kelaparan dan
kehilangan harta benda, manusia tidak akan mahu merubah hidupnya. Mereka fikir apa yang ada padanya hanyalah itulah rezeki
untuknya sedangkan ALLAH meminta supaya kita terus berusaha.
Dalam surah al-Baqarah ayat 245, ALLAH
menegaskan lagi bermaksud, “ALLAH jualah
yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezseki) dan kepada-NYAlah kamu
semua dikembalikan.”
Kalau kita rasa selama
ini rezeki kita sempit, cepat-cepatlah teropong ke dalam diri sendiri. Jangan
suka salahkan orang lain. Diri sendiri sebenarnya yang salah. Allah sentiasa
meluaskan rezeki tetapi kita yang menyempitkan. Sedar tak?
Banyak orang fikir bila
berbicara mengenai rezeki, yang terbayang di ruang mata tidak lain, duit,
duit,duit…..Habis, kalau panjang umur, sihat anggota badan, anak-anak yang
pandai, jauh daripada mala petaka atau kesusahan, itu bukan rezekikah?
Itulah, bila sudah
ditanam dalam kepala, rezeki tiu hanya wang ringgit, kita dah tak nampak lain
dah! Nikmat hidup macam angin, udara,
hujan, siang dan malam dianggap bukan rezekikah?
Bayangkanlah jika panas atau
hujan berpanjangan, bagaimanakah kita mahu mendapatkan rezeki? Tumbuh-tumbuhan tidak akan boleh hidup dalam
keadaan hujan berterusan, begitu juga dengan panas berpanjangan.
MENGURUS REZEKI PUN ADA SENINYA
EH, mengurus rezeki pun
ada seninya?
Ya. Sebab tak pandai
urus rezekilah, selalu tak cukup duit. Bayangkan kalau suami isteri
bekerja jika gaji dicampur sekali, mahu mencecah RM
10,000. Anak tiga orang. Itu pun masih tak cukup.
Macam mana nak cukup?
Kalau gaji besar, rumah besar, kereta besar, semuanya nak yang besar-besar,
rezeki selautan pun tak cukup. Itu reality hidup orang sekarang. Bila gaji
besar, belanja hidup pun besar.
Makan bukan lagi di
warung tapi di restoran mahal. Rumah bukan rumah teres tetapi bangle dua
tingkat. Kereta bukan sebuah dua, tapi empat buah. Kereta pergi kerja lain.
Kereta pergi pasar lain. Kereta pergi makan angin lain, macam mana belanja nak
cukup?
Bukan tak bersyukur.
Bersyukur. Solat fardu buat, puasa buat cuma yang sunat jarang buat. Yang wajib
buat. Dalam al-Quran pun ada sebut, kalau kita bersyukur, Allah SWT akan tambah
lagi nikmat, tapi jika tak mahu bersyukur, pembalasn Allah SWT sangatlah pedih.
Bayangkan jika berlaku
kes-kes kecemasan seperti kereta rosak, kemalangan, anak sakit dan perlukan
belanja rawatan, rumah kena pecah dan pelbagai masalah lagi yang memerlukan
kewangan untuk diselesaikan. Akibat tidak berkecukupan, mulalah berhutang
sana-sini tetapi mereka sama juga
seperti kita, banyak masalah kewangan yang perlu diselesaikan.
Nak dikatakan tidak
bijak mengurus kewangan, mungkin ada benarnya. Orang yang bersyukur dengan apa yang ada akan
membelanjakan kewangan mereka ikut keperluan, bukan ikut kemahuan. Biar tidak
bergaya asalkan tidak meminjam dan berhutang.
Seperkara lagi adakah
rezeki yang diperolehi itu mendapat redha Allah?
Rezeki yang tidak
mendapat redha Allah akan cepat habis tanpa kita sedari. Entah apa yang dibeli,
entah apa yang dibelanja, sedar-sedar tinggal sekeping dua.
Hidup pula makin banyak masalah. Lepas satu, satu
masalah lain pula datang sehinggakan fikiran buntu mencari penyelesaiannya.
Pernahkan kita lalui perkara
seumpama ini? Segeralah ubah diri. Renung ke dalam diri lama-lama dan lihat apa
kesilapan yang sudah dilakukan dan apakah perintah ALLAH yang tidak atau belum
ditunaikan. Bayangkanlah apa terjadi pada hidup ini, sudahlah rezeki sempit
banyak pula masalah bertimpa-timpa.
Sementara itu Imam
Hasan Al-Basri mengatakan, “Awal
kebersihan sesuatu pekerjaan adalah wajah yang bersih, sentiasa ramah dan
senyum.” Malah Rasulullah SAW menegaskan, senyum merupakan sedekah yang murah
tetapi paling besar pahalanya.
Jadi,
fikir-fikirkanlah.
Untuk mendapatkan
rezeki, bukan sahaja dari segi batiniah tetapi juga penampilan dari segi
lahiriah perlu dijaga. Mereka yang bekerja dan berurusan dengan orang ramai,
seperti para peniaga, pertugas di kaunter atau di mana sahaja, amalkan sifat
kemas, ramah dan sentiasa senyum akan membuatkan orang senang berurusan.
Apabila senang
berurusan, pada lain kali orang datang lagi. Ini secara tidak langsung akan
membuatkan rezeki datang bertimpa-timpa dan mendapat keberkatan ALLAH. Begitu
juga dalam menjaga hubungan suami isteri, jika salah satu atau kedua-duanya
sentiasa berwajah masam, pelbagai masalah akan timbul secara tidak langsung
keberkatan rezeki tidak akan menjengah kehidupan mereka.
Kita jangan berfikir
apa yang disampaikan di atas kurang penting untuk menjemput rezeki datang.
Ramai orang tidak ambil peduli dengan perkara ini. Lazim mereka yang bertugas
atau berurusan dengan orang ramai terutamanya di bahagian kaunter tidak
menekankan perkara ini.
Apabila mereka ditekan dengan tugas yang
pelbagai, mereka bermuka masam mencuka. Melayan pelanggan sekadar melepaskan
batuk di tangga sahaja.
Ingatlah, apa yang anda
lakukan ini mungkin akan menyebabkan ketidak-berkatan rezeki yang anda
perolehi.
Ini kerana jika mereka tidak berurusan dengan
anda, bermakna akan kekurangan pelanggan dan akan menjejaskan sesuatu
perniagaan.
Rabu, 25 Januari 2017
JANGAN SAMPAI REZEKI DIRENGGUT ALLAH
INI kisah benar!
Nama sebenar dirahsiakan.
Sebelum
ini dia seorang ahli perniagaan yang berjaya dan memiliki beberapa buah syarikat
serta mempunyai dua buah rumah banglo dan beberapa buah kereta mewah. Dia
memang rajin bekerja. Mulanya dengan berniaga secara kecil-kecilan kemudian
berkembang sehingga mempunyai sebuah bangunan sendiri dan pekerjanya hampir
seratus orang.
Tetapi
itu cerita sepuluh tahun dahulu. Sekarang ahli perniagaan yang dimaksudkan itu berjualan
nasi lemak setiap pagi di satu simpang, tidak jauh dari rumah sewanya. Sesiapa
yang mengetahui kisah hidupnya, sudah
pasti terkejut. Bagaimana seorang ahli perniagaan yang memiliki kemewahan
tetapi akhirnya berjualan nasi lemak di simpang jalan?
Setelah
diselidiki dan dikorek rahsia, akhirnya dia setuju bercerita asalkan tujuannya
untuk dijadikan ikhtibar. Kisahnya
bermula ketika perniagaannya pesat berkembang. Jika dahulu dia rajin ke surau
tetapi sejak perniagaan semakin maju, dia melupakan teman-teman di surau kerana
sibuk menguruskan perniagaan.
Satu
ketika, seorang ustaz yang menyedari perubahan ahli perniagaan itu menegurnya
supaya rajin-rajinlah ke surau, di samping melaksanakan zakat dan menginfakkan
sedikit sumbangan untuk membesarkan surau. Tetapi dia tidak mengendahkannya.
Alasannya berbagaI-bagai. Akhirnya ke surau tidak, berzakat juga tidak, untuk
menginfakan harta bagi pembangunan surau
juga tidak.
Dipendekkan
cerita, masa terus berlalu. Ketika perniagaan semakin berkembang, seorang pelabur
telah mempelawa melabur dalam syarikatnya dengan janji akan membawa keuntungan
berlipat-ganda. Dia mengeluarkan sebahagian hartanya untuk melabur tetapi
akhirnya dia ditipu apabila wamg pelaburanya dilarikan ke luar negara.
Mulai
saat itu perniagaannya mulai goyah, rumahtangga bergolak apabila isterinya
bermain kayu tiga dengan lelaki lain. Akhirnya isterinya diceraikan. Para
pekerjanya pula ada yang melakukan penyelewengan dan dia dihujani dengan hutang
piutang. Untuk menjelaskannya dia terpaksa menggadaikan satu persatu hartanya
dan sehingga hartanya habis, hutang tidak dapat dilangsaikan sepenuhnya.
Apabila
menyedari perniagaannya goyah, ramai pekerjanya berhenti seorang demi seorang
sehingga akhirnya dia menutup syarikat setelah menggadaikan rumah, kereta dan
kehilangan isteri. Kemudian dia berpindah ke tempat lain dengan menyewa sebuah
rumah teres. Untuk meneruskan hidup dia terpaksa berjualan nasi lemak di
simpang jalan setelah berkahwin lain dengan seorang janda beranak satu.
Dia
memiliki semula semangat untuk hidup apabila ustaz yang menasihati dahulu
muncul setelah mengetahui keadaan
sebenar. Kepada ustaz itu dia menceritakan secara jujur, dia tidak pernah
membayar zakat perniagaan apatah lagi untuk bersedekah.
Apabila
sudah berlaku ujian besar di dalam hidupnya, barulah dia menyedari kata-kata
ustaz itu dan memulai bersedekah walaupun penghasilan menjual lemak tidak
seberapa tetapi hatinya mulai tenang. Apabila waktu maghrib, dia mampu
berjemaah di surau dan menghadiri kuliah agama.
Beginilah
azabnya apabila orang tidak mahu berzakat ataupun bersedekah. ALLAH berkuasa
memberi rezeki dan kekayaan kepada sesiapa sahaja dan ALLAH juga berkuasa
menarik kembali rezeki yang diberikan apabila manusia tidak mahu bersyukur.
Berbeza
dengan seorang peniaga kecil ini yang mempunyai kesedaran. Peniaga kecil ini
memulakan perniagaan secara kecil-kecilan ini sambil bersedekah. Perniaga kecil
ini membuat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan tetapi sebahagian wang
pinjaman digunakan untuk bersedekah manakala sebahagiannya lagi untuk digunakan
untuk modal perniagaan.
Lazimnya
orang akan bersedekah setelah mendapat hasil keuntungan tetapi berbeza dengan
peniaga kecil ini. Dia menyisihkan 2.5 peratus untuk bersedekah. Tujuannya
supaya modal yang digunakan itu akan mendapat keberkatan ALLAH. Dia amat yakin modal yang diperolehi
dengan bersedekah dahulu pasti akan dijamin kejayaannya.
Apa
yang dilakukan oleh peniaga kecil ini sememangnya membawa keberhasilan. Setahun selepas itu,
dia dapat memperbesarkan lagi perniagaannya di samping dapat melunaskan
pinjaman bank. Walaupun perniagaannya semakin maju, dia tidak lupa untuk terus
bersedekah kerana niat asalnya dia mahu menjalankan perniagaan dengan mendapat
redha ALLAH di samping mahu bersedekah dan membantu orag lain.
Beberapa
tahun kemudian, peniaga kecil ini dapat membuka cawangan perniagaannya di
tempat lain. Dia sangat yakin, ALLAH tidak akan mengurangkan rezekinya meskipun
dia banyak bersedekah malah hasilnya, ALLAH semakin banyak memberi rezeki dan
dia memperbanyakan lagi sedekahnya.
Daripada
dua perbandingan di atas, kita dapat buat kesimpulan. Sedekah dan zakat dapat
membersih dan memperbanyakan rezeki. Cuba bandingkan dua kawasan kebun
bersebelahan. Kebun A dan kebun B ditanam dengan tanaman yang sama. Kebun A
setelah ditanam, tidak dijaga, tidak dibaja dan penuh dengan semak samun
sehinggakan tidak nampak apa yang ditanam.
Sebaliknya
kebun B, pekebunnya sentiasa membersihkan kebunnya. Dia membaja, meracun,
menebas dan tidak membiarkan lalang tumbuh. Tidak lama kemudian pokok yang
ditanam mengeluarkan hasil pada waktunya dan pengeluarannya bertambah lalu
membawa keuntungan, berbanding dengan kebun B yang tidak menghasilkan apa-apa.
u/p:
Kisah ahli perniagaan pertama asalnya
penjual nasi lemak di tepi jalan. Apabila berkembang, dia membuka sebuah
restoran di sebuah bandar. Apabila semakin maju, dia membuka beberapa cawangan.
Dia juga ada membuka restoran makanan barat di sebuah pusat membeli belah
terkemuka. Dia juga ada perkhidmatan katering. Ketika perniagaan naik, dia
diuji. Seorang kenalan lama minta dia melabur dan kilang yang baru didirikan.
Oleh kerana wangnya banyak, dia melabur
bertujuan untuk tambah harta. Dia setuju melabur dalam kilang membuat barangan
plastik. Oleh kerana tidak tahu ilmu apa-apa dalam industri perkilangan, dia
mudah sahaja ditipu. Harta habis, hutang keliling pinggang, bisnes lingkup.
Akhirnya kembali seperti asal, menjual nasi lemak di tepi jalan.
Semoga ia menjadi ikhtibar.
Langgan:
Catatan (Atom)