Sabtu, 28 Januari 2017

JANGAN HARAP REZEKI DATANG MENGOLEK




KALAU burung pun sanggup keluar pagi-pagi buta mencari rezeki, mengapa kita yang celik mahu menunggu matahari tegak di atas kepala baru nak keluar mencari rezeki? Itulah bezanya burung dengan manusia.

Burung yang ada nafsu tetapi tidak ada akal pun tahu, mencari rezeki pagi-pagi itu satu keberkahan. Tetapi kita, sudahlah solat subuh ditinggal, ada hati pulak nak rezeki murah?Bangun pula sesudah ayam jantan tak berkokok lagi!

Burung dan ayam jantan pun tahu, bangun mesti pagi untuk cari rezeki. Haiwan itu tahu rezeki tak datang bergolek, tapi manusia mengharapkan rezeki datang bergolek. Pelikkan?

Tidak kiralah sama ada bekerja sendiri atau bekerja dengan majikan, sifat malas manusia memang susah nak ubah. Kalau hari tidak bekerja, bangun lewat sudah pasti. Kalau bangun solat subuh sekalipun, selesai solat nak sambung sambung mimpi lagi.

Kalau begini, macam manalah rezeki nak datang. Waktu-waktu subuh beginilah, Allah SWT menurunkan keberkahan kepada sesiapa yang berusaha mencari rezeki.

Kebanyakan rezeki mesti dicari. Rezeki tidak akan datang bergolek jika tidak ada sesiapa yang menggoleknya. ALLAH sudah mengingatkan umatnya dalam surah ar-Ra’adu ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Kena ingat, rezeki mesti dicari  dengan usaha. ALLAH tidak mungkin melonggokkan rezeki di hadapan kita. Perhatikan, burung-burung pun mesti keluar dari sarangnya untuk memenuhkan perutnya dengan terbang mencari rezeki, tetapi kenapa manusia yang mempunyai akal dan fikiran masih duduk termenung mengharapkan rezeki datang bergolek?

Manusia mesti mengubah sikapnya daripada sifat malas kepada sifat rajin untuk menambahkan rezeki. Jika manusia itu sendiri enggan mengubahnya, sampai bila-bila pun mereka tidak akan berubah dan rezeki juga tidak akan bertambah. Hanya orang yang bersabar dengan usahanya itu akhirnya akan memberikan hasil.

Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan berasa kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa  serta hasil tanaman. Dan berilah khabar kepada orang-orang yang sabar.”

Biasanya  kalau manusia  tidak diuji dengan rasa takut, kelaparan dan kehilangan harta benda, manusia tidak akan mahu merubah hidupnya. Mereka fikir  apa yang ada padanya hanyalah itulah rezeki untuknya sedangkan ALLAH meminta supaya kita terus berusaha.

Dalam surah al-Baqarah ayat 245, ALLAH menegaskan lagi bermaksud, “ALLAH jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezseki) dan kepada-NYAlah kamu semua dikembalikan.”

Kalau kita rasa selama ini rezeki kita sempit, cepat-cepatlah teropong ke dalam diri sendiri. Jangan suka salahkan orang lain. Diri sendiri sebenarnya yang salah. Allah sentiasa meluaskan rezeki tetapi kita yang menyempitkan. Sedar tak?

Banyak orang fikir bila berbicara mengenai rezeki, yang terbayang di ruang mata tidak lain, duit, duit,duit…..Habis, kalau panjang umur, sihat anggota badan, anak-anak yang pandai, jauh daripada mala petaka atau kesusahan, itu bukan rezekikah?

Itulah, bila sudah ditanam dalam kepala, rezeki tiu hanya wang ringgit, kita dah tak nampak lain dah! Nikmat hidup macam  angin, udara, hujan, siang dan malam dianggap bukan rezekikah?

Bayangkanlah jika panas atau hujan berpanjangan, bagaimanakah kita mahu mendapatkan rezeki?  Tumbuh-tumbuhan tidak akan boleh hidup dalam keadaan hujan berterusan, begitu juga dengan panas berpanjangan.

Tiada ulasan: