Sabtu, 28 Januari 2017

MENGURUS REZEKI PUN ADA SENINYA




EH, mengurus rezeki pun ada seninya?

Ya. Sebab tak pandai urus rezekilah, selalu tak cukup duit. Bayangkan kalau suami isteri bekerja  jika  gaji dicampur sekali, mahu mencecah RM 10,000. Anak tiga orang. Itu pun masih tak cukup.

Macam mana nak cukup? Kalau gaji besar, rumah besar, kereta besar, semuanya nak yang besar-besar, rezeki selautan pun tak cukup. Itu reality hidup orang sekarang. Bila gaji besar, belanja hidup pun besar.

Makan bukan lagi di warung tapi di restoran mahal. Rumah bukan rumah teres tetapi bangle dua tingkat. Kereta bukan sebuah dua, tapi empat buah. Kereta pergi kerja lain. Kereta pergi pasar lain. Kereta pergi makan angin lain, macam mana belanja nak cukup?

Bukan tak bersyukur. Bersyukur. Solat fardu buat, puasa buat cuma yang sunat jarang buat. Yang wajib buat. Dalam al-Quran pun ada sebut, kalau kita bersyukur, Allah SWT akan tambah lagi nikmat, tapi jika tak mahu bersyukur, pembalasn Allah SWT sangatlah pedih.

Bayangkan jika berlaku kes-kes kecemasan seperti kereta rosak, kemalangan, anak sakit dan perlukan belanja rawatan, rumah kena pecah dan pelbagai masalah lagi yang memerlukan kewangan untuk diselesaikan. Akibat tidak berkecukupan, mulalah berhutang sana-sini tetapi mereka sama juga  seperti kita, banyak masalah kewangan yang perlu diselesaikan.

Nak dikatakan tidak bijak mengurus kewangan, mungkin ada benarnya. Orang yang  bersyukur dengan apa yang ada akan membelanjakan kewangan mereka ikut keperluan, bukan ikut kemahuan. Biar tidak bergaya asalkan tidak meminjam dan berhutang.

Seperkara lagi adakah rezeki yang diperolehi itu mendapat redha Allah?
Rezeki yang tidak mendapat redha Allah akan cepat habis tanpa kita sedari. Entah apa yang dibeli, entah apa yang dibelanja, sedar-sedar tinggal sekeping dua.

Hidup pula  makin banyak masalah. Lepas satu, satu masalah lain pula datang sehinggakan fikiran buntu mencari penyelesaiannya.

Pernahkan kita lalui perkara seumpama ini? Segeralah ubah diri. Renung ke dalam diri lama-lama dan lihat apa kesilapan yang sudah dilakukan dan apakah perintah ALLAH yang tidak atau belum ditunaikan. Bayangkanlah apa terjadi pada hidup ini, sudahlah rezeki sempit banyak pula masalah bertimpa-timpa.

Sementara itu Imam Hasan Al-Basri  mengatakan, “Awal kebersihan sesuatu pekerjaan adalah wajah yang bersih, sentiasa ramah dan senyum.” Malah Rasulullah SAW menegaskan, senyum merupakan sedekah yang murah tetapi paling besar pahalanya.
Jadi, fikir-fikirkanlah.

Untuk mendapatkan rezeki, bukan sahaja dari segi batiniah tetapi juga penampilan dari segi lahiriah perlu dijaga. Mereka yang bekerja dan berurusan dengan orang ramai, seperti para peniaga, pertugas di kaunter atau di mana sahaja, amalkan sifat kemas, ramah dan sentiasa senyum akan membuatkan orang senang berurusan.

Apabila senang berurusan, pada lain kali orang datang lagi. Ini secara tidak langsung akan membuatkan rezeki datang bertimpa-timpa dan mendapat keberkatan ALLAH. Begitu juga dalam menjaga hubungan suami isteri, jika salah satu atau kedua-duanya sentiasa berwajah masam, pelbagai masalah akan timbul secara tidak langsung keberkatan rezeki tidak akan menjengah kehidupan mereka.  

Kita jangan berfikir apa yang disampaikan di atas kurang penting untuk menjemput rezeki datang. Ramai orang tidak ambil peduli dengan perkara ini. Lazim mereka yang bertugas atau berurusan dengan orang ramai terutamanya di bahagian kaunter tidak menekankan perkara ini.

Apabila mereka ditekan dengan tugas yang pelbagai, mereka bermuka masam mencuka. Melayan pelanggan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
Ingatlah, apa yang anda lakukan ini mungkin akan menyebabkan ketidak-berkatan rezeki yang anda perolehi.

Ini kerana jika mereka tidak berurusan dengan anda, bermakna akan kekurangan pelanggan dan akan menjejaskan sesuatu perniagaan.


Tiada ulasan: