APABILA
Allah memberikan isyarat atau teguran, jangan sekali-kali beranggapan ia satu perkara remeh kerana
sikap kita itu akan membawa kepada satu petanda buruk akan berlakunya musibah.
Ada kemungkinan isyarat itu satu peringatan awal supaya kita segera memuhasabah
diri, apakah sebenarnya kesilapan yang sudah kita lakukan.
Kepada sesiapa yang memandu kereta,
tiba-tiba ada orang memberikan sesuatu isyarat atau membunyikan hon, ini
bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemanduan kita atau kereta
kita ada masalah. Pemandu lain akan perasaan jika kita tidak menutup pintu
dengan rapat, terlupa menutup tangki minyak selepas mengisi minyak, tayar
belakang bocor, ada bungkusan sampah di atas bonet atau ada kesalahan lain yang kita tidak sedari.
Semua isyarat itu akan membuatkan
kita berhenti dan memeriksa apakah kesalahan kita. Begitu jugalah dengan hidup
ini. Apabila Allah memberikan isyarat atau teguran, segeralah muhasabah diri
apakah kesalahan yang sudah kita lakukan dan perbetulkan segera, jika tidak,
sudah pasti akan mengundang padah.
Di sini ada satu kisah, bagaimana
seseorang yang tidak mengendahkan isyarat yang diberikan oleh seorang rakan
kepada rakannya yang lain dan menganggap ia perkara kecil.
Pada satu hari ketika sibuk bekerja,
seorang buruh binaan dikejutkan dengan panggilan telefon bimbit dari seorang perempuan
yang meminta supaya memberitahu rakannya, isterinya sedang sakit tenat dan
meminta rakannya itu pulang segera. Perempuan itu memberitahu, dia sudah
berkali-kali menelefon suami, isteri rakannya tetapi tidak berjawab.
Oleh kerana lelaki yang menerima
panggilan telefon itu berada di tingkat atas manakala rakannya berada di
tingkat bawah, dia hanya memanggil-manggil nama rakannya tetapi oleh kerana
bunyi bising, suaranya tidak didengari oleh rakannya. Akhirnya rakannya itu
menjatuhkan wang syiling ke tingkat bawah dengan harapan rakannya akan tertimpa
wang syiling itu dan mendongak ke atas.
Tetapi sayangnya apabila rakannya
itu tertimpa wang syiling itu, dia tidak dapat menangkap apa-apa isyarat dan
beranggapan wang syiling itu mungkin terjatuh dari poket seluar pekerja binaan
di tingkat atas dan menganggap ia satu rezeki. Oleh kerana tidak ada tindak
balas, rakannya itu menjatuhkan wang syiling satu persatu sehinggalah wang
syiling dalam poketnya habis.
Setelah mendapati tidak ada tindak
balas, rakan lelaki itu menjatuhkan kayu yang agak besar kira-kira sebesar
lengan sepanjang satu kaki ke bawah. Akhirnya kayu itu tertimpa kepala rakannya
itu dan membuatkan rakannya itu marah.
Ini menyebabkan lelaki itu mencari siapa yang menjatuhkan kayu itu.
Sebaik sahaja lelaki itu naik ke
tingkat atas dan mencari siapa yang menjatuhkan kayu itu, barulah rakan lelaki
itu menceritakan perkara sebenar dan hilanglah rasa marahnya.
Sebenarnya, inilah cara Allah ingin
memberikan isyarat atau teguran kepada hamba-hamba-NYA jika melakukan kesilapan. Allah akan menimpakan
musibah-musibah kecil ibarat melemparkan batu-batu kerikil supaya manusia
sedar. Sekiranya manusia itu tidak juga sedar, batu-batu sebesar batu-bata akan
ditimpakan, jika tidak sedar juga barulah batu sebesar bola dilemparkan.
Kisah di atas wajar dijadikan
ikhtibar supaya kita segera memahami teguran Allah dan jangan menunggu Allah
‘menjerit’ barulah kita bergegas memuhasabah diri. Oleh itu apabila kita
ditimpa musibah kecil, segeralah berwaspada dan bersedia sebelum musibah yang
lebih besar datang melanda.
Sebagai contoh, sebelum berlaku bencana kemarau panjang, kita
diingatkan supaya bersedia menyimpan air atau menggali perigi. Manakala jika
musim tengkujuh tiba, kita diingatkan supaya bersedia menghadapi banjir dengan
menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat.
Allah sebenarnya mahu kita supaya
memahami takdir. Ini akan memudahkan
kita mentadbir atau mengurus apabila
ditimpa sesuatu musibah serta tidak menyalahkan Allah sedangkan kesilapan itu
datangnya dari manusia sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan