Selasa, 23 Disember 2014

MENGAPA ALLAH TIMPAKAN MUSIBAH



RAMAI manusia mengeluh apabila ditimpa sesuatu musibah. Apatah lagi jika musibah itu bukan suatu yang diharapkan. Manusia  buruk sangka terhadap Allah kerana manusia lebih suka kepada kenikmatan berbanding musibah. Ibnu Qayyim dalam Syifaa ul ‘Aliil berkata, “Seandainya manusia mengetahui bahawa nikmat Allah yang ada dalam musibah itu tidak lain seperti halnya nikmat Allah yang ada dalam kesenangan, nescaya hati dan lisannnya akan selalu sibuk mensyukurinya.”

            Berapa ramai manusia yang beranggapan musibah Allah itu sebenarnya satu nikmat yang tidak ternilai kerana ada keuntungan di sebaliknya tetapi sayang, tidak semua manusia berfikiran yang sama. Oleh kerana nilai yang tinggi dan ada keuntungannya di sebaliknya, hanya sebilangan kecil manusia redha menerima musibah. Itu pun hanya kepada manusia yang benar-benar beriman kepada Allah.

            Ini ditegaskan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang hamba ditimpa sesuatu musibah lalu mengucapkan, “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raajiun, allahumma jumii fii mushiibatti wa akhlif lii khairan minhaa.” (Sesungguhnya kita berasal dari Allah dan akan kembali kepada-NYA. Ya, Allah, berikanlah aku ganjaran dalam musibahku ini, dan berikanlah ganti kepadaku dengan yang lebih baik darinya) melainkan Allah memberikan pahala dan musibahnya itu, dan menggantikan dengan yang lebih baik baginya.” – Hadis riwayat muslim.

            Sungguh, syurga itu mahal harganya. Bukan sebarang orang boleh memasukinya dan bukan sedikit cubaan yang perlu ditempuhi sebelum melepasi ujian yang Allah berikan. Hanya mereka yang redha dan sabar dengan pelbagai musibah sahaja mampu menempatkan diri di dalam syurga yang pebuh kenikmatan.

            Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seseorang yang benar-benar memiliki kedudukan di sisi Allah, namun tiada satu amal yang dapat menghantarkannya  ke sana. Maka Allah sentiasa mencubanya dengan sesuatu yang tidak disukainya, sehingga mereka mampu sampai ke kedudukan itu.” – Hadis oleh Abu Ya’ala, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.

            Orang yang bertakwa dan beriman tidak akan bertanya mengapa Allah memberikan musibah kepada tetapi sentiasa bersyukur dengan apa yang diterimanya sama ada ia berupa musibah atau kenikmatan.  Apabila diuji dengan musibah, mereka bersykur kerana sekurang-kurangnya Allah telah menghapuskan sebahagian dosa-dosanya. Bagi mereka musibah atau ujian hanya  seperti orang yang dikejutkan dari kelekaan atau kelalaian lalu apabila tersedar, mereka segera ingat kepada Allah.

            Ungkapan ‘Bismillahir Rahman nir Rahim’ yang bermaksud, Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, mengingatkan mbetapa Allah sangat sayangkan hamba-hamba-NYA. Tetap malangnya apabila manusia ditimpa musibah, mereka pula mempersoalkan di manakah kasih sayang Allah apabila ditimpakan musibah.

            Jika manusia  mengasihi, mencintai atau menyayangi seseorang, mahukan kereka memberikan ujian berupa kesedihan, kekurangan, kehilangan dan sebagainya? Tentu tidak, tetapi kasih sayang  Allah tentulah berlainan dengan kasih sayang  manusia terhadap manusia lain.

            Musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan, kehilangan dan yang seumpamanya akan membuatkan manusia tertanya-tanya, tidak sayang lagikah Allah kepadaku? Tanggapan buruk seperti ini  hanya lahir dalam pemikiran manusia tetapi perancangan Allah mengandungi banyak hikmah  dan kebaikan seumpama  ubat yang pahit untuk ditelan tetapi yang pahit itulah yang akan menyembuhkan penyakit.

            Terlalu besar hikmah Allah yang tidak terjangkau oleh  pemikiran m
anusia. Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, “Barangsiapa menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-NYA, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.

            Ibnu Ataillah mahu menjelaskan, apa juga ujian Allah pasti bermaksud baik walaupun pahit bagi manusia. Beliau menegaskan lagi, “Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati dan memikirkan dengan akal agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”

Tiada ulasan: