Jumaat, 22 Mei 2015

MUKMIN SEJATI ITU DERMAWAN




RAMAI di antara kita mengharapkan supaya dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki. Itu jugalah yang menjadi intipati utama di dalam doa selepas menunaikan solat fardu. Mereka yang dimurahkan rezeki wajar menjadi seorang dermawan kerana ia menjadi tanggungjawab yakni membantu mereka yang susah dalam bentuk pemberian sedekah.
Al-Baihaqi meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ALLAH itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia. Ia membenci akhlak yang buruk.”

Berdoa supaya dapat mengeluarkan zakat dengan banyak sebenarnya lebih baik daripada berdoa dimurahkan rezeki kerana belum tentu orang yang dimurahkan rezeki itu akan mengeluarkan zakat dengan banyak. Tetapi orang yang berzakat itu sudah tentu rezekinya murah sehingga tidak berasa rugi mengeluarkan zakat.

Kita selalu lupa apabila menerima gaji setiap bulan sebenarnya ada bahagian orang lain yang perlu kita berikan, tetapi kita tidak tunaikan. Bagaimanakah hendak kita tunaikan sedangkan kita sendiri sentiasa kesempitan wang malah sebelum mendapat gaji akan datang, kita sudah berhutang pula?

Perkara di atas ada disebutkan dalam al-Quran surah Al-Maarij ayat 24 dan 25 yang bermaksud, “Dan dalam harta seseorang ada bahagian tertentu untuk orang lain iaitu orang miskin dan tidak berkemampuan.”  Begitu juga dalam surah An-Nur ayat 33 yang bermaksud, “Dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta ALLAH yang telah dikurniakan kepadamu.”  Dalam surah al-Imran ayat 92, ALLAH juga mengingatkan yang bermaksud, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahuinya.”

Bahagian orang lain yang perlu ditunaikan ialah untuk anak isteri, ibu bapa, orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan. Dalam al-Quran surah al-Talaq ayat 2-3 atau dikenali dengan ayat 1000 Dinar menyebut maksudnya, “Dan barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH, pasti akan ditunjuki mereka jalan keluar dan rezeki  dengan jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada ALLAH, maka ALLAH akan mencukupi baginya.”

Maksud bertakwa di sini termasuklah dengan bersedekah dan melakukan segala amal kebaikan. Bagaimanakah ALLAH hendak mencukupi rezeki seseorang sekiranya tidak bertakwa dan melakukan apa yang ditegah ALLAH? Ini juga menunjukkan ketidak syukurnya kita apabila menerima sesuatu daripada ALLAH.

Hal ini ditegaskan dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya AKU tambah nikmat-Ku kepadamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur , sesungguhnya siksaan-Ku amatlah pedih.”  

Apabila kita berasakan rezeki kita tidak pernah mencukupi sehinggakan menggagalkan kita untuk bersedekah, perhatikan di manakah kekurangan atau perintah ALLAH yang tidak kita tunaikan. Memang, apabila kita sentiasa tidak cukup bagaimanakah hendak membantu orang lain.

Dalam hal ini, kita perlu yakin dengan janji ALLAH dalam surah Saba’ ayat 39 yang bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya di antara hamba-hamba-NYA dan ia juga menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu sedekahkah maka ALLAH akan menggantikannya dan DIAlah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”

Perhatikan diri kita sebenar-benarnya, apakah selama ini kita benar-benar bertakwa dan bertawakal kepada ALLAH atau sebaliknya.

Rasulullah SAW sendiri sudah mengingatkan, “Seandainya kamu bertawakal kepada ALLAH dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang harinya kenyang.” – Hadis oleh Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khatab.

Perhatikan juga apa yang telah  kita lakukan sewaktu menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Pernahkah kita menggunakan masa bekerja digunakan untuk tujuan lain seperti ponteng, mengunakan harta majikan untuk kepentingan diri bukan kerana pekerjaan, mencuri masa, meminta perbelanjaan yang tidak sepatutnya dan sebagainya.

Jika anda pernah melakukan perkara seperti yang disebutkan, penulis memasihatkan supaya menghentikan perbuatan seperti itu.  Beritahu kepada majikan dan anda wajib meminta maaf di atas kesilapan itu dan tidak akan mengulanginya lagi.

Kita mungkin pernah mendengar ada orang bekerja siang dan malam untuk mendapatkan rezeki lebih tetapi ternyata penghasilannya tetap sama. Mereka juga tidak kecukupan perbelanjaan malah semakin bertambah hutangnya. Mengapakah demikian jadinya? Apabila ini berlaku, cuba muhasabah diri.

Apakah yang kita kerjakan itu hasil pekerjaan yang diredhai oleh ALLAH atau tidak? Adakah hasil atau upah itu dari jalan yang dibenarkan atau sebaliknya? Adakah hasil pekerjaan itu digunakan untuk membeli barangan yang halal di makan atau bercampur?  Pernahkah pula anda bersedekah meskipun sedikit hasil pekerjaan anda itu?

Sekiranya gaji atau upah yang anda perolehi itu mengandungi unsur-unsur syubhah, pastikan selepas ini gaji atau upah yang diperolehi bersih dan diredhai ALLAH. Pastikan juga pintu rezeki anda tidak terhijab berpunca daripada kesalahan yang anda lakukan tanpa disedari. 

Tiada ulasan: