Selasa, 23 Disember 2014

MENGUNDANG MUSIBAH TANPA SEDAR



BOLEHKAH musibah diundang? Persoalan ini sudah pasti menjadi tanda. Siapakah di antara kita yang mahu mengundag musibah sedangkan jika boleh, kita semua mahu mengelak daripada musibah atau jangan sekali-kali ditimpa musibah.
     Ya, musibah boleh diundang. Sedar atau tidak, sebenarnya setiap musibah yang ditimpakan ke atas manusia banyak berpunca daripada tindak tanduk manusia itu sendiri seperti melakukan kemaksiatan yang melampai sehingga lupa larangan Allah. Bukankah ini mengundang musibah namanya?
     Banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang boleh dijadikan sandaran seperti dalam surah An-Nissa ayat 79, surah asy-Syuura ayat 30, surah Az-Zumar ayat51, , surah-Al-Maidah ayat 49 dan banyak lagi dalam surah-surah lain.  
     Sebagai contoh, seseorang yang kesempitan rezeki berusaha menambahkan rezeki dengan bersolat tahajud, solat duha, bersedekah, memperbaiki semua amal ibadah lalu Allah memakbulkan doanya. Daripada seorang yang hidup susah, dia berusaha dan akhirnya berjaya di dalam perniagaan. 
     Apabila sibuk dengan peniagaan dan banyak urusan, amal ibadahnya turut terjejas, tiada lagi solat tahajud, solat dhuha, tiada sedekahnya malah kadang-kadang solat fardunya tertinggal. Oleh kerana terlalu sibuk memgejar dunia, masjid dan majlis ilmu yang sebelum ini dihadiri dilupakan terus.
     Perkara-perkara yang tidak disedari dan dianggap remeh inilah yang akan mengundang musibah. Yakni, Allah akan menegurnya  supaya sedar dan kembali ke pangkal jalan. Sekiranya tiada sedar juga dan terus mengejar kenikmatan dunia, bukan mustahil Allah akan menimpakan musibah dan menarik semula nikmat yang telah diberikan.
     Perlu dingat, dalam mengejar keduniaan, jangan sesekali meninggalkan urusan akhirat kerana manusia yang bersyukur akan ditambah nikmatnya manakala manusia yang kufur, Allah akan menambahkan siksaannya. Contoh di atas merupakan peristiw ayang kerap berlaku di sekeliling hidup kita.
     Satu contoh lain seorang yang hidup dalam kemewahan, mempunyai pangkat dan kuasa tetapi tidak digunakan untuk ke jalan Allah. Sebaliknya digunakan untuk menzalimi orang yang lemah, tidak mahu bersedekah atau berzakat, tidak mahu membantu orang yang susah, hidup dalam keangkuhan dan kesombongan serta mementingkan diri sendiri.
     Apa yang dilakukan oleh orang yang diberikan nikmat oleh Allah tetapi tidak digunakan dengan cara yang diredai Allah, percayalah musibah akan datang dalam pelbagai bentuk.   Orang seperti ini sedang mengundang musibah di dalam hidupnya tanda disedari. Mereka menganggap semua yang ada pada mereka akan kekal sehingga mereka mati.
     Tetapi tanggapan mereka salah sama sekali. Apabila Allah mahu menguji, Allah akan menurunkan musibah.  Tidak mustahil, apabila sudah sampai masanya Allah menimpakan musibah seperti rumah mewah mereka runtuh, atau terbakar, atau dimasuki perompak dan pelbagai bentuk musibah lagi. Dalam  masa sekelip mata segala kemewahan itu akan lenyap begitu sahaja.
     Dalam surah al-Anbiya ayat 35, Allah mengingatkan maksudnya, “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.”
Sekarang, cuba tanya kepada diri sendiri apakah yang sedang kita lakukan dalam hidup kini, mengundang musibah atau sedang mengundang nikmat Allah?  Jika kemewahan dan harta benda yang kita ada tidak menjurus kepada mendapat  redha Allah, muhasabah segera sebelum musibah mengetuk pintu hidup kita.
     Jadikan hidup kita ini sebagai manusia yang beruntung di sisi Allah apabila tindak tanduk kita sekarang ini berpandukan syariat Allah. Sekiranya kita memiliki berbagai-bagai kelebihan bantulah mereka yang serba kekurangan. Jika kita hidup dalam serba kekurangan, berusahalah untuk mendpaatkan nikmat Allah tetapi jangan lupa setelah mendapat nikmat Allah, mereka lupa diri.
     Sebenarnya banyak sekali tindak tanduk kita dalam hidup ini yang banyak mengundang musibah tanpa kita sedari. Kita membuang sampah merata-rata sehingga menutup saliran air yang boleh menyebabkan banjir apabila hujan. Kita banyak melakukan penebangan hutan yang boleh menyebabkan tanah runtuh atau banjir lumpur,  sedangkan Allah sudah memberikan peringatan segala kerosakan di muka bumi adalah disebabkan perbuatan manusia itu sendiri.
     Allah memberikan peringatan ini dalam surah    As-Syura ayat 30  bermaksud, “Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan-kesalahanmu.”
     Perhatikan diri kita sendiri adakah kita sedang menjemput musibah datang dalam hidup kita atau kita sedang berusaha mengelakkannya?





Tiada ulasan: