Isnin, 5 Januari 2015

ATASI MUSIBAH DENGAN ILMU DAN AMAL



ORANG yang sentiasa bertakwa dan beriman akan menganggap setiap musibah itu sesuatu yang manis. Mereka menikmati kemanisan itu kerana mereka telah bersedia menghadapi dan akhirnya berjaya mengatasi musibah itu dengan ilmu. Selama ini mereka sudah mengamalkan cara hidup untuk mencari redha Allah.
       Bukankah di dalam surah Al-Anbiya ayat 35, Allah sudah mengingatkan yang bermaksud, “Dan Kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada kamilah kamu akan kembali.”
   Apabila kita memahami ayat di atas, kita tidak perlu gusar atau gelisah kerana yakin berkemampuan mengatasi musibah itu. Berbanding dengan mereka yang kurang beriman, apabila ditimpa musibah, mereka menggelabah ibarat orang sasau.
      Tidak ada soal pilih memilih bentuk musibah. Mengapa A diberikan nikmat kesenangan dan B ditimpakan musibah kesusahan. Allah lebih mengetahui bentuk musibah yang bagaimana perlu diberikan kepada seseorang dan berapa banyak pahala yang akan diberikan. Kita tidak perlu cemburu kerana diberikan musibah yang berbeza kerana  setiap musibah pasti ada pahalanya.
        Dalam surah An-Nissa ayat 32, Allah  mengingatkan, “Dan janganlah kamu irihati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
    Perlu diketahui, Allah akan menimpakan musibah kepada seseorang bersesuaian dengan kemampuan seseorang itu menanggungnya. Sebab itulah musibah itu berbeza seorang dengan seorang yang lain.
        Sebagai contoh, mungkin musibah kelaparan dan kesusahan tidak sesuai dengan A tetapi sesuai untuk B lalu ditimpakan musibah itu kepada B. Manakala A pula ditimpakan musibah yang lain seperti pemergian salah anggota keluarga kerana A lebih redha berbanding B. Ilmu dan amal yang ada pada seseorang sebenarnya banyak membantu apabila berhadapan dengan musibah. Tanpa ilmu dan amalan sudah tentu setiap musibah yang menimpa dianggap satu petaka sedangkan ia satu nikmat sebelum ditinggikan darjat seseorang.       
      Sepanjang hayat seseorang, ada manusia yang diuji dengan musibah yang sama berulangkali. Ada yang diuji dengan musibah yang berbeza-beza malah musibah datang silih berganti. Ada juga yang diuji sekali sahaja musibah sepanjang hidupnya. Semua itu bergantung kepada Allah sebagai pemberi musibah.
      Apa yang penting, setiap musibah ada hikmah yang disembunyikan oleh Allah. Apabila manusia yang diuji redha  dan sabar, barulah hikmah itu datang sebagai ‘hadiah’ ketabahan menghadapi musibah itu.
      Sebagai contoh seorang isteri diceraikan oleh suaminya yang selalu ingkar dengan ajaran Allah. Pada mulanya sememangnya isteri ini sedih apabila hilang tempat bergantung dan bersendirian menyara kehidupan anak-anaknya. Yakinlah, Allah tidak akan membiarkan isterinya bergelut dengan kepayahan hidup setelah puas disepak terajang oleh suaminya sebelum ini.
   Ditakdir Allah, isteri ini ini bertemu jodoh dengan seorang lelaki beriman yang mampu membimbing isteri dan anak-anaknya. Inilah hadiah bagi isteri yang redha dan sabar dengan ujian. Allah memberikan seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab.
      Boleh jadi juga, jika isteri ini tidak berkahwin lain, tetapi berjaya membesarkan anak-anak dengan kepayahan. Jerih payahnya selama ini berbalas apabila anak-anak berjaya dalam pelajaran dan berbakti pula kepada  ibunya yang tanah dan sabar mengharungi musibah. Semua ini perancangan Allah yang pastinya terbaik untuk mereka. Allah pasti menjanjikan yang terbaik sebagainya firmannya dalam surah Fussilat ayat 35 bermaksud, “Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.”

Tiada ulasan: