Isnin, 5 Januari 2015

NIKMAT DI SEBALIK MUSIBAH



ADA orang beranggapan kesulitan dan kesusahan hidup sehari-harian merupakan musibah daripada Allah. Allah murka dengan mereka lalu ditimpakan berupa kesulitan hidup. Walaupun pelbagai usaha dilakukan tetapi keadaan hidup tidak juga berubah malah musibah saling bertimpa-timpa.
   Bayangkanlah hidup sudahlah susah, anak pula ramai. Ada pula yang menghidapi pelbagai penyakit. Si bapa tiada kerja tetap, si ibu pula tiada bekerja, makan dan minum hanya ala kadar asalkan kenyang. Sebenarnya ramai yang menghadapi masalah seperti ini. Perhatikanlah di sekeliling kita.Tetapi apakah ini musibah juga?
     Walauapapun, jangan cepat buruk sangka dengan Allah. Jika kita berfikiran positif, dalam surah Al-Insyirah ayat 5-6, Allah sudah menyatakan maksudnya, “…Kerana  sesungguhnya  sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan.”
    Apabila ditimpakan musibah, bersabar dan redha merupakan kunci utama penyelesaian segala masalah. Rasulullah SAW bersabda, “Hampir sahaja kemiskinan berubah menjadi kekufuran.” – Hadis riwayat At-Tabrani.
    Hadis ini mengingtkan sekiranya manusia tidak redha dengan kemiskinan yang dialami, ada kemungkinan ia kufur kerana tidak yakin dengan qada dan qadar Allah. Orang yang yakin, ada kesenangan setelah melalui kesulitan tidak akan berubah keimanannya. Mereka sabar dengan musibah dan berharap selepas itu kesenangan akan hadir.  
     Percayalah, Allah tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kesenangan tanpa terlebih dahulu memberikan ujian. Apabila berjaya menghadapi ujian, kesenangan itu merupakan satu hadiah kemenangan. Tetapi apabila musibah datang silih berganti sebelum sempat menikmati kesenangan, bukan bermakna kesenangan tidak akan datang. Allah mengumpulkan sebanyak mana musibah yang ada untuk memberikan ganjaran yang lebih banyak.
        Adakalanya hati kecil berdetik, bilakah musibah ini akan berakhir, tidak tertanggung rasanya bahu memikul dan pintu kesabaran tidak mampu terbuka lagi. Apabila bermacam-macam prasangka buruk menjelma, hati dan fikiran sering dikuasai oleh syaitan. Jika syaitan berjaya menguasai hati, musibah kecil dianggap terlalu besar. Akhirnya fikiran menjadi negatif dan sifat putus akan menjelma, akhirnya terputuslah rahmat Allah.  
        Setiap kita wajar sekali memikirkan akujanji (doa iftitah) yang sering dilafazkan ketika bersolat dan jangan menganggap akujanji itu hanya sekadar ucapan di mulut tetapi tidak meresap ke dalam hati. Jangan pula dalam solat, hati berkata lain dan apabila di luar solat, hati juga menjadi lain.
      Sila perhatikan janji Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 214, Allah mengingatkan, “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)  seperti telah berlaku kepada orang-orang yang terdahuku daripada kamu. Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan wabak penyakit, serta digoncang oleh ancaman bahaya musuh sehinggalan berkata Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada beesamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
      Sebenarnya tidak ada jalan lain selain kembali kepada Allah sebagai pemberi musibah. Sudah tentu penyelesaiannya musibah hanya ada pada Allah. Untuk mendapatkannya manusia perlu mendekatkan dirim kepada Allah dengan berdoa dan meningkatkan amal ibadah, barulah kesenangan itu datang.
        Seterusnya dalam ayat 153 surah Al-Baqarah,  Allah menegaskan lagi yang bermaksud, “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan mengerjakan sembahyang kerana sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.”

           

Tiada ulasan: