Selasa, 20 Januari 2015

BERSABAR DENGAN SETIAP KESULITAN



SATU perkara yang perlu diketahui untuk mencapai ke tahap kesempurnaan iman, ialah bersangka baik. Bersangka baik kepada ALLAH akan melahirkan natijah yang baik, tetapi jika sebaliknya  akan melahirkan sangkaan-saangkan yang buruk terhadap ALLAH. Sebagai contohnya  apabila ALLAH memberikan ujian kepada umat-Nya, ini bukan bermakna ALLAH bersangka buruk kepada mereka.
ALLAH sendiri lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk terhadap makhluk ciptaan-Nya. Oleh yang demikian tidak wajar manusia untuk menjatuhi hukum yang ALLAH tidak bersangka baik terhadapnya. Apabila dianugerahi sesuatu dugaan atau ujian, ada sesuatu yang tersirat di sebaliknya.
Mereka yang dekat dengan ALLAH tidak akan sedikit pun merasa curiga dengan anugerah ALLAH itu tetapi bagi mereka yang jauh dengan ALLAH akan menganggap ALLAH itu tidak adil. Mengapa diturunkan dugaan kepadaku, tidak kepada orang lain? Begitulah di antara kata-kata rungutan atau keluhan mereka yang diberikan ujian.
Apa yang tersirat di sebalik anugerah berupa ujian itu ialah bagaimana mahu menguruskan kesabaran apabila ditimpa ujian? Pengurusan kesabaran ketika berhadapan dengan ujian inilah yang akan menunjukkan indek  prestasi sejauh mana seseorang itu mampu mengawal kesabaran sebagai bukti kesempurnaan iman mereka.
Orang yang beriman menganggap dugaan yang ditimpakan  ke atasnya akan menerima dengan fikiran terbuka dan bermaksud baik.  Manusia yang beriman mengganggap ujian itu  sebagai menguji tahap keimanannya. Sekiranya berjaya dan tidak putus asa, sudah tentu tahap keimanannya di peringkat tertinggi.
 Apabila berhadapan dengan ujian, tahap kesabaran sebenarnya sedang dinilai oleh ALLAH. Ini ditegaskan oleh ALLAH dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan,  mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertakwa.”
       Bagaimanakah  hendak dikatakan bertakwa jika  sering berkeluh kesah meskipun hanya berhadapan dengan ujian yang kecil? Bagaimanakah hendak dikatakan iman seseorang itu sudah sempurna jika sifat sabar itu tidak mencapai separuh daripada kesempurnaan iman?
             Rasulullah s.a.w  dalam sebuah hadis dilaporkan oleh Al-Baihadi, berkata, “Sabar itu separuh daripada iman.” Ini bermakna jika sifat sabar  itu tidak ada langsung di dalam diri seseorang, sudah tentulah ia tidak beriman.
            Betapa perlunya seseorang itu memiliki sifat sabar dijelaskan di dalam al-Quran pada lebih 90 tempat. Malah ucapan ‘sabar’ itulah yang sering diucapkan apabila seseorang dilanda musibah bagi menandakan  keimanannya itu sebagai penanda aras kesabaran.  Perkataan ini bukanlah sekadar perkataan untuk menyedapkan hati tetapi ucapan sebagai peringatan kerana sifat sabar itu  jika diamalkan sepenuhnya, ALLAH akan memberikan ganjaran yang setimpal dengan tahap kesabarannya.
            Mereka yang beriman akan menerima sesuatu musibah itu dengan redha kerana mereka yakin janji ALLAH itu benar. Tambahan pula  keimanan mereka pada tahap yang tinggi, sudah tentu  apa juga keputusan yang ALLAH berikan kepadanya, merupakan keputusan yang baik.
           Mendekatkan diri kepada ALLAH  dengan mengenali sifat-sifat-NYA merupakan jalan terbaik untuk meringankan beban yang ditanggung akibat musibah yang diterima. ALLAH Maha Pengasih dan Penyayang sudah tentu tidak akan membebankan hamba-Nya dengan bebanan yang melebihi daripada kemampuan menanggungnya.     
         Akibat  menanggung bebanan yang berat itu ALLAH menambahkann pahala berlipat kali ganda banyaknya. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya hanya orang yang bersabar  yang dicukupkan pahala bagi mereka tanpa batasan.” Jelaslah di sini kesabaran merupakan puncak untuk mempertingkatkan keimanan.
           Sesiapa pun pada peringkat permulaan diuji dengan dugaan, tidak ada sesiapa yang tidak akan gelisah, tertekan, sedih dan bermacam-macam lagi perasaan tetapi apabila kita redha bahawa ALLAH yang memberikan ujian itu, percayalah berita gembira akan mereka nikmati apabila berjaya mendidik diri dengan takwa.
         Hal ini djelaskan sendiri oleh ALLAH dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud, “Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka berkata: “Kami milik ALLAH dan kepada-NYA jua kami akan dikembalikan.” Mereka itulah orang yang mendapat rahmat daripada TUHANnya dan merekalah yang mendapat pertunjuk.”
        Orang yang sempurna imannya akan berasa lega apabila ALLAH memberikan ujian kepadanya.  Itu sebagai satu petanda pembersihan terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan, dan dengan cara itu mereka yang beriman itu dapat mempertingkatkan tahap keimanan tanpa menaruh prasangka buruk terhadap ALLAH.
         Berbanding dengan orang yang tidak beriman, pelbagai prasangka  buruk terhadap ALLAH akan timbul. Di antaranya mereka akan bertanya, mengapa aku yang sudah susah ini diuji lagi dengan kesusahan dan penderitaan? Tidak cukupkah dengan penderitaan yang aku tanggung selama ini? Mengapakah aku yang diuji dengan musibah ini, bukan orang lain? Ini tidak adil!
            Orang yang tidak beriman akan menyalahkan ALLAH apabila ditimpa musibah. Oleh kerana jahil, mereka tidak faham semua orang akan diuji dengan pelbagai musibah cuma cara dan masanya sahaja yang berbeza.  Mereka tidak boleh menerima takdir. Mereka hanya mahu menerima  yang baik-baik atau yang menguntungkan sahaja dari ALLAH sedangkan yang merugikan, mereka akan menolaknya. Itulah sikap orang yang tidak sempurna imannya.
          Pernahkah kita terbaca di dalam akhbar di mana seorang ibu kematian anak-anaknya sekaligus sama ada terlibat dengan kemalangan, mati lemas, kebakaran, dibunuh dalam kes samun dan sebagainya? Kita memang seringkali mendengar kisah menyayat hati ini. Sebagai ibu, atau bapa tentu dapat dibayangkan jika anak-anak kesayangan seramai tiga atau empat orang dijemput ALLAH sekaligus?
         Ibu bapa yang redha tidak akan kesal, tidak mengeluh atau menyalahkan ALLAH. Mereka tahu kesedihan, kepahitan dan penderitaan mereka akan dibalas oleh ALLAH dengan ganjaran yang setimpal.
       Perkara ini dijelaskan sendiri oleh ALLAH yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis yang dicatat oleh At-Tirmizi daripada Abu Musa al-Ash’ari, katanya, “Jika anak seorang hamba mati, ALLAH berkata kepada malaikat-Nya: “Engkau telah mengambil nyawa anak daripada hamba-Ku?” Mereka menyatakan: “Ya.” ALLAH kemudian berkata: “Apa yang dikatakan oleh hamba-Ku?” Mereka berkata:  “Ia memuji-Mu dan beristirja. Maka ALLAH berkata: “Dirikanlah sebuah rumah di syurga untuk hamba-Ku dan berikan nama dengan Baitul Hamd (rumah pujian).”
          Kepada ibu bapa yang ditimpa dengan musibah seperti ini tentu tahap kesabaran mereka sudah diuji dan bakal menerima ganjaran daripada ALLAH di atas kesabarannya itu. Ini dijelaskan oleh ALLAH dalam al-Quran surah al-Ra’ad ayat 23-24 bermaksud, “Dan para malaikat masuk ke tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkannya), keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”     
         Oleh yang demikian, janganlah kita menjadi orang yang rugi dan buta daripada melihat hikmah ALLAH apabila ditimpa sesuatu bencana. Anggaplah bencana yang dialami itu sebagai satu pembersihan hati kita yang kotor kerana sukar hendak mengakui kebesaran ALLAH. Bersedialah kita untuk menghadapi sesi kesempurnaan iman dengan datangnya ujian yang tidak diduga masa dan bentuknya.
        Tidak malukah kita untuk mengakui bahawa kita sudah sempurna iman seandainya tidak pernah diuji dengan ujian-ujian yang menggelisahkan jiwa kita?
       Ujian yang kita hadapi sewajarnya dilihat dari sudut yang positif di mana ia untuk menilai sejauh mana keyakinan kita terhadap ALLAH. Apabila semakin diuji, akan semakin bertambah keimanan, bukan berkurangan dan semakin dekat dengan-NYA.  Ini sejajar dengan firman ALLAH dalam al-Quran surah Al-Imran ayat 142 yang bermaksud, “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi ALLAH orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”




Tiada ulasan: