Selasa, 20 Januari 2015

TIDAK SOMBONG APABILA MENDAPAT KEJAYAAN



SELAGI yang bernama manusia, sikap sombong sukar hendak dielakkan kecuali mereka benar-benar beriman kepada ALLAH. Malah mereka yang beriman juga tidak dapat lari daripada terkesan dengan sikap sombong ini. Sombong merupakan satu daripada sekian banyak penyakit hati. Apabila sikap tercela ini menguasai batang tubuh jiwa manusia, ia akan menyebabkan penyakit-penyakit hati yang lain.
Justeru sikap sombong ini sangat dilarang. Mengapakah ALLAH melarang penyakit sombong ini daripada menguasai jiwa manusia? Umum mengetahui, manusia ini sifatnya lemah. Orang yang lemah tidak layak untuk bersikap sombong. Sedangkan ALLAH sendiri yang memiliki kuasa yang bersifat Pengasih dan Penyayang tidak pernah sombong dengan umat-Nya. Hanya manusia yang tidak beriman sahaja menganggap dirinya berkuasa dan kuat segala-galanya. Manusia lupa, apa yang ada pada diri manusia itu adalah pinjaman daripada ALLAH dan tidak layak sama sekali bersifat sombong.
Kehidupan manusia pada hari ini sudah jauh terpesong daripada kebenaran.  Mereka masih bermegah-megah dan sombong serta tidak mahu menerima kebenaran bahawa ALLAH itu lebih berkuasa daripada manusia.
Banyak contoh daripada sikap sombong ini akhirnya membawa bencana dan memakan diri. Contohnya iblis yang angkuh dan sombong kerana tidak mahu tunduk dengan Nabi Adam a.s ketika diperintahkan supaya sujud kepadanya.
 Qarun yang sombong dengan harta akhirnya binasa  ditelan bumi. Begitu juga dengan Firaun  serta bala tenteranya yang akhirnya ditelan laut kerana mengakui dirinya Tuhan. Kaum Luth juga tidak terlepas dari bala bencana ALLAH apabila angkuh dan sombong dengan menolak kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Luth a.s.
 Sifat angkuh dan sombong ini sangat bahaya sehinggakan Rasulullah s.a.w menjelaskan melalui satu hadis dari Abdullah bin Mas’ud r.a diriwayatkan oleh Muslim, katanya, “Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong”, kemudian seseorang berkata: "(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus," Beliau bersabda: "Sesunguhnya ALLAH itu indah dan Dia menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain."
Orang yang sombong selalu lupa diri kerana menganggap dirinya serba sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Tambahan pula ada segolongan orang yang mengagung-agungkan kelebihan yang ada padanya seperti harta kekayaan atau memliki sesuatu kelebihan yang tidak ada pada orang lain.
ALLAH sendiri  mengingatkan umatnya supaya jangan berlaku sombong terhadap manusia lain dan ini ditegaskan dalam al-Quran surah Luqman  ayat 18 yang bermaksud, “Janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. "
Ayat di atas mengingatkan kepada kita supaya jangan menjadi manusia yang berlagak sombong, apabila berjalan dan bertemu dengan orang lain, mereka memalingkan muka ke arah lain kerana menganggap dirinya lebih mulia dan orang lain lebih rendah tarafnya. Perbuatan seperti itu sangat dibenci ALLAH kerana ALLAH telah menjadikan mereka tetapi mereka cepat lupa diri.
Kita jangan sekali-kali  memurkai ALLAH kerana jika ALLAH murka, sudah pasti kita akan menerima kesannya  Ini dijelaskan sendiri oleh ALLAH dalam al-Quran surah Az-Zumar ayat 72, ALLAH berfirman yang bermaksud, “Dikatakan kepada mereka: Masukilah pintu-pintu Neraka Jahanam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; kerana itu adalah tempat bagi orang-orang yang sombong takbur.”
Ayat ini menjelaskan biarpun ada sedikit rasa takbur dan sombong, mereka akan menjadi penghuni lembah api itu untuk kekal selama-lamanya. Apakah penjelasan ini akan mengecutkan perut orang yang sombong dan takbur? Mungkin tidak, kerana apabila perbuatan sombong sudah menjadi amalan hidup, mereka tidak akan takut kecuali orang yang beriman.
Orang yang bersifat sombong  sudah tentu  akan terlepas peluang menjadi penghuni syurga.  Perhatikan apa kata Rasulullah s.a.w melalui hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w berkata, “Mahukah Aku beritahu kepada kamu tentang penghuni syurga? Para sahabat menjawab: tentu (wahai Rasulullah), lalu beliau berkata: "(Penghuni syurga adalah) orang-orang yang lemah lagi direndahkan oleh orang lain, kalau dia bersumpah (berdoa) kepada ALLAH nescaya ALLAH kabulkan doanya, Mahukah Aku beritahu kepada kamu tentang penghuni neraka? Para sahabat menjawab: tentu (wahai Rasulullah), lalu beliau berkata: "(Penghuni neraka adalah) orang-orang yang keras kepala, berbuat sesuka hati (kasar), lagi sombong."
Orang yang sombong  apabila mencapai sesuatu kejayaan, mereka tidak ingat sifat kesombongannya itu satu perbuatan yang sangat dicela. Ini kerana mereka telah ditenggelami oleh puji-pujian berpunca daripada kejayaannya itu. Meraih kejayaan di sini ditafsirkan sebagai kejayaan mengatasi orang lain di dalam sesuatu perkara. Ini akan membuatkan mereka  berasa lebih hebat manakala orang lain dianggap sangat lemah.
Apabila ini berlaku,  hati mereka seolah-olah telah dikunci mati kerana hati merupakan punca segala kesombongan sedangkan anggota tubuh yang lain  terpaksa tunduk dengan kehendak hati yang sombong ini.
Oleh itu janganlah ada di antara kita  memiliki sifat sombong ini kerana ALLAH telah menjanjikan kehinaan hidup mereka di dunia dan akhrat berpunca daripada sikap jahil mereka.  ALLAH sendiri menjanjikan amanatnya  dalam al-Quran  surah Al-A’raf ayat 146, yang bermaksud, “AKU akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaan-Ku).”
          Apabila ALLAH telah memalingkan hati, yakni tidak mahu menerima kebenaran, ALLAH akan menghinakan hidup mereka dengan kejahilan sebagai balasan sikap sombong mereka. Manakala pada hari akhirat kelak, mereka akan dihinakan dengan cara saiz tubuh mereka dikecilkan sekecil semut dan kehinaan datang kepada mereka dari segenap penjuru.
Ini dijelaskan sendiri melalui hadis oleh at-Tirmizi dan Ahmad, Rasulullah s.a.w berkata, “Orang-orang yang sombong akan dihimpunkan pada hari kiamat seperti dalam bentuk semut-semut kecil dengan rupa manusia, dari segala tempat datang kehinaan kepada mereka, mereka dibawa ke penjara neraka jahannam yang di sebut Bulas, di bahagian atasnya api yang menyala-nyala dan mereka diberi minuman dari kotoran penghuni neraka."
Daripada penjelasan  ayat-ayat al-Quran dan hadis itu, sudah tentu memadai kepada kita betapa sifat sombong ini mesti dijauhi. Meskipun sifat sombong dan angkuh ini sukar hendak dikikis tetapi jika kita berhasrat nmencapai kesempurnaan iman, perbuatan tercela ini hendaklah ditringgalkan langsung sehingga jangan ada sedikit pun sisa-sisanya melekat di dalam hati kita.







Tiada ulasan: