Selasa, 20 Januari 2015

BERSYUKURLAH APABILA MENDAPAT NIKMAT



BERSYUKUR  bermaksud berterima kasih di atas nikmat yang ALLAH berikan kepada kita. Nikmat yang dimaksudkan di sini terlalu luas maksudnya. Secara keseluruhan, apa yang ALLAH berikan kepada hamba-Nya di dunia adalah nikmat belaka. Di antara nikmat terbesar yang kita nikmati ialah, nikmat kesihatan, kemewahan, rezeki, kebahagiaan dan banyak lagi.

Bagaimanapun adakah kita bersyukur dengan nikmat yang ALLAH berikan? Tidak dinafikan ada di kalangan manusia mensia-siakan nikmat ALLAH. Mensia-siakan nikmat ALLAH ialah tidak bersyukur dengan kurniaan ALLAH. Tujuan ALLAH memberikan segala nikmatnya kepada hamba-Nya bertujuan supaya manusia bersyukur di samping melaksanakan perintah-perintah-Nya.   

Tanda-tanda  seseorang itu bersyukur ialah apabila mereka berasa gembira mendapat nikmat  dan dengan nikmat itu mereka melipatgandakan amal ibadat serta mendekatkan diri kepada ALLAH. Mereka selalu mengucapkan syukur dan memuji-muji keagungan ALLAH di samping setiap detik mengingati-Nya meskipun ketika mendapat nikmat yang kecil.

Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang kufur dikatakan menggunakan nikmat dengan jalan yang salah. Contohnya mereka dikurniai dengan lidah dan mulut tetapi lidah dan mulut digunakan untuk mengumpat, memfitnah, mengadu domba, minum minuman yang haram, memakan harta anak yatim dan sebagainya.

ALLAH  menciptakan manusia dengan serba sempurna agar dapat melakukan kebaikan dengan manusia lain tetapi menggunakan anggota yang ada untuk berbuat kejahatan dan kemaksiatan. Itu juga dikira mengkufuri nikmat ALLAH.

ALLAH tidak mendapat apa-apa keuntungan  apabila seseorang itu bersyukur, sebaliknya ALLAH akan membalas perbuatan syukur itu dengan memberikan  lebih banyak nikmat lagi.  ALLAH juga tidak akan berasa rugi jika manusia tidak bersyukur kepada-Nya, sebaliknya manusia itu sendiri yang rugi seolah-olah melepaskan peluang yang sudah diberi.

Orang yang bersyukur, jiwanya menjadi semakin bersih. Dia bertambah dekat kepada ALLAH dan semakin sedar nikmat itu kurniaan ALLAH yang perlu dipergunakan untuk kebaikan sesama manusia.

ALLAH telah menjanjikan akan memberikan nikmat yang tidak terhingga  kepada mereka yang bersyukur dan akan memberikan pembalasan di akhirat kelak. Ini ditegaskan sendiri oleh ALLAH dalam al-Quran surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Kami pasti akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari,  sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

Salah satu tanda kesempurnaan iman seseorang ialah bersyukur dengan nikmat ALLAH kurniakan tetapi jika kita tidak bersyukur, sudah tentulah iman seseorang itu belum sempurna. Tanda seseorang bersyukur ialah apabila  mengikuti dan mematuhi ajaran agama, melakukannnya dengan penuh keikhlasan.

 Jika kita sentiasa bersyukur dan mengingati ALLAH, sudah tentu ALLAH akan mengingati kita sama ada ketika kita susah atau senang, apatah lagi jika di dalam semua keadaan ingatan kita kepada ALLAH tidak pernah terpadam.

 Perkara ini ditegaskan dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud,  Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.”

 Betapa sayangnya ALLAH kepada hamba-Nya, tiada seorang pun yang tidak dikurniakan rezeki. Sama ada mereka beriman atau tidak, ALLAH telah memberikan rezeki kepada mereka. Tetapi sayangnya ada di kalangan mereka tidak bersyukur dengan nikmat rezeki yang diberikan.

Sebagai contoh,  ada mereka yang dikurniakan rezeki melimpah-ruah tetapi tidak menggunakan dengan jalan yang diredai ALLAH. Mereka menggunakan rezeki itu untuk kegiatan maksiat, rasuah,  dan sebagainya. Manakala mereka yang dikurniai rezeki yang sedikit, mereka juga tidak bersyukur malah memarahi ALLAH kononnya ALLAH pilih kasih sehingga menyebabkan hidupnya susah dan mereka kufur.

Manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat  ALLAH, hidup mereka tidak pernah tenteram. Apabila mereka dilimpahi kemewahan dengan harta benda, mereka masih mahu mencari lagi selagi perasaan tamak masih ada. Begitu juga dengan harta yang sedikit, mereka akan berusaha mencari harta sebanyak mungkin tanpa mahu bersyukur dengan apa yang ada.

 Semakin banyak harta yang mereka cari, terasa masih lagi tidak mencukupi. Ini kerana sifat tamak sudah menguasai diri tanpa menyedari kemewahan yang mereka alami merupakan ujian ALLAH kepadanya. Pada bila-bila masa sahaja ALLAH akan mencabut semula nikmat yang diberikan.

Tentu kita pernah mendengar atau melihat, bagaimana seseorang yang dahulunya kaya raya tetapi kemudian, dia jatuh miskin dan hidup tidak menentu. Ini semua berpunca kerana tidak bersyukur dengan nikmat ALLAH. Tidak bersyukur sama seperti tidak menghargai sesuatu pemberian.
 Manusia beriman yang selalu bersyukur dengan nikmat kurniaan ALLAH mampu menitiskan airmata, betapa banyaknya nikmat yang ALLAH beri tetapi teramat sedikit yang kita beri pulangan kepada-Nya.
Bayangkanlah jika Rasulullah s.a.w sendiri pernah menitiskan air mata apabila mengenangkan  kejadian alam yang terbentang luas ini ketika menunaikan solat. Perbuatan Rasulullah s.a.w ini dilihat oleh isterinya Siti Aisyah r.a lalu dia bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang menyebabkan engkau menangis sedangkan ALLAH telah mengampunkan dosa-dosamu yang lalu dan yang terkemudian?”
Rasulullah s.a.w kemudian menjawab, “Adakah aku ini bukan seorang hamba yang bersyukur? Mengapa aku tidak berbuat demikian sedangkan ALLAH telah memberikan banyak nikmat kepadaku?”
 Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim itu sejajar dengan penjelasan ALLAH dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 164 yang bermaksud, “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal berlayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia.”

 Bagi manusia yang sentiasa bersyukur,  mereka merenung kejadian alam ini dengan rasa keimanan dan takwa disusuli rasa kesyukuran , keinsafan dan memperteguhkan iman. Tetapi bagi yang tidak bersyukur, mereka  menganggap pembentukan alam ini tidak lebih hanya satu ciptaan biasa, ibarat hadiah daripada ALLAH kepada hamba-Nya.   
 Mereka tidak pernah menganggap nikmat ALLAH itu satu kurrniaan terbesar sedangkan jika hendak dihitung, sememangnya tidak akan terhitung biarpun ditimbang dengan sebesar timbangan. Ini sejajar dengan penjelasan  ALLAH dalam al-Quran surah an-Nahl ayat 18 yang bermaksud, “Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”

 Imam Al-Ghazali menggariskan,  nikmat kurniaan ALLAH dibahagi kepada dua.

1.  Nikmat yang bersifat fitrah atau semula jadi yang ada pada manusia sejak dilahirkan.

2.    Nikmat yang dapat dinikmati pada ketika-ketika tertentu sahaja.

 Nikmat bersifat fitrah atau semula jadi ini ada dijelaskan dalam al-Quran surah an-Nahl ayat 78 yang bermaksud, “Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberikan kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur.”

Manakala nikmat yang dinikmati hanya ketika-ketika tertentu sahaja  ialah nikmat kelazatan dan kebahagiaan diterima manusia sepanjang perjalanan hidup termasuk isi alam daripada tanaman, binatang ternakan serta sumber asas yang boleh dimanfaatkan.

Perkara ini ada dijelaskan oleh ALLAH dalam al-Quran, surah Yassin ayat 31-35, yang bermaksud, “Dan sebagai tanda untuk mereka ialah bumi yang mati (kering). Kami hidupkan dan kami keluarkan dari dalamnya buah tanam-tanaman yang sebahagiannya mereka makan. Dan Kami adakan padanya kebun kurma dan anggur. Dan Kami pancarkan kepadanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan buahnya. Semua itu bukanlah (hanya) usaha tangan mereka. Mengapa mereka tidak bersyukur.”

Pada kebiasaannya, manusia akan menyesal atau bertaubat lalu patuh dengan perintah ALLAH setelah kehilangan nikmat atau kurniaan yang ALLAH berikan kepadanya. Sebagai contoh apabila kehilangan salah satu anggota badan atau pancaindera akibat kemalangan atau penyakit, ketika itu barulah tersedar betapa ruginya hidup ini apabila nikmat itu ditarik oleh ALLAH.

Bayangkanlah kalau penglihatan kita menjadi gelap, pendengaran menjadi sunyi sepi, hilang deria bau, hilang kaki, hilang tangan atau kecacatan lain, sedangkan selama ini kesemua itu dapat kita miliki tetapi kini hilang semua kenikmatan itu.  Seseorang manusia hanya akan menjadi reda dengan ketentuan ALLAH apabila selama ini dia bersyukur dan menganggap kehilangan itu satu ujian.

Apabila kita kurang beriman, kita akan menganggap ALLAH tidak adil kerana telah mencabut kenikmatan itu daripada hidup kita sedangkan selama ini kita diberi peluang supaya bersyukur tetapi kita enggan malah  sering pula melanggar perintah ALLAH.

Sehubungan  itu ada enam cara bagaimana kita ingin menyatakan kesyukuran kepada ALLAH.

Pertama : Sentiasa berdoa atau memuji ALLAH  dalam setiap perbuatan dan tindakan, seperti apabila hendak  dan bangun dari tidur, sebelum dan selepas makan, menaiki kenderaan dan sebagainya.

Kedua : Disunatkan melakukan sujud syukur apabila mendapat kejayaan, kemenangan dan seumpamanya. Doa sujud syukur ialah, “Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha suci ALLAH sebaik-baik Pencipta."

Ketiga : Melakukan segala perintah-Nya dengan ikhlas dan menjauhi segala larangan-Nya dengan sabar.

Ini ditegaskan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya, "Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya,  hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya,  lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka."


Keempat : Memanfatkan pemberian ALLAH  dengan cara yang betul seperti menggunakan lidah untuk berzikir kepada ALLAH dan menggunakan nikmat mata untuk membaca al-Quran dan sebagainya.

 Ini dijelaskan dalam al-Quran surah Al-A’raf ayat 205, “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”

Kelima : Menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Sentiasa bersedekah dan menginfakkan harta ke jalan ALLAH.

Ini ditegaskan dalam hadis at-Tirmizi, Rasulullah s.a.w yang berkata , “Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu di lehernya. Lalu yang lain datang untuk memukul lehernya. Maka berkatalah (sedekah): ‘Aku menebusnya dari kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya dari mereka.”

 Keenam : Sentiasa memohon kepada ALLAH  agar menjadi hamba yang sentiasa bersyukur, sebagaimana doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w maksudnya, "Ya ALLAH! Bantulah kami supaya dapat selalu menyebut-Mu (berzikir mengingati-Mu), bersyukur dan beribadat yang sebaik-baiknya kepada-Mu."


Oleh itu, jadilah manusia yang bersyukur sebelum ALLAH mencabut salah satu nikmat yang diberikan kepada kita. Gunakanlah peluang yang masih ada sebagai mengakui kesempurnaan iman kita.












Tiada ulasan: