Selasa, 9 Februari 2016

BEREBUTKAN HARTA SEUMPAMA MEMBINASAKAN DIRI



DALAM hidup ini, tidak ada sesiapa yang menolak apabila diberikan harta. Harta itu diperlukan oleh semua orang kerana harta itulah yang akan mencuckupkan segala keperluan hidup.  Hidup tanpa harta ibarat besi karat yang tidak berguna lagi. Justeru ramai orang sanggup bekerja siang dan malam mencari harta semata-mata memenuhi tuntutan hidup.
Islam tidak melarang umatnya mencari harta sebanyak mungkin. Tetapi dalam mencari harta, ada manusia mudah lupa apabila hidup dilimpahi kemewahan. Mereka lupa kepada ALLAH SWT yang memberikan rezeki kepada mereka. Mereka lebih bertuhankan harta berbanding bertuhankan ALLAH SWT.
Tidak dinafikan apabila manusia disibukkan mencari harta dunia, manusia akan lupa mencari harta untuk bekalan hari akhirat. Ini sememangnya berlaku dalam kehidpan kita sehari-hari  apabila nafsu mencari harta tidak terkawal sehingga meninggalkan tanggungjawab kepada ALLAH SWT.

Justeru keutamaan mencari harta dunia berlebihan menyebabkan Rasulullah SAW berasa khuatir dengan keadaan ini. Baginda tidqak khuatir seandinya ramai umatnya hidup dalam kefakiran tetapi yang baginda risaukan ialah umatnya dibutakan harta dunia.
 Rasulullah SAW mengumpamakan perkara yang sama telah berlaku ke atas umatnya sebelum ini.
Ini dijelaskan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan dari kamu. Akan tetapi yang aku khuatirkan atas kamu apabila kamu telah dibukakan (harta) dunia sebagaimana telah dibukakan kepada orang-orang sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba berebut mendapatkannya sebagaimana mereka berlumba-lumba merebutnya sehingga harta dunia itu membinasakan kamu sebagaimana telah membinasakan mereka.” - HR Bukhari.
Banyak kes berlaku apabila di kalangan umat manusia yang berebutkan harta akhirnya membinasakan hidup mereka. Sebagai contoh di kalangan ahli keluarga yang berebutkan harta peninggalan atau harta pusaka. Akibat berebutkan harta, mereka saling bermusuhan sesama sendiri.
         
Jika sebelum  ini hidup mereka aman damai tetapi apabila sampai ke satu masa mereka berebutkan harta pusaka, silaturahim tidak lagi wujud. Sebaliknya timbul pemusuhan berlaku kerana pembahagian harta yang tidak seimbang. Perlu diingatkan, harta benda dan anak pinak adalah perhiasan hidup di dunia. Untuk itu jangan sampai terpedaya dengan dorongan nafsu yang kesannya membawa akibat buruk.
Tidak kurang juga berlaku sehingga sanggup berbunuhan sesama ahli keluarga beprunca dari berebutkan harta pusaka. Inilah sebenarnya yang Rasulullah Saw khuatirkan kerana sememangnya berlaku sejak zaman dahulu sehingga zaman sekarang.

 Dalam al-Quran, ALLAH SWT banyak memberikan peringatan betapa harta itu akan menjadi ujian dan akan membinasakan sesiapa yang berebut-rebut mendapatkannya, di antara surah Al-Anfal ayat 28, At-Taghabun ayat 15 manakala dalam surah Al-Munafiqun ayat 9 dengan jelas ALLAH SWT mengngatkan bermaksud, “Wahai orang yang beriman!  Janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.”

Sementara itu Rasulullah SAW sudah mengingatkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya anak cucu Adam memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu Adam kecuali tanah dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat.” – HR Bukhari dan Muslim.
  
Kelalaian manusia daripada mengingati ALLAH SWT sebaliknya sibuk mengejar harta, sudah pun dijelaskan dalam surah at-Takathur ayat 1 dan 2 bermaksud, Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh).Sehingga kamu masuk kubur(tanah.)

Tiada ulasan: