RAMAI
beranggapan apabila kita ditimpa sesuatu musibah, jawapannya bukan pada Allah
sedangkan pada hakikatnya pemberi musibah itu Allah, sudah tentu Allah memiliki
jalan penyelesaiannya dan kepadanya memohon pertolongan. Oleh kerana
beranggapan seperti itu, tidak hairanlah ada manusia hilang pertimbangan kerana
tidak tahu kepada siapa mahu mengadu.
Manusia sering lupa, apabila ditimpa
musibah jangan terus cuba selesaikan musibah itu. Cara yang betul ialah bertaubat dahulu,
memohon keampunan kepada Allah seraya
memohon pertolongan. Bukankah musibah itu sebagai teguran atau peringatan
supaya kita kembali kepada-Nya?
Setelah kita bertaubat dan memohon
keampunan, barulah kita selesaikan masalah atau musibah itu dan pasti Allah
akan menunjukkan jalan keluar setelah berdoa memohon pertolongan. Perlu
diingat, dalam hal ini jangan sekali-kali pinggirkan Allah sebagai pemberi
musibah.
Sebagai contoh apabila kita ditimpa
sesuatu penyakit serius. Iktikad kita hanyalah terus berjumpa doktor kerana
mereka berpendapat hanya doktor sahaja yang boleh memberikan ubat dan
menyembuhkan penyakitnya. Mereka lupa, yang memberikan penyakit adalah Allah
dan Allah jugalah yang berkuasa menyembuhkan penyakit.
Di dalam minda mereka, Allah tidak
ada kaitan dalam perkara ini lalu mendahulukan doktor dan mengenepikan Allah
dalam urusan menyembuhkan penyakitnya. Tidak salah untuk mendapatkan rawatan
doktor kerana doktor hanyalah perantara Allah untuk menyembuhkan penyakit,
bukannya doktor penyembuh penyakit.
Apabila kita mendahulukan yang lain
selain Allah, itu yang menyebabkan pertolongan Allah lambat sampai atau dalam
erti kata lain musibah atau ujian itu lambat untuk diselesaikan sedangkan Allah
itu yang lebih dekat dengan manusia. Ini
dijelaskan dalam surah al-Qaaf ayat 16 bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dan Kami ketahui apa-apa yang
ada di dalam hati (bisikan hati) mereka dan Kami lebih hampir kepadanya dari
urat lehernya.”
Dari segi logiknya apabila rumah
kita dimasuki perompak atau pencuri, kepada siapakah kita memohon pertolongan
kalau bukan jiran-jiran yang berdekatan. Tidak mungkin kita akan meminta tolong
kepada mereka yang tinggal berjauhan. Begitulah juga apabila kita ditimpa
musibah, tempat pertama mengadu ialah Allah.
Contoh lain, seseorang akan dipenjarakan atau dihadapkan
ke mahkamah lalu diisytiharkan muflis sekiranya gagal membayar
hutang-hutangnya. Di dalam pemikiran mereka, jalan penyelesaikan ialah dengan
menyediakan wang ringgit untuk melunaskan hutang dan mengelakkan dari di
penjara atau diisytiharkan muflis.
Ya, sememangnya mustahil Allah akan
menggugurkan wang dari langit untuk melunaskan hutang orang berkenaan sekiranya dia bertaubat,
mengadu dan memohon pertolongan daripada Allah kerana jawapan daripada
penyelesaikan ini ialah wang. Tetapi bukan mustahil jika Allah mengirimkan
malaikat lalu memberikannya wang untuk menyelesaikan hutangnya itu.
Persoalannya di sini, jangan
berkiblatkan wang untuk mencari jalan penyelesaikan tetapi berkiblat dahulu
kepada Allah dan Allah akan memberikan pertunjuk bagaimana supaya hutang itu
dapat diselesaikan. Kalaupun tidak semestinya hutang itu mesti diselesaikan
pada tempoh tertentu, apabila meminta pertolongan Allah, bukan mustahil jika si
pemberi hutang lembut hatinya supaya hutang dibayar beransur ansur atau
dikurangkan jumlahnya.
Perancangan Allah tidak ada sesiapa
pun tahu. Walaupun jika orang yang berhutang itu tidak dapat menyesaikan
hutangnya, dan ia dipenjara atau muflis, hikmahnya akan memberi keinsafan
kepadanya supaya jangan suka berhutang. Pengalaman merengkok di penjara atau
muflis akan mematangkan dirinya kemudian bangkit semula selepas dibebaskan.
Mereka menjadi manusia baru bahawa
perancangan atau pertolongan Allah dikemudiankan dengan orang yang berhutang
ini lebih berhati-hati lalu berusaha bangkit semula mengumpul kekuatan dengan
memperbaiki kehidupannya semula.
Bukan mustahil, orang yang sudah
jatuh tertiarap akhirnya perlahan-lahan bangun semula dan kemudian mampu
berlari dan menjadi gagah, lebih gagah daripada sebelum dia jatuh tertiarap.
Sebenarnya perancangan Allah kepada
hamba-hamba-Nya yang memohon pertolongan dan mendahulukan Allah daripada
segala-galanya sangat unik dan tidak terjangkau oleh pemikiran manusia.
Berapa ramai orang yang ditimpa musibah tetapi mereka istiqamah bersabar
dan redha, akhirnya mereka berjaya bangkit semula dengan kejayaan yang luar
biasa.
Itulah juga yang dijanjikan oleh
Allah dalam al-Quran setiap kesusahan yang dilalui akan ada kesenangan pada
akhirnya. Cuma apa yang penting di sini, jadikan Allah sebagai rujukan pertama
sekiranya ditimpa sesuatu musibah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan