Selasa, 27 Disember 2016

AIR MATA MAHAL BAGI ORANG BERIMAN



PERNAH  suatu ketika Rasulullah SAW sedang duduk bersama-sama dengan para sahabat, tiba-tiba baginda menoleh pandangannya ke arah sekumpulan manusia seraya bersabda, “Apakah yang sedang mereka lakukan?” 

Seorang  sahabat menjawab, “Mereka sedang menggali kubur untuk mengkebumikan seorang yang telah meninggal dunia.” Sebaik mendengar jawapan itu, Baginda berganjak dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendahului para sahabatnya.

Akhirnya baginda tiba di tanah perkuburan itu dan mencangkung berhampiran kubur tersebut. Para sahabat mengambil tempat di hadapan Baginda Rasulullah agar dapat melihat apa yang akan dilakukan oleh Baginda. 

Mereka melihat Rasulullah SAW menangis sehingga air mata menitis ke pipinya kemudian berkata kepada sahabat, “Wahai saudara-saudaraku, kalian harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peristiwa seperti hari ini (kematian).” Begitulah ketakutannya kekasih ALLAH SWT yang mulia. Bagaimanakah dengan kita sebagai umatnya?

Kadang-kadang kita tidak hairan, jauh sekali untuk menitiskan air mata apabila melihat sesuatu akibat kemalangan ngeri dan sebagainya. Melihat kebiasaan seperti itu setiap hari menyebabkan tidak ada rasa takut kepada ALLAH SWT.

Berapa kalikah dalam sehari kita menangis kerana mengingati kematian? Langsung tidak ada. Sebab itulah tidak ada rasa takut. Ramai yang tidak pernah melakukan persiapan menghadapi kematian kerana berfikir, usia masih panjang lagi.

Menangis kerana takutkan ALLAH SWT akan menyelamatkan kita dari seksaan dan azab-Nya yang pedih. Sekiranya kita boleh menangis dan menitiskan air mata atas sebab-sebab lain, mengapakah kita tidak boleh menangis kerana ALLAH SWT?

Kita menangis sehingga tersedu-sedu apabila melihat peserta program realiti di kaca tv terkeluar dan tidak dapat meneruskannya. Kita menangis apabila melihat cerita Hindustan sehingga menitiskan air mata kesedihan pasangan bercinta tidak kesampaian ke jenjang pelamin. 

 Marilah kita muhasabah diri. Jangan mudah menangis atau menitiskan air mata  kepada perkara yang tidak sepatutnya. Air mata mahal harganya. Biarlah air mata yang mahal itu hanya untuk  ALLAH SWT sahaja. Tidak perlu menangis atau menitiskan air mata selain daripada itu kerana ia tidak ada nilaian langsung.


Tiada ulasan: