Selasa, 27 Disember 2016

MAKSUD MENANGIS KERANA ALLAH



KITA seringkali banyak menangis. Tetapi sayang, kita selalu menangis bukan kerana ALLAH SWT tetapi kerana kecewa atau gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati. Di dalam Islam, bukan menangis yang seperti itu yang digalakkan.

Menangis kerana ALLAH SWT ialah menangis kerana takutkan-Nya. Mengapakah kita menangis sedangkan ALLAH SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Lainlah,  jika ALLAH SWT bersifat bengis dan garang, memang wajar untuk kita menangis kerana takutkan-Nya.

Menurut Sayid ‘Abdullah Bin Alwi Al-Hadad ra, berkata, menangis kerana takutkan ALLAH SWT merupakan sifat mulia dan usaha yang terpuji. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah Maryam ayat 58 bermaksud, “Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, lalu mereka tunduk sujud dan menangis.”

Mereka yang menangis kerana takutkan ALLAH SWT merupakan satu dari tujuh golongan yang akan mendapat naungan-Nya pada hari akhirat kelak. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Kelak pada hari akhirat semua mata akan menangis, kecuali mata yang pernah menangis kerana takutkan kepada ALLAH SWT dan mata yang tidak tidur pada malam hari kerana berjaga malam di jalan ALLAH SWT.” – HR At-Tirmizi.

Hadis di atas,  menunjukkan betapa manusia yang menangis kerana ALLAH SWT sangat tinggi nilai darjatnya, berbanding dengan mereka yang banyak menangis tetapi tidak mendapat apa-apa.

Rasulullah SAW menjelaskan lagi, “Tidak akan masuk neraka seorang yang menangis kerana takut ALLAH, kecuali jika air susu mampu kembali semula ke dalam tempat kelenjar susu dan unta boleh masuk ke dalam lubang jarum.” – HR Ahmad, At-Tirmizi dan Nassaie.

Walaupun sudah dijelaskan betapa mulianya darjat manusia yang menangis kerana ALLAH SWT, tetapi mengapa sangat sedikit manusia yang menangis kerana takutkan-Nya?

Perhatikanlah ramai yang menangis kerana kecewa dan takut sesama manusia. Jika kita tidak mampu menangis kerana-Nya, berusahalah untuk menangis kerana ALLAH SWT.

Tetapi, jangan sekali-kali menangis atau  berpura-pura menangis untuk mendapatkan perhatian manusia. Tangisan seperti ini tidak akan ada nilainya di sisi ALLAH SWT.      

Walaupun menangis itu fitrah manusia sejak dilahirkan sehinggalah sampai ke saat kematiannya, bukan bermakna setiap tangisan itu tidak ada nilainya. Berapa ramaikah  di antara kita yang pernah menangis kerana memikirkan terlalu banyaknya dosa yang dilakukan sedangkan amalannya amatlah sedikit?

Memang ada yang terlalu gembira kerana banyak melakukan dosa dan berbangga-bangga dengan kemaksiatannya. Tidak  ada rasa bersalah dan sedih pun kerana amalannya sangat sedikit berbanding dengan banyaknya nikmat yang ALLAH SWT berikan.

Mereka yang benar-benar beriman sahaja akan menitiskan airmata mengenangkan dosa yang sedang ditanggung dan betapa takutnya kepada ALLAH SWT. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah  al-Imran ayat 175 bermaksud, “Dan takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

Mereka yang langsung tidak takut kepada ALLAH SWT, itulah manusia yang tidak beriman. ALLAH SWT telah menjanikan syurga kepada mereka yang takutkan-Nya, malah akan ditinggikan darjatnya.

Buktinya, ALLAH SWT  menjelaskan dalam surah Ar-Rahman ayat  46 bermaksud, “Dan bagi orang-orang yang takut  akan saat menghadap Allah ada dua syurga.” Di kalangan umat manusia, selain Rasulullah SAW dan para nabi, para sahabat nabi, pata tabiin serta orang-orang yang soleh sahaja akan bercucuran airmata kerana takutnya mereka kepada ALLAH SWT.

Sekiranya Rasulullah SAW yang maksum pun takut dan bercucuran airmata takutkan ALLAH SWT, mengapakah kita liat sangat mahu menitiskan air mata kerana ALLAH?

Tiada ulasan: