Jumaat, 22 Mei 2015

SENI BAGAIMANA MENGURUS REZEKI



SUAMI isteri bekerja. Jika dicampur gaji suami dengan isteri, sememangnya mencukupi. Tetapi setelah ditolak pelbagai perbelanjaan seperti ansuran kereta, minyak kereta, ansuran rumah, bil elektrik, bil telefon, perbelanjaan untuk sekolah anak-anak, perbelanjaan dapur dan segala perbelanjaan yang kecil-kecil, masih tidak mencukupi lagi. Mengapa ya?
            Apakah kerana suami isteri itu tidak bijak mengurus kewangan atau ada sesuatu yang tidak kena dengan rezeki yang mereka perolehi? Jika di kampung, ibu bapa kita dulu hanya bergaji tidak sampai RM 500 tetapi cukup untuk keperluan makan, minum, tempat tinggal dan sebagainya. Mereka jarang menghadapi masalah kewangan tetapi kita yang bergaji lebih daripada RM 5,000 sebulan ke atas masih lagi tidak mencukupi.
            Itu belum dikira jika berlaku kes-kes kecemasan seperti kereta rosak, kemalangan, anak sakit dan perlukan belanja rawatan, rumah kena pecah dan pelbagai masalah lagi yang memerlukan kewangan untuk diselesaikan. Akibat tidak berkecukupan, mulalah berhutang sana-sini tetapi mereka sama juga  seperti kita, banyak masalah kewangan yang perlu diselesaikan.
            Jika dikatakan tidak bijak mengurus kewangan, mungkin ada benarnya. Orang yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada akan membelanjakan kewangan mereka dengan berhati-hati. Mereka berbelanja mengikut kemampuan dan mengikut keperluan. Jika tidak perlu, mereka akan simpan duit untuk kecemasan.
            Apabila rezeki yang diperolehi tidak mendapat redha ALLAH atau tidak berkat, duit akan mengalir deras ke arah yang tidak diketahui, sedar-sedar duit habis dan tidak sedar ke mana duit dibelanjakan sedangkan hasilnya tidak nampak. Hidup pula  semakin banyak masalah. Lepas satu, satu masalah lain pula datang sehinggakan fikiran buntu mencari penyelesaiannya.
            Mereka  yang mengalami perkara seumpama ini, perlu mengubah diri. Renung ke dalam diri lama-lama dan lihat apa kesilapan yang sudah dilakukan dan apakah perintah ALLAH yang tidak atau belum ditunaikan. Bayangkanlah apa terjadi pada hidup ini, sudahlah rezeki sempit banyak pula masalah bertimpa-timpa.
            Pada satu hari Abu Yazid Al-Bustami, seorang ahli sufi didatangi seorang lelaki yang berwajah muram, rambut kusut masai dan dahi berkerut mengadu kepadanya. Katanya, “Wahai Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya saya tidak pernah lepas daripada beribadah kepada ALLAH. Ketika orang lain nyenyak tidur, saya bangun bertahajud dan bermunajat. Ketika isteri belum bangun, saya sudah mengaji Quran. Saya bukan seorang pemalas dan enggan mencari rezeki tetapi megapa hidup saya selalu malang dan  sentiasa dilanda masalah?”
            Abu Yazid menegur lelaki itu, katanya, “Perbaiki penampilanmu dan bersihkan wajahmu. Tahukah kamu, Rasulullah SAW  seorang yang susah dan miskin tetapi wajahnya tak pernah masam (keruh atau muram) malah selalu ceria. Rasulullah SAW bersabda, “Salah satu tanda penghuni neraka ialah bermuka masam yang membuatkan orang curiga kepadanya.”
            Lelaki itu tunduk dan faham apa yang dimaksudkan oleh ahli sufi itu. Kemudian lelaki itu pulang dan berjanji akan mengubah penampilannya.  Sejak itu lelaki itu menjaga penampilannya dan tidak pernah mengeluh atau bermasam muka. Dia selalu tersenyum dan wajahnya sentiasa berseri-seri.
            Orang yang selalu berjumpa dengannya pun berasa gembira dengan perubahan itu dan dia mula mendapat ramai kenalan dan dari kenalan itu dia bersilaturahim lalu rezeki datang perlahan-lahan.
            Sementara itu Imam Hasan Al-Basri pula mengatakan, “Awal kebersihan sesuatu pekerjaan adalah wajah yang bersih, sentiasa ramah dan senyum.” Malah Rasulullah SAW menegaskan, senyum merupakan sedekah yang murah tetapi paling besar pahalanya.
            Berpandukan daripada kisah di atas, bolehlah dibuat kesimpulan untuk mendapatkan rezeki, bukan sahaja dari segi batiniah tetapi juga penampilan dari segi lahiriah perlu dijaga. Mereka yang bekerja dan berurusan dengan orang ramai, seperti para peniaga, pertugas di kaunter atau di mana sahaja, amalkan sifat kemas, ramah dan sentiasa senyum akan membuatkan orang senang berurusan.
            Apabila senang berurusan, pada lain kali orang datang lagi. Ini secara tidak langsung akan membuatkan rezeki datang bertimpa-timpa dan mendapat keberkatan ALLAH. Begitu juga dalam menjaga hubungan suami isteri, jika salah satu atau kedua-duanya sentiasa berwajah masam, pelbagai masalah akan timbul secara tidak langsung keberkatan rezeki tidak akan menjengah kehidupan mereka.  
            Kita jangan berfikir apa yang disampaikan di atas kurang penting untuk menjemput rezeki datang. Ramai orang tidak ambil peduli dengan perkara ini. Lazim mereka yang bertugas atau berurusan dengan orang ramai terutamanya di bahagian kaunter tidak menekankan perkara ini. Apabila mereka ditekan dengan tugas yang pelbagai, mereka jarang mahu memberikan senyuman malah kadang-kadang melayan pelanggan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
            Ingatlah, apa yang anda lakukan ini mungkin akan menyebabkan ketidak-berkatan rezeki yang anda perolehi. Ini kerana jika mereka tidak berurusan dengan anda, bermakna akan kekurangan pelanggan dan akan menjejaskan sesuatu perniagaan.


SEDEKAH ITU KUNCI PINTU REZEKI



SESETENGAH  orang apabila diminta bersedekah mereka akan berkata, “Tunggulah kalau ada rezeki lebih, barulah saya bersedekah.”  Apabila ada orang berkata begitu, percayalah sampai bila-bila pun mereka tidak akan bersedekah. Untuk bersedekah tidak perlu menunggu rezeki lebih baru sedekah.
            Orang yang selalu berkata seperti ini, yakinlah ALLAH tidak akan memberikan rezeki kerana apabila dia diberi rezeki berlebihan, dia akan lupa diri dan mengatakan rezeki itu hasil usahanya sendiri dan bukan datangnya dari ALLAH. Waktu itu, dia tidak akan bersedekah kerana tanpa bersedekah pun, rezekinya sudah bertambah. Orang seperti ini tidak sedar, dia sedang diuji sebenarnya.
            Jka ALLAH berkuasa memberikan rezeki tanpa bersusah payah bersedekah, ALLAH juga berkuasa menarik kembali rezeki mereka sedikit demi sedikit atau sekaligus supaya ia menjadi pengajaran. Tetapi apakah manusia mengambil pelajaran daripada peristiwa itu?
            Berapa ramai orang yang diuji dengan diberikan rezeki berlebihan tetapi mereka tidak mahu bersedekah lalu ALLAH mengambil semula apa yang diberikan. Kita tentu pernah melihat bagaimana seorang yang berjaya dalam bisnes dengan limpahan kekayaan tetapi akhirnya perniagaan lingkup sama ada ditipu, diperdaya, banyak hutang dan sebagainya.
            Apabila sudah jatuh muflis, barulah teringat hendak bersedekah. Ramai orang tidak tahu, paling baik untuk bersedekah ialah ketika kita sedang kesempitan wang, tambah pula ketika itu ada orang memerlukan wang kita.
            Ini ditegaskan dalam al-Quran ayat At-Talaq ayat 7, ALLAH mengingatkan yang bermaksud, “Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta-hartanya yang diberikan oleh ALLAH kepadanya.”
Yakinlah, apabila kita ikhlas bersedekah ketika kesempitan begitu, ALLAH akan segera menggantikan semula sedekah itu dalam jangka waktu yang singkat. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Dan ALLAH sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-NYA selama ia menolong saudaranya.” – Hadis oleh Muslim.
            Cuba fikirkan nelayan yang turun ke laut. Adakah mereka turun ke laut terus mendapat ikan lalu membawa pulang dengan segera. Tidak bukan! Mereka terpaksa memancing atau menjala terlebih dahulu, barulah ikan itu dikumpul lalu dibawa pulang untuk dijual bagi mendapatkan wang. Begitu juga dengan sedekah.
            Sedekah merupakan jalan pintas yang mudah untuk memperolehi kemurahan rezeki. Rasulullah SAW pernah mengingatkan supaya carilah rezeki dengan bersedekah. Bersedekah, ditambah dengan kerajinan bersolat malam (tahajud), ALLAH akan mengampuni dosa-dosanya, doanya menjadi makbul, kesihatannya dijaga, mendapat kehidupan dari sumber yang berkat dan ditambahkan rezekinya.
            Sifat manusia, hendak mendapatkan sesuatu tetapi tidak mahu memberi dahulu sedangkan pada hakikatnya apabila kita memberi dahulu, barulah kita akan menerima. Begitu juga dengan rezeki. Kita jangan mengharapkan orang memberi sahaja  sedangkan kita tidak mahu memberi tetapi hanya mahu menerima sahaja.
            Apabila kita selalu memberi (bersedekah) ke jalan ALLAH, yakni menyenangkan orang lain, yakinlah semua orang di sekeliling kita akan mempermudahkan semua urusan kita. Jika kita menurut jalan ALLAH, yakinlah ALLAH akan membukakan jalan untuk kita, yang susah akan menjadi mudah kepada kita.
             Sesiapa yang ingin pintu rezeki sentiasa terbuka, bukalah pintu hati supaya sentiasa bersedekah. ALLAH berfirman dalam al-Quran surah as-Saba ayat 39 bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhan-KU memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA di antara hamba-hamba-NYA dan ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka ALLAH menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”
             Oleh itu, apabila diminta bersedekah, janganlah beralasan mahu menunggu rezeki lebih barulah hendak bersedekah. Bersedekahlah biarpun sedikit asalkan ikhlas dan berterusan kerana yang sedikit itu lama-lama akan menambahkan rezeki tanpa kita sedari. Orang yang sering beralasan apabila diminta bersedekah ibarat orang yang berkata, “Saya tidak akan solat selagi tidak kusyuk.”
            Bagaimanakah seseorang itu hendak kusyuk jika tidak solat? Sepatutnya mereka perlu berkata, “Saya akan solat walaupun tidak kusyuk. Mudah-mudahan dengan solat yang istiqamah itu, akhirnya saya akan kusyuk.” Begitu juga dengan sedekah. Mereka perlu berkata, “Saya akan bersedekah walaupun saya kesempitan wang. Mudah-mudahlah dengan sedekah yang sedikit ini ALLAH akan lipat-gandakan rezeki saya dan dapatlah saya perbanyakkan sedekah saya.”
            Bersedekah merupakan satu amalan terpuji kerana bersedekah itu mengikut pemahaman sebenarnya tidak tertakluk kepada wang ringgit dan harta benda malah yang tidak berharta atau pun wang ringgit masih boleh bersedekah dengan tenaga fizikal mahupun jika dengan memberikan buah fikiran.
            Mereka yang masih beralasan begitu sebenarnya telah ditakut-takutkan oleh syaitan. Syaitan berjanji jika mereka bersedekah harta akan berkurang, hidup akan susah dan terpaksa meminta-minta. Jika difikirkan dengan logik akal memang begitu tetapi jika difikirkan dengan janji ALLAH, ia menjadi sebaliknya malah akan dilipatgandakan rezekinya.  

MENGAPA REZEKI SEMPIT DAN TERHALANG



BERDOA setiapkali selesai solat, sudah. Bekerja keras dan lebih masa juga sudah. Malah berniaga secara kecil-kecilan untuk menambahkan pendapatan juga sudah. Apa sahaja saya lakukan asalkan hidup tidak susah dan rezeki bertambah, tetapi hasilnya tetap begitu juga. Saya masih juga susah malah sering tidak cukup duit. Itu luahan seseorang yang berasakan rezekinya terhijab dan doanya tidak dimakbulkan ALLAH.
          
Dia mempertikaikan mengapa rakannya yang bekerja biasa-biasa sahaja tetapi jarang mengeluh, tidak pernah meminjam duit, tidak pernah berhutang tetapi rezekinya sentiasa sahaja ada walaupun tidaklah kaya sangat. Berbeza dengan saya, yang bekerja siang dan malam tetapi hutang masih juga bertimbun, begitu dia membandingkan dirinya dengan jiran sebelah rumah.

Di manakah silapnya, apabila ALLAH melebihkan rezeki kepada seseorang dan mengurangkan rezeki kepada seseorang? Apabila anda berasakan hidup seperti ini, cuba-cubalah muhasabah diri dan jangan menyalahkan sesiapa.

Perlu diingat, apabila ALLAH berkuasa menambahkan rezeki kepada hamba-NYA dari jalan yang tidak disangka-sangka, ALLAH juga berkuasa untuk menghalang atau menghijab rezeki seseorang dari sebab yang tidak disangka-sangka. Adakah rezeki yang anda perolehi itu berkat atau tidak? Anda bersyukur atau tidak?

Keberkatan di sini membawa maksud, rezeki yang sedikit tetapi dirasakan banyak dan terlalu mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan, hidup dirasakan sempit walaupun rezeki yang diperolehi cukup banyak. Ini juga ada kaitan dengan halal dan haram rezeki yang kita perolehi dan perlakuan kita terhadap ALLAH Maha Pemberi Rezeki.
   
Sama ada disedari atau tidak, kadangkala kita melakukan dosa besar atau dosa kecil secara berterusan tanpa ada ingatan untuk memberhentikannya. Kita mengingkari perintah ALLAH sedangkan pada masa yang sama kita meminta ALLAH memberikan rezeki kepada kita. Perhatikan diri kita apakah dosa besar dan dosa-dosa kecil yang kita lakukan sehinggakan apa yang kita minta daripada ALLAH terhijab.

Buktinya, perhatikan ayat al-Quran dalam surah Al-A’araf ayat 96, ALLAH mengingtatkan yang bermaksud, “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka sendiri.”

Kadang-kadang kita sibuk bekerja siang dan malam. Selepas habis waktu bekerja, berniaga pula menjual burger, atau berniaga secara sambilan melalui MLM dengan mencari dan mengejar pelanggan dan sebagainya tetapi  meninggalkan solat lima waktu yang wajib kerana mahu mengejar masa. Meninggal solat merupakan dosa besar kerana ia tiang agama. Apabila tiang tidak ditegakkan, bagaimanakah bangunan hendak berdiri kukuh?

Tidak ada gunanya kita bekerja siang dan malam dengan tujuan untuk menambahkan rezeki tetapi kita meninggalkan solat fardu yang diwajibkan? Bagaimanakah ALLAH mahu menunaikan kewajipan-NYA jika kita sendiri tidak menunaikan kewajipan terhadap ALLAH? Bagaimanakah doa kita hendak dimakbulkan ALLAH?

Walaupun kita melihat seseorang yang hidupnya dilimpahi rezeki dengan kemewahan dan kekayaan, tetapi adakah hidup mereka tenang? Tidak ada siapa yang tahu jika hati seseorang yang dilihat senang tetapi sebenarnya susah hati, bimbang harta akan berkurangan, suasana rumahangga bergolak tetapi hakikatnya batin tersiksa.

Sebagai seorang Muslim, kita sewajarnya tahu apakah dosa-dosa besar yang tidak sepatutnya kita lakukan dan dosa-dosa kecil ang sepatutnya kita tinggalkan. Meskipun kita sebagai manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, tetapi elakkanlah daripada melakukan apa sahaja bentuk perbuatan yang boleh mengundang dosa. Doa-dosa itulah yang menjadi halangan untuk kita memperolehi rezeki.

Pastikan apa juga perbuatan yang hendak kita lakukan bertujuan untuk memperolehi kemurahan rezeki, biarlah ia berupa kebajikan dan memberikan manfaat kepada orang lain. Jadilah seorang yang pemberi dan jangan mengharap menjadi seorang peminta-minta.

Untuk memudahkan pemahaman, tinggalkan apa sahaja perkara yang dilarang di dalam agama dan lakukanlah apa yang ALLAH perintahkan. Takkanlah kita sendiri pun tidak tahu, apa yang ALLAH larang dan apa yang ALLAH perintahkan.  Timbul persoalan, si polan sering melakukan maksiat dan engkar perintah ALLAH, berdoa pun tidak pernah tetapi hidupnya dilimpahi kemewahan dan kekayaan, bagaimanakah ALLAH boleh memberikan rezeki? Ini termasuklah kepada orang yang kafir dan tidak beriman kepada ALLAH.

Hadis daripada Muslim ini menjelaskan persoalan di atas. Dari Anas bin Malik ra. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia, dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikan disimpan ALLAH untuknya  di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.”

Perlu diingatkan, apa yang mereka perolehi itu hanyalah kemewahan sementara di dunia a sebagai satu ujian sedangkan di akhirat mereka menderita. Rezeki yang diperolehi tanpa keberkaan akan merosakkan diri sendiri. Kita wajar dapat membezakan rezeki yang diperolehi oleh orang kafir dengan orang Islam tidak sama. Kita akan mendapat pahala di dunia dan akhirat sedangkan orang kafir tidak mendapat apa-apa pun balasan sama ada di dunia atau akhirat.

MUKMIN SEJATI ITU DERMAWAN




RAMAI di antara kita mengharapkan supaya dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki. Itu jugalah yang menjadi intipati utama di dalam doa selepas menunaikan solat fardu. Mereka yang dimurahkan rezeki wajar menjadi seorang dermawan kerana ia menjadi tanggungjawab yakni membantu mereka yang susah dalam bentuk pemberian sedekah.
Al-Baihaqi meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ALLAH itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia. Ia membenci akhlak yang buruk.”

Berdoa supaya dapat mengeluarkan zakat dengan banyak sebenarnya lebih baik daripada berdoa dimurahkan rezeki kerana belum tentu orang yang dimurahkan rezeki itu akan mengeluarkan zakat dengan banyak. Tetapi orang yang berzakat itu sudah tentu rezekinya murah sehingga tidak berasa rugi mengeluarkan zakat.

Kita selalu lupa apabila menerima gaji setiap bulan sebenarnya ada bahagian orang lain yang perlu kita berikan, tetapi kita tidak tunaikan. Bagaimanakah hendak kita tunaikan sedangkan kita sendiri sentiasa kesempitan wang malah sebelum mendapat gaji akan datang, kita sudah berhutang pula?

Perkara di atas ada disebutkan dalam al-Quran surah Al-Maarij ayat 24 dan 25 yang bermaksud, “Dan dalam harta seseorang ada bahagian tertentu untuk orang lain iaitu orang miskin dan tidak berkemampuan.”  Begitu juga dalam surah An-Nur ayat 33 yang bermaksud, “Dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta ALLAH yang telah dikurniakan kepadamu.”  Dalam surah al-Imran ayat 92, ALLAH juga mengingatkan yang bermaksud, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahuinya.”

Bahagian orang lain yang perlu ditunaikan ialah untuk anak isteri, ibu bapa, orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan. Dalam al-Quran surah al-Talaq ayat 2-3 atau dikenali dengan ayat 1000 Dinar menyebut maksudnya, “Dan barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH, pasti akan ditunjuki mereka jalan keluar dan rezeki  dengan jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada ALLAH, maka ALLAH akan mencukupi baginya.”

Maksud bertakwa di sini termasuklah dengan bersedekah dan melakukan segala amal kebaikan. Bagaimanakah ALLAH hendak mencukupi rezeki seseorang sekiranya tidak bertakwa dan melakukan apa yang ditegah ALLAH? Ini juga menunjukkan ketidak syukurnya kita apabila menerima sesuatu daripada ALLAH.

Hal ini ditegaskan dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya AKU tambah nikmat-Ku kepadamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur , sesungguhnya siksaan-Ku amatlah pedih.”  

Apabila kita berasakan rezeki kita tidak pernah mencukupi sehinggakan menggagalkan kita untuk bersedekah, perhatikan di manakah kekurangan atau perintah ALLAH yang tidak kita tunaikan. Memang, apabila kita sentiasa tidak cukup bagaimanakah hendak membantu orang lain.

Dalam hal ini, kita perlu yakin dengan janji ALLAH dalam surah Saba’ ayat 39 yang bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya di antara hamba-hamba-NYA dan ia juga menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu sedekahkah maka ALLAH akan menggantikannya dan DIAlah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”

Perhatikan diri kita sebenar-benarnya, apakah selama ini kita benar-benar bertakwa dan bertawakal kepada ALLAH atau sebaliknya.

Rasulullah SAW sendiri sudah mengingatkan, “Seandainya kamu bertawakal kepada ALLAH dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang harinya kenyang.” – Hadis oleh Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khatab.

Perhatikan juga apa yang telah  kita lakukan sewaktu menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Pernahkah kita menggunakan masa bekerja digunakan untuk tujuan lain seperti ponteng, mengunakan harta majikan untuk kepentingan diri bukan kerana pekerjaan, mencuri masa, meminta perbelanjaan yang tidak sepatutnya dan sebagainya.

Jika anda pernah melakukan perkara seperti yang disebutkan, penulis memasihatkan supaya menghentikan perbuatan seperti itu.  Beritahu kepada majikan dan anda wajib meminta maaf di atas kesilapan itu dan tidak akan mengulanginya lagi.

Kita mungkin pernah mendengar ada orang bekerja siang dan malam untuk mendapatkan rezeki lebih tetapi ternyata penghasilannya tetap sama. Mereka juga tidak kecukupan perbelanjaan malah semakin bertambah hutangnya. Mengapakah demikian jadinya? Apabila ini berlaku, cuba muhasabah diri.

Apakah yang kita kerjakan itu hasil pekerjaan yang diredhai oleh ALLAH atau tidak? Adakah hasil atau upah itu dari jalan yang dibenarkan atau sebaliknya? Adakah hasil pekerjaan itu digunakan untuk membeli barangan yang halal di makan atau bercampur?  Pernahkah pula anda bersedekah meskipun sedikit hasil pekerjaan anda itu?

Sekiranya gaji atau upah yang anda perolehi itu mengandungi unsur-unsur syubhah, pastikan selepas ini gaji atau upah yang diperolehi bersih dan diredhai ALLAH. Pastikan juga pintu rezeki anda tidak terhijab berpunca daripada kesalahan yang anda lakukan tanpa disedari.