Jumaat, 22 Mei 2015

SEDEKAH ITU KUNCI PINTU REZEKI



SESETENGAH  orang apabila diminta bersedekah mereka akan berkata, “Tunggulah kalau ada rezeki lebih, barulah saya bersedekah.”  Apabila ada orang berkata begitu, percayalah sampai bila-bila pun mereka tidak akan bersedekah. Untuk bersedekah tidak perlu menunggu rezeki lebih baru sedekah.
            Orang yang selalu berkata seperti ini, yakinlah ALLAH tidak akan memberikan rezeki kerana apabila dia diberi rezeki berlebihan, dia akan lupa diri dan mengatakan rezeki itu hasil usahanya sendiri dan bukan datangnya dari ALLAH. Waktu itu, dia tidak akan bersedekah kerana tanpa bersedekah pun, rezekinya sudah bertambah. Orang seperti ini tidak sedar, dia sedang diuji sebenarnya.
            Jka ALLAH berkuasa memberikan rezeki tanpa bersusah payah bersedekah, ALLAH juga berkuasa menarik kembali rezeki mereka sedikit demi sedikit atau sekaligus supaya ia menjadi pengajaran. Tetapi apakah manusia mengambil pelajaran daripada peristiwa itu?
            Berapa ramai orang yang diuji dengan diberikan rezeki berlebihan tetapi mereka tidak mahu bersedekah lalu ALLAH mengambil semula apa yang diberikan. Kita tentu pernah melihat bagaimana seorang yang berjaya dalam bisnes dengan limpahan kekayaan tetapi akhirnya perniagaan lingkup sama ada ditipu, diperdaya, banyak hutang dan sebagainya.
            Apabila sudah jatuh muflis, barulah teringat hendak bersedekah. Ramai orang tidak tahu, paling baik untuk bersedekah ialah ketika kita sedang kesempitan wang, tambah pula ketika itu ada orang memerlukan wang kita.
            Ini ditegaskan dalam al-Quran ayat At-Talaq ayat 7, ALLAH mengingatkan yang bermaksud, “Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta-hartanya yang diberikan oleh ALLAH kepadanya.”
Yakinlah, apabila kita ikhlas bersedekah ketika kesempitan begitu, ALLAH akan segera menggantikan semula sedekah itu dalam jangka waktu yang singkat. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Dan ALLAH sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-NYA selama ia menolong saudaranya.” – Hadis oleh Muslim.
            Cuba fikirkan nelayan yang turun ke laut. Adakah mereka turun ke laut terus mendapat ikan lalu membawa pulang dengan segera. Tidak bukan! Mereka terpaksa memancing atau menjala terlebih dahulu, barulah ikan itu dikumpul lalu dibawa pulang untuk dijual bagi mendapatkan wang. Begitu juga dengan sedekah.
            Sedekah merupakan jalan pintas yang mudah untuk memperolehi kemurahan rezeki. Rasulullah SAW pernah mengingatkan supaya carilah rezeki dengan bersedekah. Bersedekah, ditambah dengan kerajinan bersolat malam (tahajud), ALLAH akan mengampuni dosa-dosanya, doanya menjadi makbul, kesihatannya dijaga, mendapat kehidupan dari sumber yang berkat dan ditambahkan rezekinya.
            Sifat manusia, hendak mendapatkan sesuatu tetapi tidak mahu memberi dahulu sedangkan pada hakikatnya apabila kita memberi dahulu, barulah kita akan menerima. Begitu juga dengan rezeki. Kita jangan mengharapkan orang memberi sahaja  sedangkan kita tidak mahu memberi tetapi hanya mahu menerima sahaja.
            Apabila kita selalu memberi (bersedekah) ke jalan ALLAH, yakni menyenangkan orang lain, yakinlah semua orang di sekeliling kita akan mempermudahkan semua urusan kita. Jika kita menurut jalan ALLAH, yakinlah ALLAH akan membukakan jalan untuk kita, yang susah akan menjadi mudah kepada kita.
             Sesiapa yang ingin pintu rezeki sentiasa terbuka, bukalah pintu hati supaya sentiasa bersedekah. ALLAH berfirman dalam al-Quran surah as-Saba ayat 39 bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhan-KU memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA di antara hamba-hamba-NYA dan ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka ALLAH menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”
             Oleh itu, apabila diminta bersedekah, janganlah beralasan mahu menunggu rezeki lebih barulah hendak bersedekah. Bersedekahlah biarpun sedikit asalkan ikhlas dan berterusan kerana yang sedikit itu lama-lama akan menambahkan rezeki tanpa kita sedari. Orang yang sering beralasan apabila diminta bersedekah ibarat orang yang berkata, “Saya tidak akan solat selagi tidak kusyuk.”
            Bagaimanakah seseorang itu hendak kusyuk jika tidak solat? Sepatutnya mereka perlu berkata, “Saya akan solat walaupun tidak kusyuk. Mudah-mudahan dengan solat yang istiqamah itu, akhirnya saya akan kusyuk.” Begitu juga dengan sedekah. Mereka perlu berkata, “Saya akan bersedekah walaupun saya kesempitan wang. Mudah-mudahlah dengan sedekah yang sedikit ini ALLAH akan lipat-gandakan rezeki saya dan dapatlah saya perbanyakkan sedekah saya.”
            Bersedekah merupakan satu amalan terpuji kerana bersedekah itu mengikut pemahaman sebenarnya tidak tertakluk kepada wang ringgit dan harta benda malah yang tidak berharta atau pun wang ringgit masih boleh bersedekah dengan tenaga fizikal mahupun jika dengan memberikan buah fikiran.
            Mereka yang masih beralasan begitu sebenarnya telah ditakut-takutkan oleh syaitan. Syaitan berjanji jika mereka bersedekah harta akan berkurang, hidup akan susah dan terpaksa meminta-minta. Jika difikirkan dengan logik akal memang begitu tetapi jika difikirkan dengan janji ALLAH, ia menjadi sebaliknya malah akan dilipatgandakan rezekinya.  

Tiada ulasan: