Selasa, 9 Februari 2016

BERTAWAKAL MENCARI REZEKI SEUMPAMA BURUNG



APABILA setiap pagi kita mendengar kicau burung, bermakna haiwan berkenaan sudah bersedia keluar dari sarang untuk mencari rezeki. Tidak ada sesiapa pun tahu di mana rezeki burung itu pada hari itu. Berbanding dengan kita yang sudah tahu tempat kerja kita di mana, kita akan terus menuju ke tempat kerja.
 Berbanding burung, ia akan terbang ke merata-rata tempat. Di mana burung ternampak ada rezeki di situ, ia akan berhenti.   Kemudian burung akan terbang lagi mencari makanan untuk anak-anaknya yang ditinggalkan dalam sarang. Begitulah keadaannya setiap hari. Burung akan bertawakal kepada ALLAH SWT. Apa yang pasti burung akan keluar sarang dan bukan mengharap rezeki datang kepadanya.

Sekiranya kita menjadi seperti burung itu, sememangnya wajar untuk kita bertawakal kepada ALLAH SWT ketika mencari rezeki. Bagi yang bekerja tetap, mungkin tidak ada masalah mendapatkan rezeki. Tetapi bagi mereka yang berniaga atau menjalankan kerja sendiri, sikap tawakal wajib ada.

Sebagai contoh seorang penjual air minuman di gerai-gerai atau di tepi jalan. Jika hari panas terik, sudah tentunya rezekinya bertambah. Tetapi tidak siapa pun tahu, esok atau lusa hujan akan turun sepanjang hari. Sudah tentu rezekinya berkurangan. Peniaga seumpama ini wajar bertawakal.

Sehubungan dengan tawakal dalam mencari rezeki, Rasulullah SAW memberikan perumpamaan burung yang untuk dijadikan contoh kepada manusia.

Rasulullah SAW bersabda, “Seandainya kamu sekalian benar-benar bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kalian seumpama Ia memberi rezeki kepada burung. Di mana burung itu keluar pada waktu pagi dengan perut kosong  dan pada waktu petang kembali dengan perut kenyang.” – HR Tarmizi dan Ibnu Majah.

Burung-burung seringkali dikaitkan dengan pencarian rezeki. Kenapa burung? Bukan haiwan lain?  Burung satu model yang unik untuk dijadikan perbandingan kepada manusia. Kita belum bangun subuh, burung-burung sudah berkicau di keliling rumah memanggil burung-burung lain supaya terbang mencari rezeki awal pagi dan bukan waktu matahari telah meninggi.      

Pagi-pagi lagi burung-burung akan keluar dari sarang, terbang ke merata pelosok mencari rezeki dan akan bertemu dengan pelbagai suasana, hujan, panas, petir, ribut dan sebagainya. Semua itu dilalui dengan tabah demi untuk mencari rezeki bagi mengisi perutnya.

Burung-burung yakin, setap kali keluar mencari rezeki, ALLAH sudah telah menyediakan. Hanya burunglah yang perlu mendapatkannya. Burung-burung akan mengutip rezeki di mana sahaja dan akan pulang dengan perut kenyang. Bagaimana burung boleh tahu di mana ada rezeki atau tidak, bukan seperti kita yang setiap hari akan ke tempat yang sama (tempat bekerja)?     

ALLAH telah mengurniakan naluri kepada burung untuk menghidu di mana rezekinya sedang menanti, berbanding manusia yang sememangnya tahu di mana tempat bekerja, di situlah manusia akan tertumpu. Burung bukan mencari rezeki untuk dirinya sahaja malah berulang kali pulang ke sarang menghantar makanan kepada anak-anaknya.

Meskipun adakalanya burung dianggap sebagai perosak buah-buahan tetapi kebaikan ada pada burung, di mana burung mampu untuk membiakkan biji benih dan menumbuhkan pokok-pokok baru. Manakala bagi penamam pokok-pokok yang buahnya di makan burung, ia merupakan satu sedekah dan penanamnya juga mendapat pahala kerana memberi rezeki kepada burung.

Burung-burung juga seperti manusia, tidak terlepas daripada ujian ketika mencari rezeki. Adakalanya burung-burung sedang mencari rezeki tiba-tiba termasuk dalam perangkap pemikat burung. Burung dipelihara dan dikurung di dalam sangkar. Adakalanya juga budak-budak nakal melastik burung yang sedang mencari rezeki, mati burung itu.

Manakala anak-anak yang ditinggalkan dalam sarang, adakalanya pokok tempat membuat sarang ditebang atau terbakar, mati juga anak-anak burung itu. Apabila burung pulang, hanya asap berkepul-kepul yang tinggal. Namun bagaimanakah kita hendak mengerti kesabaran burung berhadapan dengan ujian ini?


Selasa, 19 Januari 2016

BERSEMANGATLAH KETIKA DIUJI



SAMA ADA kita suka atau tidak, redha atau tidak, kita akan tetap diuji. Terpulanglah kepada ALLAH SWT, apakah bentuk ujian yang akan diberikan bergantung kepada-NYA. Mungkin ujian itu kecil tetapi kita menganggapnya terlalu besar. Tidak mustahil ujian itu terlalu besar tetapi dirasakan kecil oleh mereka yang menerimanya.

Ujian itu pasti. Cuma manusia tidak tahu bilakah ujian itu akan datang. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda,  “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh ALLAH SWT, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap ALLAH SWT tanpa dia membawa dosa sedikit pun.”  - HR  Imam Tirmizi.

Apabila sejak awal kita sudah dimaklumkan  akan diuji sebagaimana hadis di atas, wajar sekali kita sentiasa bersedia menghadapinya. Tujuannya supaya kita tidak hilang pedoman apabila tiba-tiba sahaja ujian itu datang. Kita akan menghadapi ujian itu dengan semangat yang tinggi.

Dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 214, ALLAH SWT sudah mengingatkan bermaksud, “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu amat dekat.” 

Sebagai mukmin beriman, kita wajib yakin dengan janji ALLAH SWT. Apabila ALLAH SWT menurunkan ujian, ALLAH SWT tidak akan membiarkan hamba-NYA itu terbiar sendirian. Perhatikan  ayat terakhir surah berkenaan. “Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu amat dekat.”

Justeru apabila diuji, jangan mudah patah semangat atau putus asa. Sebagaimana ALLAH SWT memberikan penyakit, ALLAH SWT juga menyediakan penawarnya. Begitu juga apabila ALLAH SWT menurunkan ujian, sudah pasti ALLAH SWT sudah menyediakan jalan keluarnya. Untuk itu, mengapa harus menyalahkan ALLAH SWT apabila diuji?

Ingatlah, ALLAH SWT sangat mencintai orang yang sabar dengan ujian-NYA. Mungkin kita sendiri akan tertanya-tanya, apakah dinamakan cinta sekiranya ujian datang silih berganti? Lazimnya orang bercinta akan merasai yang manis sahaja. Tetapi bukan begitu caranya ALLAH SWT mencintai hamba-NYA.

Buktinya, perhatikan surah al-Imran ayat 146 bermaksud, “Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar.”

Ibnu Qoyyim Aljauzi dalam kitab Madarijus Salikin mengatakan, “Sabar adalah menahan jiwa dari berkeluh kesah dan marah, menahan lisan dari mengeluh, serta menahan anggota badan dari berbuat tashwisy (yang tidak lurus). Sabar ada tiga jenis, sabar dalam berbuat ketaatan kepada Allah SWT,  sabar dari melakukan maksiat, dan sabar dari ujian ALLAH SWT.”

Alangkah beratnya ujian ini? Tidak termampu olehku untuk menanggungnya! YAALLAH, mengapakah ini yang harus saya terima!

Tidak mustahil, kata-kata di atas mungkin kita pernah lafazkan ketika ditimpa ujian. Apa yang penting jangan mudah menyalahkan ALLAH SWT. DIA lebih mengetahui apa yang tidak diketahui hamba-NYA.

Yakinlah, ALLAH SWT tidak akan membebankan hamba-NYA dengan ujian yang tidak tertanggung oleh mereka. Buktinya, ALLAH SWT sudah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 286 bermaksud, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo′a): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma′aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.

ALLAH SWT sangat memuji hamba-NYA yang ditimpakan ujian tetapi tetap bersangka baik malah bersyukur dengan ujian itu. Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidak lah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka  dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya.” - HR Muslim. 

Orang yang berjaya keluar daripada ujian akan mendapat perlindungan daripada ALLAH SWT sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” – HR At-Tabrani. 

Banyak ayat-ayat dalam al-Quran dan hadis yang meminta kita supaya banyakan bersabar dan meminta pertolongan kepada-NYA apabila diumpa sesuatu ujian. Tujuannya supayankita kita lemah semangat kerana ALLAH SWT sebenarnya tepat bergantung harapan.





CARILAH HARTA TETAPI JANGAN SAMPAI MELALAIKAN



TIDAK dinafikan setiap umat akan diuji dengan pelbagai ujian sesuai dengan tahap kemampuannyan diuji. Namun dalam banyak-banyak ujian,  harta kekayaan merupakan ujian yang amat berat. Walaupun ada orang beranggapan harta kekayaan itu satu nikmat dan pemberian ALLAH SWT tetapi jangan lupa, ia sebenarnya satu ujian kepada mereka.

 Dalam hidup ini, tidak salah untuk kita mencari sebanyak mna harta asalkan ia dibelanjakan ke jalan yang dibenarkan agama. Namun agama menegah sekiranya kita mencari harta kemudian menunjuk-nunjuk dengan rasa raik dan  kemudian membelanjakan ke arah kemaksiatan.

Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan.”  - HR Imam Tirmizi. 

Hadis ini sangat ringkas tetapi banyak mengandungi makna. Hadis sini sebenarnya memberikan motivasi kepada kita  supaya mencari rezeki. Tetapi jangan kerana erlalu mencari dan mendapat banyak rezei, manusia menjadi lalai dan melupaakan tanggungjawabnya kepada ALLAH SWT.

 Dalam surah al-Anfal ayat 28, ALLAH SWT sudah memberikan peringatan, meksudnya, “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah s.w.t. jualah pahala yang besar.”

Sejauh manakah sebenarnya kita menyedari bahawa harta kekayaan itu satu ujian kepada kita? Di antara  ujian-ujian yang Allah SWT berikan kepada orang-orang yang beriman ialah harta benda dan anak pinak. Allah SWT  mengetahui di antara kelemahan manusia melalui kecintaan kepada harta kekayaan dan anak-anak.

Harta-harta akan menjadikan satu ujian apabila dengan harta yang banyak itu menjadikan manusia menjadi sombong, riak, bangga diri kerana memiliki kelebihan berbanding orang lain yang jauh miskin. Tambah pula jika harta itu digunakan untuk menindas yang lemah untuk mmperolehi sesuatu.

Harta yang banyak akan menjadi lebih parah jika tidak digunakan ke jalan yang dredai ALLAH SWT. Sepatutnya harta yang banyak itu digunakan untuk membayar zakat, menolong orang yang tidak berkemampuan, bersedekah atau kebajikan lain. Harta ini akan menjadi ujian kepada pemiliknya jika tidak menggunakan harta ke jalan yang betul. 

Oleh sebab itu Allah SWT mengingatkan supaya berwaspada terhadap kurniaan harta kekayaan dan anak-pinak kepada mereka yang mana semua itu adalah bertujuan untuk menguji kewibawaan dan kecintaan kepada Allah SWT dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya.

Melalui ujian tersebut, Allah SWT. mahu melihat sejauh mana orang-orang beriman bersyukur dan menunaikan hak serta kewajipan mereka walaupun terlalu sibuk mencari harta benda dan membesarkan anak-anak. Allah s.w.t. melarang manusia melakukan khianat kepada-Nya, Rasul-Nya dan amanah-Nya disebabkan kecintaan kepada anak-anak dan harta benda.

ALLAH SWT melarang keras manusia mengkhianati penciptanya  malah banyak ayat dalam al-Quran yang mengingatkan supaya berhati-hati dengan kemewahan dunia dan anak-anak. Sesiapa yang berjaya dengan ujian tersebut, ALLAH SWT akan mengurniakan ganjaran yang amat besar di akhirat.

Bagi mereka yang gagal dalam ujian harta ini, harta mereka akan ditarik balik oleh ALLAH SWT. Tentu kita pernah melihat bagaimana seorang yang asalnya kaya raya tetapi kemudian jatuh miskin kerana takbur, sombong, tidak mahu bersedekah dan berzakat.

Mengapakah agaknya ALLAH SWT ingin menguji hamba-hambaNya yang memiliki harta ini? Bagaimana seseorang itu boleh bermotivasi untuk meningkatkan iman sekiranya yang menanti adalah ujian yang berat-berat semuanya?

Perhatikan peringatan ALLAH SWT dalam surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”

ALLAH SWT sebenarnya ‘berurusniaga’ dengan orang-orang mukmin berkaitan dengan harta. Urusniaga ini sama sebagaimana urusan jual beli sesama manusia.  Ada perkara-perkara yang Allah beli dengan harga yang murah, dan ada perkara  yang Allah beli dengan harga yang mahal. Tujuannya ALLAH SWT  mahu menguji para hamba-NYA yang beriman kerana Allah ingin membayar mereka dengan harga yang mahal. Ada tujuh lapisan syurga dan Allah sediakan untuk membayar para hambaNya dengan lapisan tertinggi sesuai dengan iman yang ditawarkan. Dan di antara tanda orang yang beriman adalah mereka itu bersyukur apabila menerima nikmat dan sabar apabila menerima musibah. 

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia;  dan amal-amal soleh yang kekal itu lebih baik di sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. Dalam aurah al-Munafikun ayat 9, ALLAH SWT menegaskan bermaksud, “Wahai orang yang beriman!  Janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.