Isnin, 8 Disember 2014

TINGGALKAN YANG HARAM



SATU malam yang hening, seorang lelaki yang kelaparan berjalan-jalan di sekitar Madinah. Ketika berjalan untuk mencari makanan, lelaki itu terbau makanan yang enak dari sebuah rumah berhampiran. Keadaan rumah itu gelap menandakan penghuninya sudah tidur. Oleh kerana nafsu laparnya tidak dapat dikawal, tambahan pula dia tidak ada wang untuk membeli makanan, akhirnya dia mendapat idea.
            Sambil menoleh ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tidak ada orang melihat perlakuannya, lelaki itu menghampiri rumah itu bertujuan untuk me-masuki rumah itu.  Setelah memastikan tidak ada sesiapa melihat perbuatannya, lelaki itu perlahan-lahan mengompel pintu rumah itu dan terus masuk ke rumah itu tanpa disedari oleh pemilik rumah itu.
            Sebaik sahaja  dia masuk, dia terus mencari di mana bau makanan itu disimpan. Akhirnya dia menemui makanan itu yang dletakkan di atas meja di dalam rumah itu. Tanpa berlengah dia segera mencapai makanan yang enak itu. Tetapi perlakuannya tiba-tiba sahaja terhenti apabila fikirannya teringatkan pesanan Rasulullah s.a.w ketika majlis ilmu yang diikuti di masjid selepas maghrib malam itu.
            Di dalam majlis ilmu itu berulangkali Rasulullah s.a.w berpesan, “Barangsiapa meninggalkan yang haram, dia akan mendapat yang halal.”
            Teringatkan pesanan itu, lelaki itu  tidak jadi hendak mengambil makanan itu walaupun pada ketika itu dia masih kabur apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w itu. Akhirnya lelaki itu  beredar  dari rumah itu.
            Ketika mahu melangkah keluar dia ternampak sebuah almari. Di bawah almari itu terdapat laci, Dia segera membuka laci, Alangkah terkejutnya apabila dia terpandang barang-barang kemas yang mahal harga tersimpan. Sudah tentu aku tidak perlu bekerja jika mendapat emas sebanyak itu, fikirnya dalam hati.
            Dia segera menggenggam emas itu untuk dimasukkan ke dalam poket baju tetapi sebaik sahaja dia menggenggam, dia teringatkan pesanan Rasulullah s.a.w sekali lagi dan  masih terngiang-ngiang di telinganya.
            “Tinggalkan yang haram, percayalah kamu akan mendapat yang halal,” pesanan itu berulangkali menusuk ke telinganya.
            Sekali lagi, lelaki itu tidak jadi mengambil emas itu dan meletakkan semula  ke dalam laci. Oleh kerana tidak jadi mengambil barang kemas itu, dia segera beredar. Ketika melewati sebuah bilik yang terbuka, dia terlihat seorang perempuan cantik sedang tidur di dalam bilik itu.
            Tergoda lelaki itu apabila  melihat wanita cantik yang tidur dengan  pakaian yang mengghairahkan. Dia  tidak mampu untuk mengawal nafsunya  lalu lelaki itu menghampiri perempuan  yang sedang tidur lena.
            Nafsunya meluap-luap tambahan pula hasutan syaitan supaya  melakukan maksiat terhadap wanita itu tidak mampu dikawal lagi. Ketika itu juga nafsunya berperang dan ketika dia mahu memegang tubuh perempuan itu, sekali lagi pesanan Rasulullah s.a.w menusuk ke fikirannya sehingga akhirnya dia tewas dengan pesanan itu yang kuat menerjah telinganya.
            “Tinggalkan yang haram, kamu pasti akan mendapaat yang halal.” Pesanan yang menerjah itu menyebabkan dia akhirnya beristighfar berkali-kali dan perlahan-lahan keluar dari rumah itu tanpa sempat menutup semula sebagaimana dia mahu membukanya tadi.
            Setelah gagal memperolehi apa yang dihajati, dia kembali pergi ke masjid tanpa disedari subuh hampir menjelang. Setelah bersolat subuh secara berjemaah, lelaki itu pergi  ke serambi lalu berbaring dan akhirnya terlena kerana terlalu mengantuk berjaga pada malam itu.
            Apabila matahari sudah naik dan hari mulai siang,  seorang perempuan telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w yang ketika itu masih berada di masjid.
            “Ya Rasulullah. Malam tadi rumahku telah dimasuki pencuri tetapi mujurlah tidak ada barang-barang yang hilang. Saya percaya pencuri itu akan datang lagi. Saya menjadi takut dan memohon Rasulullah mendapatkan saya seorang pengawal untuk mengawal rumah saya,” beritahu wanita itu sambil mengharap hajatnya ditunaikan.
            “Wahai puan, dengan siapakah kamu tinggal?” Rasulullah s.a.w  bertanya.
            “Saya seorang janda dan tinggal seorang diri, ya Rasulullah..,” ujarnya jujur.
            Sebaik sahaja mendapat  penjelasan itu Rasulullah s.a.w memandang di sekitar masjid jika ada sesiapa yang boleh ditawarkan menjadi pengawal rumah perempuan itu. Akhirnya Rasulullah s.a.w  ternampak lelaki tadi yang sedang terbaring di serambi masjid.
            Rasulullah s.a.w segera mengejutkan lelaki itu dan bertanya, “Hai lelaki, apakah pekerjaan kamu sehingga kamu tertidur di sini?”
            “Ya Rasulullah, saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.”
            “Adakah kamu sudah berkeluarga?”
            “Saya seorang duda yang kematian isteri. Sejak itu hidup saya tidak terurus kerana sedih dengan pemergiannya ya Rasulullah.”
            “Bagaimana kalau aku tawarkan kamu satu pekerjaan?”
            “Apakah pekerjaan itu ya Rasulullah?”
            “Menjadi pengawal rumah seorang perempuan.”
            “Siapakah perempuan  itu yang Rasulullah.”
            “Perempuan itu seorang janda dan memerlukan pengawal rumahnya kerana telah dimasuki pencuri. Dia bimbang pencuri itu akan masuk lagi ke rumahnya,” beritahu Rasulullah s.a.w sambil mengharapkan jawapan lelaki itu.
            Kemudian Rasulullah s.a.w memperkenalkan wanita itu kepada lelaki itu. Alangkah terkejutnya lelaki itu  apabila dia melihat perempuan itu adalah perempuan yang dilihatnya ketika masuk ke dalam rumah untuk mencuri dan menggodanya.
            “Tetapi saya seorang duda dan dia seorang janda ya Rasulullah, tentulah tidak elok jika waktu malam saya berada di rumah itu,” lelaki itu melahirkan rasa bimbangnya
            “Jika begitu, bagaimana jika saya cadangkan kamu berdua bernikah supaya kamu dapat menjadi penjaga rumah itu menjaga perempuan ini daripada sebarang gangguan.”
            Lelaki itu tidak menjawab. Dia tersipu-sipu malu.  Begitu juga dengan perempuan itu, dia berpusing sambil tersipu-malu malu walaupun di dalam hatinya tidak menolak jika dijodohkan dengan lelaki itu.
“Apa pendapat kamu wahai lelaki?”
Oleh kerana terlalu terharu dengan permintaan Rasulullah s.a.w, lelaki itu akhirnya membuka rahsia. Dia menceritakan apa sebenarnya telah dilakukan pada malam itu kerana tidak dapat mengawal nafsunya. Tetapi setelah mendengar pesanan Rasulullah s.a.w itu, dia telah bertaubat.
Akhirnya Rasulullah s.a.w telah menikahkan lelaki itu dengan  perempuan  itu dengan disaksikan oleh para sahabat. Sebaik sahaja dinikahkan, barulah lelaki itu mengerti dan faham apa yang tersirat di sebalik pesanan Rasulullah s.a.w supaya meninggalkan yang haram dan akan mendapat yang halal.
Lelaki itu bersyukur kepada Allah kerana telah menyelamatkan dari hawa nafsu dan bisikan syaitan.       
               
               

Tiada ulasan: