Isnin, 23 Januari 2017

KAYA DI DUNIA FAKIR DI AKHIRAT!




KALAU ditanya siapa mahu kaya, rasanya tiada yang kata tidak. Malah, orang kurang akalnya pun akan berkata, “Saya pun mahu kaya.”

Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan tetapi biar berpada dan tidak meninggalkan agama. Bahkan kita juga sering diingatkan agar tidak terlalu mengejar nikmat dunia supaya akhirat tidak kita abaikan.

Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda, “Dunia ini rumah bagi orang yang tiada mempunyai rumah di akhirat, dan harta orang yang tidak berharta di akhirat dan yang mengumpulnya (keduniaan) hanya mereka yang tidak berakal.” – HR Imam Ahmad.

Apabila dikatakan dunia ini ibarat rumah bagi mereka yang tidak ada rumah di akhirat kelak, ia sebenarnya satu sindiran kepada kita yang terlalu sibuk mencari hal keduniaan semata-mata. Akibatnya, kita secara perlahan-lahan akan meninggalkan akhirat jauh di belakang.

Sedar atau tidak, perbuatan ini sebenarnya seolah-olah menzalimi diri sendiri. Nikmat dunia seperti kekayaan harta, pangkat dan jawatan kita mahu raih sebanyak-banyaknya. Kalau boleh langsung tidak mahu terlepas kepada orang lain. Siang dan malam kita berusaha mendapatkannya dan hati berasa puas apabila semua keinginan diperolehi.

Cuma satu sahaja nak tanya, tahu atau tidak yang semua kemewahan yang ingin dimiliki itu tidak akan kita bawa bersama saat tubuh mencecah liang lahat?

Oh, tahu...

Jadi, kenapa lebih dahulukan dunia berbanding akhirat? Sudah cukupkah bekal untuk dibawa berkelana ke akhirat nanti?

Ingat, bekal akhirat itu lebih utama berbanding perkara dunia yang langsung tiada nilainya.

Jadi, salahkah kalau saya mahukan semua itu sekarang ini?

Tidak salah. Kita semua tidak pernah dihalang untuk mencari kekayaan, tetapi Allah akan marah jika kita tinggalkan akhirat untuk dunia. Itu sahaja.

Bukankah Rasulullah SAW juga pernah berpesan kepada kita, iaitu apabila akhirat dikejar maka dengan sendirinya urusan dunia akan datang tanpa ada kurangnya. Apalah gunanya kita berusaha bermati-matian ketika di dunia tetapi apabila saatnya, akaun akhirat kita sifar!

Hakikatnya orang beriman tidak rela  membiarkan dirinya dalam kerugian. Mereka akan menyeimbangkan antara dunia dan akhirat. Jika mereka bekerja, mereka tidak lupa untuk beribadat. 

Jika mendapat rezeki, mereka tidak lupa untuk bersedekah dan berzakat. Apabila mereka berhajatkan sesuatu, mereka berusaha di samping meminta kepada Yang Maha Memberi, dan tidak hanya berusaha semata-mata.

Lihat, di situ ada kesimbangan dan inilah yang agama mahukan.

Jadikan apa yang kita miliki di dunia ini sebagai jambatan menuju akhirat. Insya-Allah jika kita niatkan tujuan hidup ini untuk mencari bahagia di akhirat, maka Allah SWT  tanpa ‘ragu-ragu’ akan memberkati hidup, bahkan menjadikan kita jutawan di dunia dan akhirat!

Tiada ulasan: