Isnin, 23 Januari 2017

BERUSAHALAH, JANGAN SUKA MEMINTA MINTA



SESETENGAH kita lebih suka meminta-minta untuk mendapatkan sesuatu berbanding berusaha sendiri. Ini kerana, anggapan kita, meminta itu lebih mudah untuk meraih simpati daripada orang lain.

Hakikatnya, perbuatan meminta-minta ini tidak digalakkan kerana Allah SWT mahu hamba-Nya berusaha. Disebabkan itulah, Dia telah mengurniakan pelbagai nikmat seperti badan yang sihat, tenaga, akal fikiran, pancaindera yang sempurna untuk memudahkan kita berusaha mencari rezeki. Tetapi masih ada yang mahu mencari jalan mudah dengan meminta-minta.

Sebenarnya banyak hadis yang memotivasikan kita supaya berusaha dan melarang meminta-minta. Antaranya:
Daripada Zubair bin Awwam, Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya jika seseorang di antara kamu membawa tali-talinya dan pergi ke bukit mencari kayu api lalu dipikul di belakangnya untuk dijual sehingga dia mampu memenuhi keperluan keluarga dan hidupnya adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada mereka memberi atau tidak.”- HR Bukhari.

Hadis ini sebenarnya mahu memotivasikan kita supaya berusaha dengan tenaga sendiri untuk mendapatkan apa dihajati. ‘Membawa tali-tali dan pergi ke bukit’ membawa maksud supaya berusaha. 

Bayangkanlah jika kita hanya duduk diam, tidak berbuat apa-apa, sudah pasti kita tidak akan beroleh apa-apa. Hakikatnya, Rasulullah SAW juga mencela orang yang meminta-minta.

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda, Seseorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang lain sehingga nantinya dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.”- HR Bukhari.

Meminta-minta hanya dibenarkan kepada tiga perkara sahaja, itu pun jika dalam keadaan darurat. Iaitu:
Daripada Qabishah Mukhariq, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal kecuali bagi salah satu daripada tiga orang iaitu pertama seseorang yang menanggung hutang orang lain, dia boleh meminta sampai melunaskannya kemudian berhenti, kedua seseorang yang ditimpa musibah yang menghabiskan hartanya boleh meminta sampai mendapatkan semula sandaran hidup dan ketiga seseorang yang ditimpa kesengsaraan hidup sehingga ada tiga orang yang berakal dari kaumnya mengatakan Si fulan sudah ditimpa kesengsaraan hidup, ia boleh meminta sampai mendapatkan sandaran hidup. Meminta-minta selain daripada tiga hal itu adalah haram dan orang yang memakannya adalah memakan yang haram.”- HR Muslim.

Ingat, elakkan diri daripada meminta-minta. 

Gunakan keupayaan yang ada untuk mencari rezeki dengan titik peluh sendiri. Setiap manusia juga telah dijamin rezeki oleh Allah SWT sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran Surah Hud ayat 6 bermaksud, “Dan tiada ada satu pun makhluk yang melata di bumi melainkan Allah yang menjamin rezekinya dan mengetahui tempat menetap dan tempat penyimpanannya. Semuanya itu tertulis di dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).”

Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing, gunakannya untuk berusaha mencari rezeki. 

Yakinlah, usaha daripada hasil titik peluh sendiri itu lebih mulia berbanding meminta-minta dan mengharapkan simpati orang lain.

Sekiranya setiap kita menggunakan tulang empat kerat untuk berusaha, sudah pasti tidak ada orang yang hidup dalam serba kekurangan. Tidak ada orang yang sentiasa menadah tangan mengemis untuk mendapatkan sesuap nasi.

Percayalah, Allah itu Maha Adil. Setiap usaha yang dilakukan, tiada nikmat yang tidak pernah dihulurkan. Redha dan tawakal, pastikan perkara ini menjadi tunjang kehidupan kita.

Tiada ulasan: