Isnin, 23 Januari 2017

JANGAN LEMAH KETIKA DIUJI





SAMA ADA kita suka atau tidak, redha atau tidak, kita tetap akan diuji. Terpulanglah kepada Allah SWT, apakah bentuk ujian yang akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya. Mungkin ujian itu kecil tetapi kita menganggapnya besar. Tidak mustahil pula jika ujian itu besar tetapi dirasakan kecil oleh mereka yang menerima.

Ujian itu pasti. Cuma kita tidak tahu bilakah ujian itu akan datang.

Menyedari diri akan diuji, kita perlu sentiasa bersedia. Bersedia dari segi mental, fizikal, emosi juga rohani. Tujuannya supaya kita tidak hilang pedoman. Bahkan, supaya dapat ambil ujian itu dengan tenang dan semangat yang tinggi.

Ujian tidak melemahkan aku!
Jangan sekali-kali mulut berkata lemah saat diuji. Kerana Allah SWT sudah berjanji yang Dia akan membantu dan tidak akan meninggalkan hamba-Nya bersendirian.

Bukan Dia tidak dengar esak tangis kita di tengah malam sunyi, bukan Dia tidak lihat air mata mengalir saat kita meminta dengan sungguh-sungguh dan bukan dia tidak kisah saat kita benar-benar mahu diangkat doa yang dipinta, tetapi Dia mahu tahu sejauh mana ikhlasnya kita ketika berada di hadapan-Nya.
 
Janganlah salah sangka dengan Tuhan.

Bukan Dia tidak sayang dan bukan Dia tidak cinta. Tetapi inilah cara untuk-Nya menunjukkan kasih sayang. Dan Dia tidak akan menguji hamba selain yang dicintai-Nya sahaja.

Apalah sangat dengan ujian kesakitan yang kita hadapi berbanding sengsaranya Nabi Ayub berhadapan dengan penyakit yang dihadapi sehingga ditinggalkan isteri tercinta. Lihat pula kesukaran Nabi Muhammad berhadapan dengan kaum kafir saat menyebarkan dakwahnya, berbanding kita yang baru sedikit ujiannya saat mengajak orang di sekeliling kembali kepada agama.

“Itu nabi. Saya manusia biasa. Manalah sama tahap ujian mereka dengan saya!”

Betul. Tapi kita perlu sedar yang Allah SWT hanya menguji mereka yang mampu sahaja. Konsep ini tiada bezanya di antara kita dengan rasul. Kita sebagai hamba yang lemah ini, haruslah lebih lagi erat pergantungannya kepada Allah SWT. Tanpa kekuatan daripada-Nya entah di mana kita hari ini. Mungkin di hospital jiwa kerana tidak dapat menahan tekanan yang menimpa. Mungkin juga berada di liang lahat kerana bunuh diri disebabkan jiwa kacau. Tetapi ini selalunya apabila hilangnya iman di dada.

Harapnya kita tidak begini saat diuji kerana kita ini muslim yang sudah diajar kaedah sesuai untuk diamalkan ketika jiwa ditimpa belenggu.

Walau setinggi gunung kita diuji, usah bersedih. Bangun dan terus melangkah ke hadapan. Yakinlah setiap perancangan Allah SWT itu sempurna, tiada cacat celanya, bahkan percayalah Dia akan kirimkan khabar gembira buat kita yang sentiasa bersabar. Lambat atau cepat, bukan soalnya kerana Allah SWT itu tidak pernah mungkiri janji-Nya.

Oh, jangan lupa ‘update’ iman juga. Kalau dulu solatnya empat waktu, mulai hari ini jadikan lima waktu. Jika dulu puasa sunatnya tidak pernah, mulai saat ini cubalah sekali sebulan. Dan jika dulu tidak pernah berkongsi, mulai sekarang belajarlah memberi walaupun sekecil-kecil pemberian.

Percayalah, dari situ kita akan terdidik sedikit demi sedikit untuk menjadi kuat dan tabah menghadapi sebarang cubaan dalam kehidupan. Mohonlah tanpa henti kepada Allah agar kita menjadi hamba yang terpilih untuk diuji.

Ingat, ujian itu tanda Allah SWT sayang.

Tiada ulasan: