Isnin, 8 Disember 2014

DUNIA HANYA PERSINGGAHAN



PADA hakikatnya semua umat Islam itu bersaudara. Apabila bersaudara sudah tentulah tidak ada   permusuhan, persengketaan, perbalahan dan sebagainya. Tetapi  apa yang berlaku pada hari ini berbeza sekali dengan kalimat yang telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.
            Di mana-mana, ramai umat Islam yang mengaku bersaudara tetapi tetap melakukan perbuatan yang ditegah seperti memutuskan hubungan, saling membenci, berdengki dan saling bermusuhan.
            Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya bermaksud, “Janganlah kamu semua saling memutuskan hubungan, jangan saling membenci, jangan saling berdengki dan jangan saling bermusuhan. Jadilah kamu semua itu hamba-hamba Allah sebagai saudara. Tidak halal bagi seseorang Muslim jika bermusuhan dengan saudaranya melebihi daripada tiga hari.”
            Walapun ingatan ini sudah sering kita dengari tetapi permusuhan sesama saudara seagama masih tetap berlaku malah sehingga bertahun-tahun lamanya. Apakah mereka tidak pernah mengambil peduli pesanan Rasulullah SAW ini sehinggakan perbuatan seperti itu sudah menjadi perkara biasa?  Akibat daripada perbuatan ini, tumpuan untuk mengukuhkan kedudukan umat Islam selalunya gagal dan pihak luar sentiasa mengambil kesempatan.
            Rasulullah SAW sudah pun meninggalkan pesanan kepada umatnya, tetapi sayang pesanannya tidak mahu dijadikan panduan. Manakala di kalangan bukan Islam melihat situasi itu sebagai mengelirukan kerana umat Islam sendiri tidak mematuhi ajaran yang disampaikan.
            Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mengingatkan, “Umat Islam itu adalah saudara Muslim,  tidak boleh menganiya dan tidak membenarkan penganiayaan. Barang siapa yang suka menolong hajat saudaranya, Allah akan menolong hajatnya. Barangsiapa yang melapangkan sesame Muslim daripada kesusahan di dunia, Allah akan melapangkan kesusahannya pada hari akhirat kelak. Barangsiapa yang menutup aib sesama Muslim,  Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.”
              Sudah sampai masanya untuk kita kembali mengingati pesanan-pesanan Rasulullah SAW supaya amal perbuatan kita itu dicontohi oleh generasi yang akan datang. Apa yang disarankan oleh Rasulullah SAW  bukan tertaklok kepada sesama Muslim sahaja malahan kepada bukan Muslim juga.
            Ini selaras dengan peringatan Allah dalam al-Quran, surah Al-Mumtahanah ayat 8 bermaksud, “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap mereka yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusir dari negerimu. Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

Tiada ulasan: