Isnin, 8 Disember 2014

TAWARAN BERURUSNIAGA DENGAN ALLAH DIJAMIN MENGUNTUNGKAN



TAJUK di atas mungkin sangat asing bagi kita untuk menafsirkannya. Mana mungkin manusia boleh melakukan urusniaga dengan Allah kerana Allah memiliki kedudukan yang mulia di sisi manusia dan Allah sudah pasti tidak akan melakukan urusniaga dengan manusia kerana manusia berurusniaga hanya kerana mahu mencari keuntungan sedangkan Allah tidak memerlukan semua itu.
Berurusniaga dengan semasa manusia jika betul cara pengurusannya sudah pasti akan membawa keuntungan dan keuntungan itulah nanti yang akan membawa perubahan dalam hidup. Hidup manusia boleh berubah jika melakukan urusniaga dengan jujur. Mungkin memulakan urusniaga secara kecil-kecilan, apabila mendapat keuntungan, mereka memperbesarkan lagi perniagaannya.  
Begitulah, perniagaan yang besar kebiasaannya bermula dari perniagaan secara kecil-kecilan. Mungkin ramai di antara kita tidak percaya, Allah juga sebenarnya melaksanakan perniagaan tetapi berurusniaga dengan Allah tentulah tidak sama dengan kita melakukan urusniaga dengan manusia.
Malah Allah menjanjikan, sekiranya melakukan urusniaga dengan Allah tidak akan mengalami kerugian tetapi keuntungan yang berlipat ganda dan sudah pasti akan merubah kehidupan kita kepada suasana hidup yang lebih selesa dan tidak tertekan dengan gelombang urusniaga.
Jika tidak percaya, hayati apa yang Allah katakan dalam surah   Al-Shaff   ayat 10-11 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”
Ayat di atas menjelaskan, Allah mahu menunjukkan satu bentuk perniagaan yang tidak akan membawa kerugian, sebalik akan membawa keuntungan dan akan menyelamatkan manusia daripada neraka tidak ada unsur penipuan, riba, ketidakadilan, hutang dan sebagainya.
Di dalam ayat di atas, perniagaan yang dimaksudkan ialah membelanjakan harta ke jalan Allah. Sudah pasti apabila membelanjakan harta ke jalan yakni satu bentuk perniagaan yang Allah anjurkan, tidak akan mengalami sebarang kerugian atau penipuan, rasuah dan sebagainya.
Malah, apabila semakin banyak kita membelanjakan harta ke jalan Allah, semakin banyak pula pulangan yang kita perolehi. Contohnya pernahkan kita mendengar orang yang berzakat dan bersedekah menjadi miskin atau muflis? Tidak pernah. Orang yang berzakat dan bersedekah itulah orang yang sedang menjalankan urusniaga dengan Allah.
Allah menjelaskan lagi bentuk perniagaan yang dimaksudkan ialah beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Maksud beriman kepada Allah ialah membelanjakan harta dan jiwa semata-mata untuk jalan Allah. Berjihad dalam bentuk mencari ilmu merupakan satu bentuk perniagaan juga  yang menguntungkan di mana ilmu yang diperolehi itu akan disebarkan kepada orang lain pula. Orang lain akan mendapat manfaat daripada ilmu yang kita perolehi dan ia merupakan satu sedekah.
Kepada mereka yang tidak memahami maksud ayat di atas, sudah pasti akan timbul banyak persoalan seperti apakah yang dikatakan berurusniaga dengan Allah? Apakah yang Allah tawarkan? Bagaimanakah cara untuk mendapatkan keuntnungan? Bagaimanakah perniagaan itu nanti mampu merubah kehidupan kita? Dan banyak lagi persoalan akan timbul.
Persoalan di atas, sudah pun dijawab di atas dan ia merupakan satu pelaburan yang sangat menguntungkan. Allah tidak mengkehendaki kita mengeluarkan modal yang besar untuk berurusniaga dengan-Nya, cukup dengan apa yang dinyatakan di bawah itu sebagai modal permulaan.
   Beriman kepada Allah
2.   Beriman kepada Rasulullah SAW
3.   Berjihad dengan harta
4.   Berjihad dengan jiwa raga
  Semua modal yang dinyatakan di atas bukanlah suatu yang menyulitkan kerana ia boleh disediakan memandangkan  semua orang memilikinya cuma, sejauh mana keikhlasan mereka untuk memberikan pinjaman kepada Allah dan Allah akan memberikan pulangan yang lumayan dan sudah pasti akan merubah kehidupan kita.
      Yakinlah,  sebagai pulangan kepada pelaburan tersebut yakni keuntungan, Allah telah menjanjikan suatu kemewahan yang tiada nilainya  iaitu menjadi ahli syurga 'Adn yang di dalamnya mempunyai pelbagai keistimewaan yang sangat hebat jika ingin dibandingkan dengan kemewahan dunia yang sedikit.  Malah Allah tidak akan sekali-kali merugikan mereka yang melakukan pelaburan terhadap-Nya asalkan dilakukan dengan ikhlas.
        Dua ayat dari surah Al-Shaaf ini sekiranya dihayati benar-benar tidak akan menimbulkan keraguan dan Allah sendiri telah menerangkan terlebih dahulu keuntungan yang bakal diperolehi berbanding kerugian yang memakan diri sendiri apabila berurusniaga dengan syaitan. 
    Contoh berurusniaga dengan syaitan yang jelas menjanjikan kemuflisan ialah dengan membelanjakan atau menafkahkan harta benda yang tidak diredhai Allah seperti ke arah perjudian, membantu ke arah kemaksiatan, pemindasan, ketidakdilan sesama manusia yang segala perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah. 
          Daripada penjelasan ayat di atas, apakah  sukar untuk kita terliur  dengan penawaran yang telah allah janjikan? Sudah pasti apabila menerima penawaran tersebut hidup kita pasti akan berubah walaupun tidak di dunia, di akhriat sudah pasti akan dapat dinikmati.
        Sekiranya keuntungan berurusniaga dengan Allah ini dapat dilihat dengan mata kasar, sudah pasti tidak akan berlaku penindasan penipuan,  kezaliman, kemungkaran dan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Mereka yang beriman sudah pasti akan tertarik dan terpikat dengan tawaran ini dan tidak akan mengendahkan tawaran syaitan yang penuh dengan  janji-janji manis.
          Ramai di antara kita tidak sedar, setiap harta yang kita miliki sebenarnya ada hak orang lain di dalamnya dan kita perlu memberikan hak itu dalam bentuk sedekah, zakat atau apa juga bentuk bantuan yang memberikan manfaat kepada orang lain. Ramai menganggap harta yang dimiliki itu seratus peratus pemilikan sendiri yang diperolehi hasil jerih payah dan keringat, apa perlunya diberikan kepada orang lain sedangkan mereka juga boleh melakukannya apa yang dilakukan untuk mendapatkan harta.
            Apabila Allah membuka tawaran untuk melipatgandakan ganjaran dan perubahan hidup, kita perlu bijak mengambil tindakan. Tidak ada satu perniagaan atau pelaburan yang akan menyatakan secara jelas keuntungan yang bakal diperolehi melainkan melakukan urusniaga dengan Allah. Keuntungan yang Allah berikan tidak akan berubah-ubah walau apa pun keadaan berlaku tidak sama keuntungan yang kita lakukan dalam industri pelaburan.
         Perintah Allah supaya menyahut tawarannya dijelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 244 yang bermaksud, “Dan berjihadlah kamu sekalian di jalan Allah, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
        Berjihad bukan sahaja menegakkan agama di medan perang tetapi membelanjakan harta ke jalan Allah juga merupakan satu jihad yang oleh dilakukan oleh semua orang mengikut kemampuan masing-masing. Untuk menguatkan hujah, Allah menjelaskan lagi penawarannya dalam ayat 245 yang bermaksud, “Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rizki), dan kepadaNyalah kamu dikembalikan."
        Yakinlah, apabila kita berasa kikir dan takut kerugian untuk berurusniaga dengan Allah, jangan terkejut sekiranya Allah akan menyempitkan rezeki sebagai tanda manusia tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Dari Allah manusia diberikan nikmat, kepada Allah juga nikmat itu dikembalikan.


Tiada ulasan: