Isnin, 8 Disember 2014

TAWARAN ALLAH UNTUK MERUBAH HIDUP




RAMAI orang berusaha mahu merubah hidup daripada kurang baik kepada yang lebih baik dan yang sudah baik kepada yang lebih baik lagi. Oleh kerana kos sara hidup yang semakin meningkat, harga barangan yang tidak pernah turun sedangkan hasil pendapatan juga tidak meningkat, bagaimanakah caranya untuk mengimbangi kos sara hidup ini?
    Untuk itu tidak hairanlah ramai di antara kita terpaksa melakukan pelbagai cara untuk menambahkan pendapatan dengan harapan dapat  mengimbangi kos sara hidup yang semaikin meningkat. Selain melakukan pekerjaan yang sedia ada, ramai yang menjalankan perniagaan ‘online’, menjual pelbagai produk sebagai pengedar sambilan dan melakukan apa sahaja kerja asalkan pendapatan bertambah.
   Hasil usaha keras itu ramai yang berjaya, tidak kurang juga yang kecundang, modal habis untung tiada malah hidup semakin susah. Kita melakukan sesuatu untuk menambahkan pendapatan mengikut cara yang kita fikirkan sesuai sedangkan Allah sendiri sudah menunjukkan cara yang mudah dan berkesan tetapi kita tidak mengikut apa yang diajarkan di dalam al-Quran.
  Banyak ayat-ayat dalam al-Quran yang membuat tawaran untuk kita merubah hidup kepada yang lebih baik berbanding tawaran-tawaran yang disediakan oleh para pengeluar produk. Tetapi sayangnya kita tidak tertarik dengan apa yang Allah tawarkan sebaliknya lebih tertarik kepada tawaran yang belum pasti menjanjikan perubahan.
   Kita tidak tertarik dengan apa yang Allah tawarkan dalam al-Quran kerana kita sendiri tidak pernah mengkaji atau memahami apa yang Allah nyatakan dalam kitab suci itu. Kita lebih terpesona dengan janji dan tawaran akan mendapat sebuah kereta mewah, sebuah rumah dan sebaganya berjaya menjual produk yang ditawarkan mengikut tahap jualan yang dtetapkan.
   Allah tidak pernah memungkiri janji-janjinya di dalam al-Quran apabila kita berjaya merebut apa yang ditawarkan.  Lihatlah apa yang Allah tawarkan dalam surah al-Baqarah ayat 245 ini. Apakah tawaran ini tidak cukup untuk mempersonakan kita?
   Allah menjanjikan yang bermaksud, “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkah hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”
  Apakah kita masih tidak percaya dengan apa yang Allah tawarkan ini? Maksud memberikan pinjaman kepada Allah membawa maksud menafkahkan harta ke jalan Allah atau lebih mudah bersedekah ke jalan Allah. Untuk bersedekah, tidak memerlukan kita mesti berharta dahulu seperti memiliki rumah besar, kereta besar, kebun berekar-ekar. Malah sesiapa yang hidup susah juga digalakan bersedekah kerana dengan cara ini Allah akan menambahkan hartanya.
  Bersedekah ke jalan Allah tidak semestinya dengan wang ringgit sebagaimana yang terpahat di dalam fikiran kita. Apa sahaja yang boleh memberikan manfaat dan kebaikan kepada orang lain, jangan ragu untuk menyedekahkannya. Jika kita hanya menunggu apabila ada wang ringgit, jawapannya mudah sahaja. Sampai bila-bila pun kita tidak akan  ada wang ringgit untuk bersedekah kerana ada sahaja wang ringgit digunakan bukan untuk ke jalan Allah.
     Jika kita tidak percaya Allah akan melipatgandakan wang yang kita sedekahkan itu dan Allah akan membayar kembali, sila buat testimoni. Dengan jumlah yang sama katakanlah RM 1,000 kita masukkan ke dalam bank dan dengan jumlah yang sama juga kita sedekahkan kepada Rumah Anak-Anak Yatim, misalnya, yang manakah satukah dahulu yang akan mendapat pulangan segera?
   Percayalah, wang yang kita simpan di dalam bank tidak mungkin akan mendapat pulangan malah akan berkurang kerana kita akan mengeluarkannya semula apabila kita perlukan. Wang itu akan semakin berkurang dan berkurangan sehinggalah kita masukan semula dan inilah yang akan berlaku dari masa ke masa.
    Jumlah wang yang sama jika sedekahkan ke Rumah Anak-Anak Yatim, yakinlah Allah akan melipat-gandakan ganjaran pahala selain Allah akan gantikan sedekah itu dengan jalan kita tidak sangka-sangka. Janji Allah ini dinyatakan dalam surah at-Talaq ayat 3 yang bermaksud, “Dan ingatlah, sesiapa yang bertawakal kepada Allah,  Allah akan mencukupkan segala keperluannya dan memberikan jalan keluar dari arah yang tidak disangka-sangka.”
    Wang ringgit yang kita sedekahkan ke jalan Allah, tidak mungkin akan kita minta atau ambil kembali meskipun pada satu ketika kita dalam kesulitan tetapi Allah Maha Mengetahui dan Allah akan memberikan jalan keluar dari jalan yang tidak disangka-sangkanya. 
   Tawaran lain yang sangat lumayan untuk menambahkan pendapatan tanpa perlu kita bekerja keras ada dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 261. Hanya orang yang beriman sahaja akan terliur untuk memperbanyakan sedekah sebagai jalan keluar daripada masalah kewangan.
  Tawaran Allah itu bermaksud, “Perumpamaan (nafkah yang di keluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir, mengandungi  seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
     Untuk memberikan gambaran yang mudah, kita ambil contoh seseorang menanam satu batang ubi. Untuk tempoh masa tiga atau empat bulan akan datang, pokok ubi itu akan membesar dan mengeluarkan hasilnya. Bayangkan kalau kita menanam 50 atau 100 batang, dalam masa tiga atau empat bulan akan datang, berapa banyakkah hasil yang akan kita dapat?
   Itulah perumpamaan yang digambarkan di dalam surah Al-Baqarah ayat 261 itu. Menanam batang ubi itu ibarat sedekah ke jalan Allah. Sampai masanya Allah akan melipatgandakan hasil tanaman itu. Semakin banyak kita menanam, semakin banyaklah hasil yang kita perolehi. Begitu juga dengan sedekah itu.
   Sedekah merupakan tawaran Allah untuk kita melabur sama ada di dunia atau akhirat. Allah akan segera memberikan saham pada masa di dunia juga di akhirat. Sedekah tidak memerlukan kita kaya tetapi ketika miskin dan tidak berharta, ketika itulah detik paling berkesan untuk bersedekah. Semakin banyak kita bersedekah, semakin banyak rezekinya melimpah.
   Rasulullah SAW bersabda, Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, kecuali bertambah, bertambah, bertambah.” - Hadis Riwayat Al-Tirmizi.
  Sebelum Allah menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada manusia yang beriman, terlebih dahulu Allah telah memperkenalkan siapa diri-Nya. Ini untuk meyakinkan bahawa apa yang Allah tawarkan bukanlah satu kenyataan yang tidak disertakan dengan bukti-buktinya. Allah memperkenalkan kekuasaan-Nya, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan akan melaksanakan apa yang diuvapkan-Nya.
  Buktinya, sebelum ayat 261, ayat 260 Allah telah memperkenalkan dirinya yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-mahkluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanKu)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang sangat-sangat ingin menyaksikannya)." Allah berfirman: "(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera." Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
     Kalaulah Allah mampu untuk menghidup dan mematikan yang bernyawa, sebagaimana yang dinyatakan ayat di atas, apakah Allah tidak mampu untuk merubah kehidupan manusia sebagai bukti kekuasaan-Nya?  Hal ini samalah juga sebelum kita membeli sesuatu polisi insuran, pihak insuran akan menerangkan apakah kebaikan dan kemudahan akan kita perolehi apabila kita membeli sesebuah insuran sebagai contohnya. Pihak insuran juga akan memberikan perlindungan pelbagai bentuk mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Ini merupakan satu prosedur biasa.
 Begitu juga dengan Allah sebelum menawarkan sesuatu kemudahan, Allah akan menceritakan apakah kebaikan membelanjakan harta ke jalan Allah.  Apakah keuntungan dan kemudahan yang bakal diperolehi apabila kita bersedekah. Malah keuntungan bersedekah ini lebih lumayan malah mampu untuk merubah kehidupan kehidupan manusia kerana harta yang disedekah tidak akan berkurang tetapi semakin bertambah.
     Satu lagi tawaran Allah yang tidak sewajarnya kita lepaskan peluang merebutnya ada dirakamkan dalam surah al-Baqarah ayat 266 bermaksud, “ Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil ikhtibar).”
      Permulaan ayat di atas merupakan satu penawaran Allah kepada hamba-hamba-NYA. Siapakah di antara kita yang tidak suka sekiranya ada orang menawarkan sebidang tanah yang penuh dengan tanam-tanaman yang subur menghijau, dipenuhi dengan pokok buah-buahan tanpa kita bersusah payah menebang dan menebas tetapi diberikan setelah kebun itu menghasilkan buah?
Sudah pasti hanya orang yang malas untuk mengerjakan kebun sahaja yang akan menolak tuah itu tetapi bagi orang yang ingin merubah kehidupan, sudah pasti pemberian itu satu nikmat yang tidak terhingga kerana tanpa mengeluarkan modal membeli tanah, sudah ada orang mahu memberikan kebun itu kepada kita.
Begitulah Allah mahu memberikan nikmat-Nya kepada manusia. Bagaimanapun sekiranya manusia itu mensia-sia pemberian Allah itu dan bermegah-megah serta mendakwa itu adalah hasil usahanya selama ini, sudah pasti Allah akan memberikan musibah sehingga kebun yang diberikan itu hancur musnah. Sebelum ia  terjadi manusia diminta supaya sentiasa mengambil ikhtibar.           
     Masihkah kita berasa ragu-ragu untuk merubah kehidupan dengan jalan bersedekah setelah kita melakukan pelbagai usaha tetapi tidak berjaya? Cuba praktikkan apa yang telah Allah perkenalkan dalam al-Quran. Semoga hidup kita akan berubah.

Tiada ulasan: