Rabu, 26 November 2014

PENJELASAN MUSIBAH DALAM AL-QURAN




APABILA Allah memberikan isyarat atau teguran, jangan sekali-kali  beranggapan ia satu perkara remeh kerana sikap kita itu akan membawa kepada satu petanda buruk akan berlakunya musibah. Ada kemungkinan isyarat itu satu peringatan awal supaya kita segera memuhasabah diri, apakah sebenarnya kesilapan yang sudah kita lakukan.

        Kepada sesiapa yang memandu kereta, tiba-tiba ada orang memberikan sesuatu isyarat atau membunyikan hon, ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemanduan kita atau kereta kita ada masalah. Pemandu lain akan perasaan jika kita tidak menutup pintu dengan rapat, terlupa menutup tangki minyak selepas mengisi minyak, tayar belakang bocor, ada bungkusan sampah di atas bonet atau ada kesalahan  lain yang kita tidak sedari.

           Semua isyarat itu akan membuatkan kita berhenti dan memeriksa apakah kesalahan kita. Begitu jugalah dengan hidup ini. Apabila Allah memberikan isyarat atau teguran, segeralah muhasabah diri apakah kesalahan yang sudah kita lakukan dan perbetulkan segera, jika tidak, sudah pasti akan mengundang padah.

           Di sini ada satu kisah, bagaimana seseorang yang tidak mengendahkan isyarat yang diberikan oleh seorang rakan kepada rakannya yang lain dan menganggap ia perkara kecil.

        Pada satu hari ketika sibuk bekerja, seorang buruh binaan dikejutkan dengan panggilan telefon bimbit dari seorang perempuan yang meminta supaya memberitahu rakannya, isterinya sedang sakit tenat dan meminta rakannya itu pulang segera. Perempuan itu memberitahu, dia sudah berkali-kali  menelefon  suami, isteri rakannya tetapi tidak berjawab.

         Oleh kerana lelaki yang menerima panggilan telefon itu berada di tingkat atas manakala rakannya berada di tingkat bawah, dia hanya memanggil-manggil nama rakannya tetapi oleh kerana bunyi bising, suaranya tidak didengari oleh rakannya. Akhirnya rakannya itu menjatuhkan wang syiling ke tingkat bawah dengan harapan rakannya akan tertimpa wang syiling itu dan mendongak ke atas.

            Tetapi sayangnya apabila rakannya itu tertimpa wang syiling itu, dia tidak dapat menangkap apa-apa isyarat dan beranggapan wang syiling itu mungkin terjatuh dari poket seluar pekerja binaan di tingkat atas dan menganggap ia satu rezeki. Oleh kerana tidak ada tindak balas, rakannya itu menjatuhkan wang syiling satu persatu sehinggalah wang syiling dalam poketnya habis.

            Setelah mendapati tidak ada tindak balas, rakan lelaki itu menjatuhkan kayu yang agak besar kira-kira sebesar lengan sepanjang satu kaki ke bawah. Akhirnya kayu itu tertimpa kepala rakannya itu dan membuatkan rakannya itu marah.  Ini menyebabkan lelaki itu mencari siapa yang menjatuhkan kayu itu.

            Sebaik sahaja lelaki itu naik ke tingkat atas dan mencari siapa yang menjatuhkan kayu itu, barulah rakan lelaki itu menceritakan perkara sebenar dan hilanglah rasa marahnya.

           Sebenarnya, inilah cara Allah ingin memberikan isyarat atau teguran kepada hamba-hamba-NYA jika  melakukan kesilapan. Allah akan menimpakan musibah-musibah kecil ibarat melemparkan batu-batu kerikil supaya manusia sedar. Sekiranya manusia itu tidak juga sedar, batu-batu sebesar batu-bata akan ditimpakan, jika tidak sedar juga barulah batu sebesar bola dilemparkan.

            Kisah di atas wajar dijadikan ikhtibar supaya kita segera memahami teguran Allah dan jangan menunggu Allah ‘menjerit’ barulah kita bergegas memuhasabah diri. Oleh itu apabila kita ditimpa musibah kecil, segeralah berwaspada dan bersedia sebelum musibah yang lebih besar datang melanda.

           Sebagai contoh,  sebelum berlaku bencana kemarau panjang, kita diingatkan supaya bersedia menyimpan air atau menggali perigi. Manakala jika musim tengkujuh tiba, kita diingatkan supaya bersedia menghadapi banjir dengan menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat.

Allah sebenarnya mahu  kita supaya memahami takdir. Ini akan  memudahkan kita mentadbir atau mengurus  apabila ditimpa sesuatu musibah serta tidak menyalahkan Allah sedangkan kesilapan itu datangnya dari manusia sendiri.              

Tiada ulasan: