Jumaat, 22 Mei 2015

REZEKI TIDAK DATANG BERGOLEK



KEBANYAKAN rezeki mesti dicari. Rezeki tidak akan datang bergolek jika tidak ada sesiapa yang menggoleknya. ALLAH sudah mengingatkan umatnya dalam surah ar-Ra’adu ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Jika dikaitkan dengan rezeki, manusia itu sendiri yang mesti berusaha untuk mendapatkannya bukannya ALLAH melonggokkan rezeki di hadapan kita. Perhatikan, burung-burung pun mesti keluar dari sarangnya untuk memenuhkan perutnya dengan terbang mencari rezeki, tetapi kenapa manusia yang mempunyai akal dan fikiran masih duduk termenung mengharapkan rezeki datang bergolek?

Manusia mesti mengubah sikapnya daripada sifat malas kepada sifat rajin untuk menambahkan rezeki. Jika manusia itu sendiri enggan mengubahnya, sampai bila-bila pun mereka tidak akan berubah dan rezeki juga tidak akan bertambah. Hanya orang yang bersabar dengan usahanya itu akhirnya akan memberikan hasil.

Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan berasa kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa  serta hasil tanaman. Dan berilah khabar kepada orang-orang yang sabar.”

Lazimnya apabila manusia tidak diuji dengan rasa takut, kelaparan dan kehilangan harta benda, manusia tidak akan mahu merubah hidupnya kerana berasakan apa yang ada padanya hanyalah itulah rezeki untuknya sedangkan ALLAH meminta supaya kita terus berusaha.  Dalam surah al-Baqarah ayat 245, ALLAH menegaskan lagi bermaksud, “ALLAH jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezseki) dan kepada-NYAlah kamu semua dikembalikan.”

Ayat ini menjelaskan sesiapa yang berasakan rezekinya sempit, ini berpunca daripada dirinya yang tidak mahu berusaha manakala apabila dia berusaha meluaskan rezekinya, ALLAH akan sentiasa  meluaskan rezekinya.

Kebanyakan orang menganggap apabila berbicara mengenai rezeki, ia akan berkait rapat dengan harta benda atau wang ringgit sedangkan apabila kita amat-amati rezeki berupa harta benda dan wang ringgit hanyalah sebahagian kecil sahaja dalam hidup ini.  Untuk itu apabila ALLAH memberikan rezeki dalam bentuk lain selain harta dan wang ringgit, jarang ada manusia mahu mensyukuri.

Dalam fikiran mereka sudah tertanam, apabila disebut rezeki sahaja akan terbayanglah wang ringgit dan harta benda, sedangkan rezeki dalam bentuk nikmat yang lain seperti angin, udara, hujan, siang dan malam dianggap bukan rezeki. Bayangkanlah jika panas atau hujan berpanjangan, bagaimanakah kita mahu mendapatkan rezeki?  Tumbuh-tumbuhan tidak akan boleh hidup dalam keadaan hujan berterusan, begitu juga dengan panas berpanjangan.

Oleh itu kita perlu sedar, dalam hidup kita ada dua rezeki yang perlu diketahui iaitu rezeki umum dan rezeki khusus.

Rezeki umum

Sama ada manusia itu kafir ataupun beriman kepada ALLAH, ALLAH tetap akan memberikannya rezeki seperti kesihatan, rumah, kenderaan. Harta benda, pekerjaan dan sebagainya jika mereka mahu berusaha mendapatkannya. Walaupun rezeki seperti ini dikurniakan kepada ramai manusia, bukan bermakna mereka beriman kepada ALLAH. Contohnya ramai juga orang kafir yang tidak beriman, semuanya mendapat rezeki yang ALLAH berikan.
       
Sesiapa yang diberikan lebihan rezeki dan dikurangkan rezeki, bermakna ALLAH menyanjung atau menghinakan mereka. Hanya manusia yang diberikan lebihan rezeki, akan berkata ALLAH telah memuliakannya dengan kesenangan. Manakala yang disempitkan rezeki akan berkata, ALLAH telah menghinakannya.
        
Mereka tidak sedar bahawa kesenangan atau kesempitan hidup itu sebenarnya satu ujian. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Fajr ayat 15-16 yang bermaksud, “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakannya dan diberinya kesenangan maka dia akan berkata, “Tuhanku telah memuliakanku.” Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia akan berkata, “Tuhanku menghinakanku.”

 Rezeki khusus

Rezeki seperti ini hanya ALLAH berikan kepada mereka yang dicintai sahaja. Hanya orang mukmin sahaja yang layak mendapat rezeki seperti ini.  Ini dijelaskan oleh ALLAH dalam surah At-Talaq ayat 11 yang bermaksud, “Dan barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan amal soleh nescaya ALLAH akan memasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalam selama-lamanya. Sesungguhnya ALLAH memberikan rezeki yang baik kepadanya.”
         
Orang-orang kafir tidak akan sekali-kali menikmati rezeki khusus ini kerana ia merupakan anugerah kepada orang mukmin yang sentiasa beriman.
         
ALLAH menegaskan dalam surah Sad ayat 49-54 yang bermaksud, “Ini adalah kehormatan bagi mereka dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar disediakan tempat kembali yang baik iaitu syurga ‘Add yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka, di dalamnya mereka bersandar (di pelamin) sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu. Dan di samping mereka ada bidadari-bidadari yang redup pandangannya  dan sebaya umurnya, inilah apa yang dijanjikan kepadamu pada hari perhitungan. Sesungguhnya ia adalah rezeki dari Kami yang tiada kehabisan.”

SAKITI HATI ISTERI BOLEH TERTUTUP PUNCA REZEKI



APA kena mengena menyakiti hati suami atau isteri dengan kemurahan rezeki? Asalkan kita rajin berusaha, tidak menipu, sudah pasti kita akan mendapat rezeki lebih. Kalau kita malas, asyik tidur dan membuang masa, memanglah macam mana rezeki nak masuk? Begitulah yang dipersoalkan apabila topik ini  diketengahkan.
Benar atau tidak apa yang dibincangkan ini, baca kisah ini kemudian fikirkanlah sendiri.
Satu petang ketika penulis sedang minum di sebuah restoran mamak di Shah Alam, penulis dihampiri seorang lelaki yang menjual beberapa buah buku agama.  Sebelum dia menghampiri penulis, penulis perhatikan dia menghampiri beberapa orang pelanggan di restoran itu. Ada yang membeli dan ada yang tidak membeli lalu menolak dengan baik.
Apabila dia menghampiri penulis, dia menghulurkan beberapa buah buku. Setelah membelek-belek, penulis berminat membeli dua buah buku yang boleh dijadikan rujukan untuk menulis. Setelah membayar sejumlah wang, penulis pelawa dia duduk, kebetulan di luar hujan lebat dan mempelawanya minum bersama.
Mulanya dia menolak, tetapi penulis katakan, “Ini rezeki untuk awak.” Dia akhirnya  mengalah dan duduk berhadapan dengan penulis  kemudian dia memesan secawan teh tarik. Setelah teh tarik sampai, penulis cuba mengenalinya.
Menurutnya, sebelum ini dia bekerja dengan sebuah syarikat penerbitan buku tetapi syarikat itu menghadapi masalah kewangan dan terpaksa menutup operasi. Oleh kerana majikannya tidak mampu membayar gaji, majikannya  memberikan sejumlah buku  bernilai lebih kurang gajinya yang tertangguh untuk dijual bagi menggantikan gajinya.
Dengan rasa berat dan terpaksa menerima kerana tiada pilihan lain untuk mencari rezeki, kebetulan isterinya baru sebulan melahirkan anak keduanya dan dia sememangnya memerlukan belanja seharian. Oleh kerana tidak ada premis, dia terpaksa menjual secara terus kepada pembeli kerana mudah untuk mendapatkan wang secara tunai.
Setiap hari sebelum keluar rumah, dia akan mencium isteri, memberikan senyuman dan meminta mendoakan supaya ALLAH memberikan  rezeki pada hari itu. Isterinya redha dengan nasib suami yang terpaksa diberhentikan kerja. Dia terpaksa menebalkan muka bertemu dengan orang ramai menjual buku yang ada padanya tanpa menceritakan apa yang dialami.
Alhamdulilah, rezekinya tidak putus setiap hari. Malah hasilnya usaha itu sangat lumayan berbanding dengan gaji yang diterimanya sebelum ini. Katanya, dia yakin doa isterinya dan tidak pernah menyakiti hati isterinya sejak diberhentikan kerja  menjadi pemangkin rezekinya bertambah setiap hari.  Dia sangat bersyukur kepada ALLAH.
Menurutnya lagi, berbanding dengan seorang kawannya yang sama-sama terpaksa diberhentikan kerja dan melakukan tugas yang sama, rezekinya sangat sempit. Apabila dia menjual buku, tidak ramai yang berminat membelinya, dia berasa kecewa dan tertanya-tanya di mana silapnya.
Menurut lelaki itu, sejak kawannya diberhentikan kerja, dia selalu bertengkar dengan isterinya dan selalu menyakiti hatinya. Semua berpunca dari masalah kewangan sejak dia diberhentikan kerja. Isterinya tidak boleh menerima keadaan itu dan menyalahkan suaminya serta diminta mencari kerja lain daripada menjual buku yang tidak seberapa.
Setiap pagi apabila keluar rumah, dia tidak pernah menyalami isterinya kerana muka isterinya selalu sahaja masam. Apabila dia pulang, isterinya tidak menyapa dan suasana rumahtangga terasa dingin.
'Saya rasa ini ada kaitan dengan perbuatannya terhadap isteri. Jika kita baik terhadap isteri yang tidak menyakiti hatinya, saya percaya rezeki akan bertambah, tetapi jika kita menyakiti hatinya, rezeki kita terasa sempit,” ujarnya kepada penulis.
Katanya, ketika dia menjual buku, dia pernah ditemukan dengan seeorang yang meminta supaya bekerja dengannya kerana katanya saya seorang yang rajin. Rupa-rupanya dia pernah memerhatikannya menjual buku dan ramai orang membeli buku yang dijual.
“Saya belum membuat keptusan sama ada untuk menerima pelawaan lelaki itu dan mahu berbincang dengan isteri kerana saya  mempunyai cita-cita  sendiri untuk membuka perniagaan sendiri walaupun secara kecil-kecilan. Saya mahu mengumpul modal untuk membuka sebuah kedai buku, “ ujarnya yakin impiannya akan tercapai satu hari nanti.
“Saya yakin, buku-buku yang saya  jual akan memberikan manfaat  kepada orang yang membacanya. Saya hanya mahu menyebarkan ilmu mengikut kemampuan saya. Doakan cita-cita saya tercapai satu hari nanti,” ujarnya lagi kepada penulis sambil bersalaman dan meminta izin untuk beredar meneruskan tugasnya. Penulis sempat menadah tangan sambil berdoa di dalam hati.
Daripada kisah benar di atas, persoalan kelancaran rezeki tidak hanya bergantung kepada usaha sahaja tetapi bergantung kepada faktor luaran yakni hubungan kita dengan ibu bapa, isteri, anak-anak, jiran tetangga dan masyarakat. Sekiranya kita baik kepada semua orang, tidak ada sebab mengapa orang mesti menolak kita apabila kita memerlukan mereka. Sebenarnya apa yang kita beri, itulah yang akan kita terima kemudian.
             

SENI BAGAIMANA MENGURUS REZEKI



SUAMI isteri bekerja. Jika dicampur gaji suami dengan isteri, sememangnya mencukupi. Tetapi setelah ditolak pelbagai perbelanjaan seperti ansuran kereta, minyak kereta, ansuran rumah, bil elektrik, bil telefon, perbelanjaan untuk sekolah anak-anak, perbelanjaan dapur dan segala perbelanjaan yang kecil-kecil, masih tidak mencukupi lagi. Mengapa ya?
            Apakah kerana suami isteri itu tidak bijak mengurus kewangan atau ada sesuatu yang tidak kena dengan rezeki yang mereka perolehi? Jika di kampung, ibu bapa kita dulu hanya bergaji tidak sampai RM 500 tetapi cukup untuk keperluan makan, minum, tempat tinggal dan sebagainya. Mereka jarang menghadapi masalah kewangan tetapi kita yang bergaji lebih daripada RM 5,000 sebulan ke atas masih lagi tidak mencukupi.
            Itu belum dikira jika berlaku kes-kes kecemasan seperti kereta rosak, kemalangan, anak sakit dan perlukan belanja rawatan, rumah kena pecah dan pelbagai masalah lagi yang memerlukan kewangan untuk diselesaikan. Akibat tidak berkecukupan, mulalah berhutang sana-sini tetapi mereka sama juga  seperti kita, banyak masalah kewangan yang perlu diselesaikan.
            Jika dikatakan tidak bijak mengurus kewangan, mungkin ada benarnya. Orang yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada akan membelanjakan kewangan mereka dengan berhati-hati. Mereka berbelanja mengikut kemampuan dan mengikut keperluan. Jika tidak perlu, mereka akan simpan duit untuk kecemasan.
            Apabila rezeki yang diperolehi tidak mendapat redha ALLAH atau tidak berkat, duit akan mengalir deras ke arah yang tidak diketahui, sedar-sedar duit habis dan tidak sedar ke mana duit dibelanjakan sedangkan hasilnya tidak nampak. Hidup pula  semakin banyak masalah. Lepas satu, satu masalah lain pula datang sehinggakan fikiran buntu mencari penyelesaiannya.
            Mereka  yang mengalami perkara seumpama ini, perlu mengubah diri. Renung ke dalam diri lama-lama dan lihat apa kesilapan yang sudah dilakukan dan apakah perintah ALLAH yang tidak atau belum ditunaikan. Bayangkanlah apa terjadi pada hidup ini, sudahlah rezeki sempit banyak pula masalah bertimpa-timpa.
            Pada satu hari Abu Yazid Al-Bustami, seorang ahli sufi didatangi seorang lelaki yang berwajah muram, rambut kusut masai dan dahi berkerut mengadu kepadanya. Katanya, “Wahai Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya saya tidak pernah lepas daripada beribadah kepada ALLAH. Ketika orang lain nyenyak tidur, saya bangun bertahajud dan bermunajat. Ketika isteri belum bangun, saya sudah mengaji Quran. Saya bukan seorang pemalas dan enggan mencari rezeki tetapi megapa hidup saya selalu malang dan  sentiasa dilanda masalah?”
            Abu Yazid menegur lelaki itu, katanya, “Perbaiki penampilanmu dan bersihkan wajahmu. Tahukah kamu, Rasulullah SAW  seorang yang susah dan miskin tetapi wajahnya tak pernah masam (keruh atau muram) malah selalu ceria. Rasulullah SAW bersabda, “Salah satu tanda penghuni neraka ialah bermuka masam yang membuatkan orang curiga kepadanya.”
            Lelaki itu tunduk dan faham apa yang dimaksudkan oleh ahli sufi itu. Kemudian lelaki itu pulang dan berjanji akan mengubah penampilannya.  Sejak itu lelaki itu menjaga penampilannya dan tidak pernah mengeluh atau bermasam muka. Dia selalu tersenyum dan wajahnya sentiasa berseri-seri.
            Orang yang selalu berjumpa dengannya pun berasa gembira dengan perubahan itu dan dia mula mendapat ramai kenalan dan dari kenalan itu dia bersilaturahim lalu rezeki datang perlahan-lahan.
            Sementara itu Imam Hasan Al-Basri pula mengatakan, “Awal kebersihan sesuatu pekerjaan adalah wajah yang bersih, sentiasa ramah dan senyum.” Malah Rasulullah SAW menegaskan, senyum merupakan sedekah yang murah tetapi paling besar pahalanya.
            Berpandukan daripada kisah di atas, bolehlah dibuat kesimpulan untuk mendapatkan rezeki, bukan sahaja dari segi batiniah tetapi juga penampilan dari segi lahiriah perlu dijaga. Mereka yang bekerja dan berurusan dengan orang ramai, seperti para peniaga, pertugas di kaunter atau di mana sahaja, amalkan sifat kemas, ramah dan sentiasa senyum akan membuatkan orang senang berurusan.
            Apabila senang berurusan, pada lain kali orang datang lagi. Ini secara tidak langsung akan membuatkan rezeki datang bertimpa-timpa dan mendapat keberkatan ALLAH. Begitu juga dalam menjaga hubungan suami isteri, jika salah satu atau kedua-duanya sentiasa berwajah masam, pelbagai masalah akan timbul secara tidak langsung keberkatan rezeki tidak akan menjengah kehidupan mereka.  
            Kita jangan berfikir apa yang disampaikan di atas kurang penting untuk menjemput rezeki datang. Ramai orang tidak ambil peduli dengan perkara ini. Lazim mereka yang bertugas atau berurusan dengan orang ramai terutamanya di bahagian kaunter tidak menekankan perkara ini. Apabila mereka ditekan dengan tugas yang pelbagai, mereka jarang mahu memberikan senyuman malah kadang-kadang melayan pelanggan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
            Ingatlah, apa yang anda lakukan ini mungkin akan menyebabkan ketidak-berkatan rezeki yang anda perolehi. Ini kerana jika mereka tidak berurusan dengan anda, bermakna akan kekurangan pelanggan dan akan menjejaskan sesuatu perniagaan.


SEDEKAH ITU KUNCI PINTU REZEKI



SESETENGAH  orang apabila diminta bersedekah mereka akan berkata, “Tunggulah kalau ada rezeki lebih, barulah saya bersedekah.”  Apabila ada orang berkata begitu, percayalah sampai bila-bila pun mereka tidak akan bersedekah. Untuk bersedekah tidak perlu menunggu rezeki lebih baru sedekah.
            Orang yang selalu berkata seperti ini, yakinlah ALLAH tidak akan memberikan rezeki kerana apabila dia diberi rezeki berlebihan, dia akan lupa diri dan mengatakan rezeki itu hasil usahanya sendiri dan bukan datangnya dari ALLAH. Waktu itu, dia tidak akan bersedekah kerana tanpa bersedekah pun, rezekinya sudah bertambah. Orang seperti ini tidak sedar, dia sedang diuji sebenarnya.
            Jka ALLAH berkuasa memberikan rezeki tanpa bersusah payah bersedekah, ALLAH juga berkuasa menarik kembali rezeki mereka sedikit demi sedikit atau sekaligus supaya ia menjadi pengajaran. Tetapi apakah manusia mengambil pelajaran daripada peristiwa itu?
            Berapa ramai orang yang diuji dengan diberikan rezeki berlebihan tetapi mereka tidak mahu bersedekah lalu ALLAH mengambil semula apa yang diberikan. Kita tentu pernah melihat bagaimana seorang yang berjaya dalam bisnes dengan limpahan kekayaan tetapi akhirnya perniagaan lingkup sama ada ditipu, diperdaya, banyak hutang dan sebagainya.
            Apabila sudah jatuh muflis, barulah teringat hendak bersedekah. Ramai orang tidak tahu, paling baik untuk bersedekah ialah ketika kita sedang kesempitan wang, tambah pula ketika itu ada orang memerlukan wang kita.
            Ini ditegaskan dalam al-Quran ayat At-Talaq ayat 7, ALLAH mengingatkan yang bermaksud, “Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta-hartanya yang diberikan oleh ALLAH kepadanya.”
Yakinlah, apabila kita ikhlas bersedekah ketika kesempitan begitu, ALLAH akan segera menggantikan semula sedekah itu dalam jangka waktu yang singkat. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Dan ALLAH sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-NYA selama ia menolong saudaranya.” – Hadis oleh Muslim.
            Cuba fikirkan nelayan yang turun ke laut. Adakah mereka turun ke laut terus mendapat ikan lalu membawa pulang dengan segera. Tidak bukan! Mereka terpaksa memancing atau menjala terlebih dahulu, barulah ikan itu dikumpul lalu dibawa pulang untuk dijual bagi mendapatkan wang. Begitu juga dengan sedekah.
            Sedekah merupakan jalan pintas yang mudah untuk memperolehi kemurahan rezeki. Rasulullah SAW pernah mengingatkan supaya carilah rezeki dengan bersedekah. Bersedekah, ditambah dengan kerajinan bersolat malam (tahajud), ALLAH akan mengampuni dosa-dosanya, doanya menjadi makbul, kesihatannya dijaga, mendapat kehidupan dari sumber yang berkat dan ditambahkan rezekinya.
            Sifat manusia, hendak mendapatkan sesuatu tetapi tidak mahu memberi dahulu sedangkan pada hakikatnya apabila kita memberi dahulu, barulah kita akan menerima. Begitu juga dengan rezeki. Kita jangan mengharapkan orang memberi sahaja  sedangkan kita tidak mahu memberi tetapi hanya mahu menerima sahaja.
            Apabila kita selalu memberi (bersedekah) ke jalan ALLAH, yakni menyenangkan orang lain, yakinlah semua orang di sekeliling kita akan mempermudahkan semua urusan kita. Jika kita menurut jalan ALLAH, yakinlah ALLAH akan membukakan jalan untuk kita, yang susah akan menjadi mudah kepada kita.
             Sesiapa yang ingin pintu rezeki sentiasa terbuka, bukalah pintu hati supaya sentiasa bersedekah. ALLAH berfirman dalam al-Quran surah as-Saba ayat 39 bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhan-KU memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA di antara hamba-hamba-NYA dan ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka ALLAH menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”
             Oleh itu, apabila diminta bersedekah, janganlah beralasan mahu menunggu rezeki lebih barulah hendak bersedekah. Bersedekahlah biarpun sedikit asalkan ikhlas dan berterusan kerana yang sedikit itu lama-lama akan menambahkan rezeki tanpa kita sedari. Orang yang sering beralasan apabila diminta bersedekah ibarat orang yang berkata, “Saya tidak akan solat selagi tidak kusyuk.”
            Bagaimanakah seseorang itu hendak kusyuk jika tidak solat? Sepatutnya mereka perlu berkata, “Saya akan solat walaupun tidak kusyuk. Mudah-mudahan dengan solat yang istiqamah itu, akhirnya saya akan kusyuk.” Begitu juga dengan sedekah. Mereka perlu berkata, “Saya akan bersedekah walaupun saya kesempitan wang. Mudah-mudahlah dengan sedekah yang sedikit ini ALLAH akan lipat-gandakan rezeki saya dan dapatlah saya perbanyakkan sedekah saya.”
            Bersedekah merupakan satu amalan terpuji kerana bersedekah itu mengikut pemahaman sebenarnya tidak tertakluk kepada wang ringgit dan harta benda malah yang tidak berharta atau pun wang ringgit masih boleh bersedekah dengan tenaga fizikal mahupun jika dengan memberikan buah fikiran.
            Mereka yang masih beralasan begitu sebenarnya telah ditakut-takutkan oleh syaitan. Syaitan berjanji jika mereka bersedekah harta akan berkurang, hidup akan susah dan terpaksa meminta-minta. Jika difikirkan dengan logik akal memang begitu tetapi jika difikirkan dengan janji ALLAH, ia menjadi sebaliknya malah akan dilipatgandakan rezekinya.