Selasa, 27 Disember 2016

AIR MATA MAHAL BAGI ORANG BERIMAN



PERNAH  suatu ketika Rasulullah SAW sedang duduk bersama-sama dengan para sahabat, tiba-tiba baginda menoleh pandangannya ke arah sekumpulan manusia seraya bersabda, “Apakah yang sedang mereka lakukan?” 

Seorang  sahabat menjawab, “Mereka sedang menggali kubur untuk mengkebumikan seorang yang telah meninggal dunia.” Sebaik mendengar jawapan itu, Baginda berganjak dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendahului para sahabatnya.

Akhirnya baginda tiba di tanah perkuburan itu dan mencangkung berhampiran kubur tersebut. Para sahabat mengambil tempat di hadapan Baginda Rasulullah agar dapat melihat apa yang akan dilakukan oleh Baginda. 

Mereka melihat Rasulullah SAW menangis sehingga air mata menitis ke pipinya kemudian berkata kepada sahabat, “Wahai saudara-saudaraku, kalian harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peristiwa seperti hari ini (kematian).” Begitulah ketakutannya kekasih ALLAH SWT yang mulia. Bagaimanakah dengan kita sebagai umatnya?

Kadang-kadang kita tidak hairan, jauh sekali untuk menitiskan air mata apabila melihat sesuatu akibat kemalangan ngeri dan sebagainya. Melihat kebiasaan seperti itu setiap hari menyebabkan tidak ada rasa takut kepada ALLAH SWT.

Berapa kalikah dalam sehari kita menangis kerana mengingati kematian? Langsung tidak ada. Sebab itulah tidak ada rasa takut. Ramai yang tidak pernah melakukan persiapan menghadapi kematian kerana berfikir, usia masih panjang lagi.

Menangis kerana takutkan ALLAH SWT akan menyelamatkan kita dari seksaan dan azab-Nya yang pedih. Sekiranya kita boleh menangis dan menitiskan air mata atas sebab-sebab lain, mengapakah kita tidak boleh menangis kerana ALLAH SWT?

Kita menangis sehingga tersedu-sedu apabila melihat peserta program realiti di kaca tv terkeluar dan tidak dapat meneruskannya. Kita menangis apabila melihat cerita Hindustan sehingga menitiskan air mata kesedihan pasangan bercinta tidak kesampaian ke jenjang pelamin. 

 Marilah kita muhasabah diri. Jangan mudah menangis atau menitiskan air mata  kepada perkara yang tidak sepatutnya. Air mata mahal harganya. Biarlah air mata yang mahal itu hanya untuk  ALLAH SWT sahaja. Tidak perlu menangis atau menitiskan air mata selain daripada itu kerana ia tidak ada nilaian langsung.


MAKSUD MENANGIS KERANA ALLAH



KITA seringkali banyak menangis. Tetapi sayang, kita selalu menangis bukan kerana ALLAH SWT tetapi kerana kecewa atau gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati. Di dalam Islam, bukan menangis yang seperti itu yang digalakkan.

Menangis kerana ALLAH SWT ialah menangis kerana takutkan-Nya. Mengapakah kita menangis sedangkan ALLAH SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Lainlah,  jika ALLAH SWT bersifat bengis dan garang, memang wajar untuk kita menangis kerana takutkan-Nya.

Menurut Sayid ‘Abdullah Bin Alwi Al-Hadad ra, berkata, menangis kerana takutkan ALLAH SWT merupakan sifat mulia dan usaha yang terpuji. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah Maryam ayat 58 bermaksud, “Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, lalu mereka tunduk sujud dan menangis.”

Mereka yang menangis kerana takutkan ALLAH SWT merupakan satu dari tujuh golongan yang akan mendapat naungan-Nya pada hari akhirat kelak. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Kelak pada hari akhirat semua mata akan menangis, kecuali mata yang pernah menangis kerana takutkan kepada ALLAH SWT dan mata yang tidak tidur pada malam hari kerana berjaga malam di jalan ALLAH SWT.” – HR At-Tirmizi.

Hadis di atas,  menunjukkan betapa manusia yang menangis kerana ALLAH SWT sangat tinggi nilai darjatnya, berbanding dengan mereka yang banyak menangis tetapi tidak mendapat apa-apa.

Rasulullah SAW menjelaskan lagi, “Tidak akan masuk neraka seorang yang menangis kerana takut ALLAH, kecuali jika air susu mampu kembali semula ke dalam tempat kelenjar susu dan unta boleh masuk ke dalam lubang jarum.” – HR Ahmad, At-Tirmizi dan Nassaie.

Walaupun sudah dijelaskan betapa mulianya darjat manusia yang menangis kerana ALLAH SWT, tetapi mengapa sangat sedikit manusia yang menangis kerana takutkan-Nya?

Perhatikanlah ramai yang menangis kerana kecewa dan takut sesama manusia. Jika kita tidak mampu menangis kerana-Nya, berusahalah untuk menangis kerana ALLAH SWT.

Tetapi, jangan sekali-kali menangis atau  berpura-pura menangis untuk mendapatkan perhatian manusia. Tangisan seperti ini tidak akan ada nilainya di sisi ALLAH SWT.      

Walaupun menangis itu fitrah manusia sejak dilahirkan sehinggalah sampai ke saat kematiannya, bukan bermakna setiap tangisan itu tidak ada nilainya. Berapa ramaikah  di antara kita yang pernah menangis kerana memikirkan terlalu banyaknya dosa yang dilakukan sedangkan amalannya amatlah sedikit?

Memang ada yang terlalu gembira kerana banyak melakukan dosa dan berbangga-bangga dengan kemaksiatannya. Tidak  ada rasa bersalah dan sedih pun kerana amalannya sangat sedikit berbanding dengan banyaknya nikmat yang ALLAH SWT berikan.

Mereka yang benar-benar beriman sahaja akan menitiskan airmata mengenangkan dosa yang sedang ditanggung dan betapa takutnya kepada ALLAH SWT. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah  al-Imran ayat 175 bermaksud, “Dan takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

Mereka yang langsung tidak takut kepada ALLAH SWT, itulah manusia yang tidak beriman. ALLAH SWT telah menjanikan syurga kepada mereka yang takutkan-Nya, malah akan ditinggikan darjatnya.

Buktinya, ALLAH SWT  menjelaskan dalam surah Ar-Rahman ayat  46 bermaksud, “Dan bagi orang-orang yang takut  akan saat menghadap Allah ada dua syurga.” Di kalangan umat manusia, selain Rasulullah SAW dan para nabi, para sahabat nabi, pata tabiin serta orang-orang yang soleh sahaja akan bercucuran airmata kerana takutnya mereka kepada ALLAH SWT.

Sekiranya Rasulullah SAW yang maksum pun takut dan bercucuran airmata takutkan ALLAH SWT, mengapakah kita liat sangat mahu menitiskan air mata kerana ALLAH?

Selasa, 31 Mei 2016

BUKU BARU: 100 AMALAN SUNNAH RASULULLAH SAW



SEBENARNYA dalam kehidupan Rasulullah SAW, terlalu banyak sunnah yang dilakukannya. Jika kita hendak melakukan kesemuanya mungkin kita tidak mampu. Walaupun kita tidak mampu untuk melakukan kesemuanya, tidak wajar pula kita meninggalkan langsung. Buku ini mengandungi 100 Amalan Sunnah Rasulullah yang sewajarnya kita mampu melakukannya.
Buku ini dibahagikan kepada 10 bab dan setiap bab merupakan amalan-amalan dalam beberapa perkara tertentu. Umpama dalam bab puasa, apakah amakan Sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan pada bulan berkenaan.

Kemudian dalam bab solat,  bab makan, bab menyambut hari raya,  bab meraikan syawal, bab tidur, bab berdoa dan sebagainya. Kita sebenarnya tidak terlepas daripada melakukan beberapa perkara dalam bab  yang disebutkan  itu. Tetapi kadang-kadang kita sendiri tidak menyedari apa yang dilakukan itu sebenarya Sunnah Rasulullah SAW.

Malah kadang-kadang kita sendiri juga tidak menyedari apa yang kita lakukan itu sebenarnya bukan Sunnah Rasulullah SAW tetapi kita melakukannya kerana orang lain melakukannya atau sudah menjadi kebiasaan sehari-hari.

Sebagai contoh, kita akan makan buah selepas kita makan nasi. Itu bukan Sunnah Rasulullah SAW kerana Rasulullah SAW akan memakan buah dahulu kemudian memakan makanan yang mengenyangkan. Baginda akan berhenti makan sebelum kenyang tetapi kita, selagi makanan boleh masuk ke dalam perut, selagi itulah kita akan menyumbat ke dalam mulut.

Menariknya di dalam buku ini, selain menerangkan amalan-amalan sunaah, diterangkan juga mengapa Rasulullah SAW melakukan sedemikian. Maksudnya sesuatu amalan yang dilakukan ada sebab musababnya.

Sebagai contoh, Rasulullah SAW tidak menggalakan tidur selepas solat Subuh kerana ada sebabnya. Di antaranya perbuatan itu akan menyebabkan seseorang menjadi malas, terhalang rezeki, mendapatkan penyakit, melemahkan syahwat dan beberapa perkara lagi.

Untuk mengelakkan tidur selepas solat subuh terutamanya pada hari tidak bekerja, kita digalakan membaca al-Quran, bekerkebun jika ada kebun, berjogging untuk menyihatkan badan, mengikuti kuliah-kuliah subuh sementara menunggu hari siang dan bersarapan.     

Antara kandungan menarik:

● Banyak bersedekah melapangkan rezeki
● Solat Tahajud: Menguji ketaatan insan
● Banyakkan beristighfar dan berselawat
● Sebarkan salam tambah kemesraan
● Berbakti kepada anak-anak yatim
● Makan jangan sampai kenyang
● Mengutip makanan yang jatuh
● Berdoa ketika angin bertiup
● Mentahnik bayi baru lahir
● Tidak mencela makanan


Penulis: MUHD NASRUDDIN DASUKI
Penerbit: Karya Bestari, GRUP BUKU KARANGKRAF
HARGA : RM 30.00