Khamis, 11 Jun 2015

BIAR REZEKI SEMPIT ASALKAN HALAL



“MENGAPA rezeki awak murah sangat hah? Rezeki saya, ya ALLAH, sempitnya! Apa bezanya awak dengan saya?  Sama saja, tapi saya tengok rezeki awak murah sangat berbanding saya, kenapa ya?”
Mungkin kata-kata itu kita pernah dengar atau kita sendiri mengalaminya. Hakikatnya rezeki manusia di dunia tidak sama. Tujuannya supaya manusia saling memanfaatnya di antara satu dengan lain. Bayangkan jika semua manusia rezekinya sama sahaja, bagaimanakah yang senang hendak membantu yang susah?  Sebab itulah diwujudkan rezeki supaya ada yang susah dan ada yang senang. 

Sesiapa yang rajin berusaha mencari rezeki, sudah tentulah hidupnya senang. Manakala yang malas bekerja, sudah tentulah rezekinya sempit. Tetapi ada orang yang tidak boleh menerima keadaan ini dan beranggapan ALLAH sengaja mahu menyusahkan hidupnya. Pada hakikatnya  ALLAH menyayangi semua hamba-NYA. Cuma manusia yang tidak tahu menguruskan rezeki akan berasakan rezekinya sempit.


Sama ada rezeki itu luas atau sempit, apa yang penting di sisi ALLAH ialah status rezeki itu halal atau tidak. Tidak ada gunanya rezeki yang melimpah-ruah jika diperolehi dengan cara yang haram. Sebaik-baikya biarlah rezeki itu sempit asalkan halal  kerana jika kita bersyukur dengan yang sedikit, ALLAH akan menambahkan lagi nikmat-NYA.

Oleh kerana ada di kalangan manusia yang berasakan rezekinya sempit, mereka mengambil jalan mudah dengan melakukan kerja-kerja haram asalkan mendapat rezeki. Dalam Islam, kemiskinan atau kesempitan rezeki bukan alasan untuk menghalalkan perbuatan yang salah. Rasa yakin terhadap ALLAH dan nikmat kesyukuran amat perlu bagi setiap manusia dengan mempergunakan kekuatan tenaga dan akal fikiran untuk mencari rezeki.

Apa yang penting apabila berhadapan dengan kesempitan rezeki jangan mencari jalan yang salah untuk mendapatkan rezeki. Pertolongan ALLAH akan datang dari segenap penjuru bagi mereka yang tidak mudah putus asa. Ini dijelaskan dalam surah Yusuf ayat 87 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat dan pertolongan ALLAH. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan ALLAH, melainkan kaum yang kafir.”   

Islam tidak melarang umatnya mencari harta tetapi melarang keras mengumpul harta dengan jalan yang salah. Harta atau rezeki yang tidak halal, tidak akan ada keberkatannya. Harta yang tidak ada keberkatannya akan menjadikan pemiliknya menerima musibah. Ini yang dinamakan rezeki membawa musibah bukan membawa kepada ketenangan dan kebahagiaan. 

Biarlah rezeki sempit tetapi ia membawa keberkatan, ia akan memberikan kebahagiaan dan ketenangan pemiliknya selain ALLAH akan  menambahkan lagi rezekinya, jika mereka bersyukur dengan kesempitan itu. Sebaliknya jangan mudah mengambil jalan singkat dengan melipatgandakan rezeki walaupun dengan jalan yang ditegah ALLAH. 

Walaupun setiap manusia sudah ditentukan rezekinya, itu bukan bermakna kita perlu berhenti berusaha dan menunggu rezeki datang bergolek sebagaimana yang dijanjikan ALLAH. Rezeki perlu diperolehi dengan cara berusaha.

Di dalam al-Quran sendiri banyak ayat-ayat al-Quran yang meminta supaya mencari rezeki yang halal. Dalam Islam,  bekerja dan mencari nrezeki merupakan satu tanggungjawab dan ibadah manakala mencari rezeki yang halal adalah fardu ain. Mencari rezeki yang halal merupakan tuntutan agama. 

'Bagaimanapun kita akan tertanya-tanya, bagaimanakah ada orang yang hidup mewah dan senang lenang walaupun rezeki yang diperolehi dengan cara yang tidak diredai ALLAH seperti rasuah, penipuan dan seumpamanya? Sedangkan ada orang yang mencari rezeki yang halal tetapi cara hidupnya biasa-biasa sahaja.

ALLAH mengurniakan rezeki kepada hamba-hamba-NYA adalah rezeki yang baik-baik, diperolehi dengan cara baik dan digunakan dengan cara yang baik juga. Rezeki yang baik wajar  dibelanjakan dengan cara yang mengundang kepada keberkatan. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud, “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”               

Ayat di atas menjelaskan, bukan sahaja digalakkan mencari rezeki dengan cara yang halal, malah rezeki itu biarlah halal dan yang terbaik. Contohnya ada makanan yang halal tetapi belum tentu ia baik kerana ia boleh menjejaskan kesihatan jika diambil secara berlebihan. Apabila kesihatan terjamin, ia akan memudahkan manusia menjalani ibadah dan mencari rezeki dengan tenaga dan akal fikiran yang sempurna.

Seandainya memperolehi rezeki dengan cara yang haram, ia akan menjadi darah daging dan sudah pasti akan menyulit dan meliatkan manusia itu sendiri melakukan amal ibadah terhadap ALLAH. Apabila mereka sudah melanggar hukum ALLAH, sudah tentulah amat sukar untuk melakukan ibadah-ibadah lain  kerana hasil dari rezeki yang haram, tidak membawa keberkatan.

Sebaik-baiknya apabila mencari rezeki yang baik biarlah bertujuan dan niat yang baik, yakni jika memiliki rezeki yang berlebihan, tujuannya untuk membantu mereka yang kesusahan. Yakinlah jika meniatkan mencari rezeki bertujuan untuk menolong orang yang susah, ALLAH tidak akan menyempitkan laluan rezekinya.  Malah bukan mustahil, jika pada mulanya rezeki sempit,  ALLAH akan membuka perlahan-lahan sehingga pintu rezekinya menjadi luas.

TAMBAHKAN REZEKI YANG SECUPAK



SIAPAKAH di antara kita yang tahu, sebanyak mana ALLAH telah tentukan rezeki untuk kita? Rahsia ALLAH tidak ada sesiapa yang tahu kerana ALLAH mahu kita terus berusaha mendapatkan rezeki. Jika kita tidak tahu, mengapa harus berhenti berusaha mencari rezeki? Jika  ALLAH sudah menentukan rezeki kita, apakah kita tahu rezeki kita secupak atau segantang? 

Bagaimanakah kita hendak tahu, rezeki kita yang sudah disediakan hanya secupak atau segantang? Apakah apabila kita sudah berusaha dan rezeki tidak bertambah, rezeki kita hanya setakat secupak sahaja atau apabila rezeki kita melimpah ruah, rezeki kita sudah cukup segantang? Sebenarnya kita tidak perlu berhenti berusaha kerana kita sendiri tidak tahu rezeki kita secupak atau segantang.

Kita juga tidak boleh beranggapan rezeki yang secupak tidak mungkin menjadi segantang. Bayangkan jika benih padi yang secupak, dijadikan beras dan dimasak, ia akan tetap segantang. Tetapi jika benih padi yang secupak kemudian ditanam benih itu, bukankah ia akan menjadi bergantang-gantang? Di mana benarnya rezeki secupak tidak boleh jadi segantang?

Kita sememangnya diwajibkan bersyukur dengan nikmat yang ALLAH berikan dan ALLAH sendiri sudah berjanji, sesiapa yang bersyukur ALLAH akan tambah lagi nikmatnya, manakala yang kufur azab ALLAH sangatlah sedih. Jika kita bersyukur dengan rezeki yang secupak, mustahilkah ALLAH akan menambahkan rezeki menjadi segantang lagi?

Hanya orang yang tidak bersyukur dengan rezeki secupak, ALLAH tidak akan menambahkan menjadi segantang. Untuk itu tidak perlu risau, rezeki yang sedikit mungkin akan bertambah jika kita bersyukur dan berusaha supaya bertambah banyak.

Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya, “Janganlah kamu merasa, bahawa rezekimu terlambat datangnya, kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba akan mati, hingga telah datang kepadanya rezeki terakhir (yang telah ditentukan) untuknya, maka tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki, iaitu dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram.” – Hadis direkodkan oleh  Ibnu Majah, Abdurrazzaq, Ibnu Hibban, dan al-Hakim.

Bukankah doa, usaha, ikhtiar dan tawakal itu akan menambahkan rezeki yang ada, mengapa pula mesti beranggapan rezeki yang ada tidak akan bertambah? Oleh kerana kita sendiri tidak tahu secupak atau segantang rezeki yang telah ALLAH tentukan, selagi masih bernyawa teruskan berusaha menambahkan rezeki dan jangan menganggap hanya itulah rezeki yang ada. Fahaman ini perlu diperbetulkan.

Sebagai orang yang beriman,  kita tidak digalakkan beranggapan seperti yang dinyatakan itu.  Sebaliknya kita digalakkan supaya berusaha menggali rezeki semampunya selagi hayat dikandung badan. Bahkah dalam hadis ada menyebut, meskipun kita tahu esok hari kiamat, jika ada biji benih, di tangan, tanamlah. Bukankah hadis ini meminta supaya kita terus berusaha meskipun tempoh kehidupan akan berakhir?

Kita perlu sedar, rezeki secupak yang telah kita perolehi itu ke arah manakah kita belanjakan? Sekiranya rezeki secupak digunakan ke jalan yang dimurkai ALLAH, sememangnyya ia tidak akan menjadi segantang. Tetapi jika rezeki secupak digunakan ke jalan ALLAH, bukan mustahil ALLAH akan menambah menjadi segantang.

Di dalam satu kisah, diceritakan Abu Talhah dan isterinya Ummu Sulaim mendapat khabar Rasulullah SAW sedang kelaparan dan mereka bercadang menjemput Rasulullah SAW makan di rumahnya. Kebetulan di rumahnya  ketika itu hanya sepotong roti, cukup untuk makan Rasulullah SAW seorang. Lalu Abu Talhah membungkus sepotong roti lalu dibawa kepada Rasulullah SAW yang ketika itu  sedang bersama-sama para sahabat di masjid.

Bagaimanapun sebelum sempat diberikan kepada Rasululah SAW, Rasululah SAW sudah mengetahui niatnya.  Lalu Rasulullah SAW menyatakan hasrat untuk bertandang sahaja ke rumah Abu Talhah. Abu Talhah terkejut dan memberitahu isterinya. Apabila Rasululah SAW dan para sahabatnya datang, Abu Talhah berterus terang hanya memiliki sepotong roti. Bagaimanapun Rasulullah SAW mencadangkan supaya sepotong roit itu dicampur dengan air dan perasa lalu dihidangkan kepada RASULULAH SAW dan  para sahabatnya. Sambil membaca ‘Masya-Allah’ Rasulullah menjemput para sahabatnya makan.

Pada mulanya 10 orang makan tetapi masih berbaki lagi roti itu dan Rasulullah SAW menjemput 10 orang lagi dan masih berbaki lagi sehinggalah  70 orang makan. Semuanya  berasa kenyang. Bayangkanlah bagaimana roti yang sekeping itu boleh mengenyangkan seramai 70 orang? Ini bermakna, rezeki yang sedikit mampu memberikan keberkatan kepada ramai orang. Masya-ALLAH. 

Rezeki secupak yang kita terima tidak akan jadi segantang merupakan cabaran kepada kita.  Memanglah rezeki secupak, tidak akan menjadi  segantang jika kita tidak mahu berusaha  menjadikannya bergantang-gantang. Malah jika diusahakan bersungguh-sungguh, bukan sahaja segantang tetapi mampu  menjadi berguni-guni pula dan tidak mustahil menjadi sawah ladang.

Rezeki secupak tidak menjadi segantang meminta kita supaya terus berusaha dan jangan hanya menerima sahaja rezeki yang secupak. Bagaimanapun bergantung kepada manusia itu sendiri, jika yang secupak itu tidak mencukupi, mereka berusaha menambahkan menjadi segantang. Bukankah sentiasa berusaha dan jangan cepat putus asa itu digalakkan di dalam Islam?

UJIAN KETIKA MENCARI REZEKI



TIDAK ada orang yang tidak diuji ketika mencari rezeki. Semua makhluk yang mencari rezeki di dunia ini akan diuji. Ujian inilah yang menjadi penanda aras sama seseorang itu berjaya dalam usahanya  atau gagal. Berjaya atau gagal dalam ujian ini  datangnya  dalam pelbagai bentuk. Ada orang diuji dengan kehilangan jawatan, tempat bekerja menutup operasinya, perniagaan yang tidak menjadi, dibuang kerja dan bermacam-macam ujian lagi.
Apabila kita dilimpahi rezeki, jangan menganggap ia satu rezeki yang tidak disangka-sangka. Manusia yang dikurniai  rezeki melimpah-ruah sebenarnya sedang diuji ALLAH. Mereka sedang diuji bagaimana menbelanjakan hartanya, sama digunakan ke jalan ALLAH ataupun ke jalan kemaksiatan.

Jika mereka tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan, yakinlah ALLAH akan menarik rezeki itu perlahan-lahan sehingga mereka jatuh miskin. Ketika itu barulah mereka sedar, mereka tidak bersyukur dan membelanjakan rezeki ke jalan yang tidak diredai ALLAH tetapi, sudah terlambat setelah semuanya hartanya habis.

Begitu juga dengan mereka yang hidup dilanda kemiskinan, kesusahan dan kelaparan serta ketakutan. Mereka diuji dengan kemiskinan supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ALLAH berikan dan berusaha meningkatkan taraf kehidupan yang lebih baik. Apabila mereka mengeluh, merintih dan menyalahkan ALLAH yang menyemiptkan rezekinya, yakinlah hidup mereka tidak akan berubah.

Ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa kesusahan mereka berkata: Inna lillahi wainnaa ilaihi rajiun.”(Sesungguhnya  kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali). Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-NYA dan mereka itulah orang-orang yang mendapat pertunjuk hidayah-NYA.”   

Berapa ramai di kalangan kita yang bersabar apabila diberikan ujian ketika mencari rezeki?  Bayangkanlah jika ikan-ikan di dalam kolam yang kita ternak mati terkena racun atau terkena banjir. Bayangkan tanam-tanaman seperti padi atau tanaman lain musnah kerana serangan penyakit. Bayangkan bagamaina jika rumah kita dilanda banjir atau tempat kita bekerja musnah dalam kebakaran. Bayangkan bagaimana perniagaan yang kita usahakan akhirnya mengalami kerugian dan terpaksa tutup dan banyak lagi ujian yang bertimpa-timpa kepada mereka yang mencari rezeki.

Semua ujian itu menuntut kesabaran. Apabila kita bersabar, yakinlah  dengan janji ALLAH. Di sebalik ujian itu ALLAH akan menggantikannya dengan yang lebih baik, hanya ALLAH sahaja yang tahu. Tentulah ada sebab mengapa ALLAH menurunkan ujian kepada mereka yang sedang mencari rezeki. Ini tidak terkecuali kepada makhluk-makluk yang lain seperti burung-burung, semut dan umpamanya.

Burung-burung seringkali dikaitkan dengan pencarian rezeki. Kenapa burung? Bukan haiwan lain?  Burung satu model yang unik untuk dijadikan perbandingan kepada manusia. Kita belum bangun subuh, burung-burung sudah berkicau di keliling rumah memanggil burung-burung lain supaya terbang mencari rezeki awal pagi dan bukan waktu matahari telah meninggi.      

Pagi-pagi lagi burung-burung akan keluar dari sarang, terbang ke merata pelosok mencari rezeki dan akan bertemu dengan pelbagai suasana, hujan, panas, petir, ribut dan sebagainya. Semua itu dilalui dengan tabah demi untuk mencari rezeki bagi mengisi perutnya.

Burung-burung yakin, setap kali keluar mencari rezeki, ALLAH sudah telah menyediakan. Hanya burunglah yang perlu mendapatkannya. Burung-burung akan mengutip rezeki di mana sahaja dan akan pulang dengan perut kenyang. Bagaimana burung boleh tahu di mana ada rezeki atau tidak, bukan seperti kita yang setiap hari akan ke tempat yang sama (tempat bekerja)?     

ALLAH telah mengurniakan naluri kepada burung untuk menghidu di mana rezekinya sedang menanti, berbanding manusia yang sememangnya tahu di mana tempat bekerja, di situlah manusia akan tertumpu. Burung bukan mencari rezeki untuk dirinya sahaja malah berulang kali pulang ke sarang menghantar makanan kepada anak-anaknya.

Meskipun adakalanya burung dianggap sebagai perosak buah-buahan tetapi kebaikan ada pada burung, di mana burung mampu untuk membiakkan biji benih dan menumbuhkan pokok-pokok baru. Manakala bagi penamam pokok-pokok yang buahnya di makan burung, ia merupakan satu sedekah dan penanamnya juga mendapat pahala kerana memberi rezeki kepada burung.

Burung-burung juga seperti manusia, tidak terlepas daripada ujian ketika mencari rezeki. Adakalanya burung-burung sedang mencari rezeki tiba-tiba termasuk dalam perangkap pemikat burung. Burung dipelihara dan dikurung di dalam sangkar. Adakalanya juga budak-budak nakal melastik burung yang sedang mencari rezeki, mati burung itu.

Manakala anak-anak yang ditinggalkan dalam sarang, adakalanya pokok tempat membuat sarang ditebang atau terbakar, mati juga anak-anak burung itu. Apabila burung pulang, hanya asap berkepul-kepul yang tinggal. Namun bagaimanakah kita hendak mengerti kesabaran burung berhadapan dengan ujian ini? 

Hanya ALLAH yang lebih mengetahui.

Jumaat, 22 Mei 2015

REZEKI TIDAK DATANG BERGOLEK



KEBANYAKAN rezeki mesti dicari. Rezeki tidak akan datang bergolek jika tidak ada sesiapa yang menggoleknya. ALLAH sudah mengingatkan umatnya dalam surah ar-Ra’adu ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Jika dikaitkan dengan rezeki, manusia itu sendiri yang mesti berusaha untuk mendapatkannya bukannya ALLAH melonggokkan rezeki di hadapan kita. Perhatikan, burung-burung pun mesti keluar dari sarangnya untuk memenuhkan perutnya dengan terbang mencari rezeki, tetapi kenapa manusia yang mempunyai akal dan fikiran masih duduk termenung mengharapkan rezeki datang bergolek?

Manusia mesti mengubah sikapnya daripada sifat malas kepada sifat rajin untuk menambahkan rezeki. Jika manusia itu sendiri enggan mengubahnya, sampai bila-bila pun mereka tidak akan berubah dan rezeki juga tidak akan bertambah. Hanya orang yang bersabar dengan usahanya itu akhirnya akan memberikan hasil.

Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan berasa kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa  serta hasil tanaman. Dan berilah khabar kepada orang-orang yang sabar.”

Lazimnya apabila manusia tidak diuji dengan rasa takut, kelaparan dan kehilangan harta benda, manusia tidak akan mahu merubah hidupnya kerana berasakan apa yang ada padanya hanyalah itulah rezeki untuknya sedangkan ALLAH meminta supaya kita terus berusaha.  Dalam surah al-Baqarah ayat 245, ALLAH menegaskan lagi bermaksud, “ALLAH jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezseki) dan kepada-NYAlah kamu semua dikembalikan.”

Ayat ini menjelaskan sesiapa yang berasakan rezekinya sempit, ini berpunca daripada dirinya yang tidak mahu berusaha manakala apabila dia berusaha meluaskan rezekinya, ALLAH akan sentiasa  meluaskan rezekinya.

Kebanyakan orang menganggap apabila berbicara mengenai rezeki, ia akan berkait rapat dengan harta benda atau wang ringgit sedangkan apabila kita amat-amati rezeki berupa harta benda dan wang ringgit hanyalah sebahagian kecil sahaja dalam hidup ini.  Untuk itu apabila ALLAH memberikan rezeki dalam bentuk lain selain harta dan wang ringgit, jarang ada manusia mahu mensyukuri.

Dalam fikiran mereka sudah tertanam, apabila disebut rezeki sahaja akan terbayanglah wang ringgit dan harta benda, sedangkan rezeki dalam bentuk nikmat yang lain seperti angin, udara, hujan, siang dan malam dianggap bukan rezeki. Bayangkanlah jika panas atau hujan berpanjangan, bagaimanakah kita mahu mendapatkan rezeki?  Tumbuh-tumbuhan tidak akan boleh hidup dalam keadaan hujan berterusan, begitu juga dengan panas berpanjangan.

Oleh itu kita perlu sedar, dalam hidup kita ada dua rezeki yang perlu diketahui iaitu rezeki umum dan rezeki khusus.

Rezeki umum

Sama ada manusia itu kafir ataupun beriman kepada ALLAH, ALLAH tetap akan memberikannya rezeki seperti kesihatan, rumah, kenderaan. Harta benda, pekerjaan dan sebagainya jika mereka mahu berusaha mendapatkannya. Walaupun rezeki seperti ini dikurniakan kepada ramai manusia, bukan bermakna mereka beriman kepada ALLAH. Contohnya ramai juga orang kafir yang tidak beriman, semuanya mendapat rezeki yang ALLAH berikan.
       
Sesiapa yang diberikan lebihan rezeki dan dikurangkan rezeki, bermakna ALLAH menyanjung atau menghinakan mereka. Hanya manusia yang diberikan lebihan rezeki, akan berkata ALLAH telah memuliakannya dengan kesenangan. Manakala yang disempitkan rezeki akan berkata, ALLAH telah menghinakannya.
        
Mereka tidak sedar bahawa kesenangan atau kesempitan hidup itu sebenarnya satu ujian. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Fajr ayat 15-16 yang bermaksud, “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakannya dan diberinya kesenangan maka dia akan berkata, “Tuhanku telah memuliakanku.” Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia akan berkata, “Tuhanku menghinakanku.”

 Rezeki khusus

Rezeki seperti ini hanya ALLAH berikan kepada mereka yang dicintai sahaja. Hanya orang mukmin sahaja yang layak mendapat rezeki seperti ini.  Ini dijelaskan oleh ALLAH dalam surah At-Talaq ayat 11 yang bermaksud, “Dan barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan amal soleh nescaya ALLAH akan memasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalam selama-lamanya. Sesungguhnya ALLAH memberikan rezeki yang baik kepadanya.”
         
Orang-orang kafir tidak akan sekali-kali menikmati rezeki khusus ini kerana ia merupakan anugerah kepada orang mukmin yang sentiasa beriman.
         
ALLAH menegaskan dalam surah Sad ayat 49-54 yang bermaksud, “Ini adalah kehormatan bagi mereka dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar disediakan tempat kembali yang baik iaitu syurga ‘Add yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka, di dalamnya mereka bersandar (di pelamin) sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu. Dan di samping mereka ada bidadari-bidadari yang redup pandangannya  dan sebaya umurnya, inilah apa yang dijanjikan kepadamu pada hari perhitungan. Sesungguhnya ia adalah rezeki dari Kami yang tiada kehabisan.”