Selasa, 20 Januari 2015

ELAK DARIPADA MELUKAI HATI ORANG LAIN



SAMA ada disedari atau tidak, kita sebenarnya banyak melukakan atau menyakiti hati orang lain dengan pelbagai cara seperti dalam pergaulan, ketika sedang berurusan dan sebagainya sehinggakan orang terasa dilukai hatinya   terguris perasaannya.

Apabila kita menyedari telah melukai hati orang lain dengan tidak sengaja, segeralah memohon maaf. Tetapi jika kita sengaja mahu melukai hati orang lain, ingatlah perbuatan itu akan menyebabkan iman kita tidak sempurna. Walaupun di dalam perkara-perkara lain, kita mampu menjaga perlakuan kita, anggaplah  iman kita masih belum sempurna dan perlu diperbaiki.

Orang yang sempurna imannya akan sentiasa memaafkan orang lain dan lebih baik mendiamkan diri daripada menyakiti hati orang lain. Apabila kita tidak menyakiti hati orang lain, percayalah orang lain tidak akan menyakiti hati kita. Tetapi jika orang lain menyakiti hati kita, bermakna hati orang yang menyakiti kita itu bermasalah.
Sebuah hadis  diriwayatkan oleh Bukhari, “Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH, maka hendaklah ia berkata baik atau diam.” 

Di dalam kehidupan kita sehari, kita akan berhadapan dengan pelbagai ragam dan masalah manusia. Kadang-kadang kita tidak dapat lari daripada terpaksa menyakiti hati orang lain apabila hati kita disakiti.
Berpandukan hadis di atas, kita disarankan supaya berkata baik dan jika tidak mampu berbuat demikian, lebih baik berdiam diri sahaja kerana itu lebih baik untuk mengelakkan daripada berbuat dosa. 
Apabila memperkatakan mengenai melukai atau menyakiti hati orang lain, ia sebenarnya ada hubungkait dengan peranan lidah. Oleh kerana hanya lidah yang boleh berkata-kata, apa juga punca hati seseorang terluka atau disakiti, ia bertitik mula dari lidah. Kata orang, ketajaman lidah  untuk menyakitkan hati  itu lebih bisa daripada ketajaman mata pedang. Ketajaman lidah tidak perlu diasah tetapi ia bermula daripada hati yang kotor.
 Ramai orang menerima kesan buruk kerana tidak mampu menjaga lidahnya. Tetapi ramai juga orang yang menjadi mulia kerana mampu mengawal lidahnya daripada menyakitkan hati orang. Orang yang seumpama ini mampu mengawal imannya daripada daripada dirosakkan oleh hatinya.

Banyak contoh dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari. Akibat tidak mampu mengawal lidah, berlaku pertengkaran, pembunuhan dan sebagainya. Itulah yang dikatakan bahaya lidah lebih bisa daripada mata pedang.
Mungkin ramai di antara kita tidak sedar  kerana lidahlah ramai manusia terlepas peluang memasuki syurga. Kisah yang diceritakan ini sudah tentu menjadi ikhtibar untuk direnungkan.
Pada satu ketika Saidina Umar al-Khatab mengunjungi Saidina Abu Bakar. Ketika Saidina Umar sampai di rumah Saidina Abu Bakar, dia melihat Abu Bakar sedang menarik-narik lidah dengan tangannya.
Saidina Umar terkejut dan hairan lalu bertanya, “Apakah yang sedang kamu lakukan wahai Abu Bakar? Semoga ALLAH mengampuni kesalahanmu.”
Saidina Abu Bakar segera menjawab, katanya, “Inilah yang akan  menjadi punca aku ke neraka.”  Abu Bakar merujuk kepada lidahnya.
Sehubungan itulah Rasulullah s.a.w selalu berpesan kepada umatnya supaya sentiasa menjaga perkataannya (lidah)   dengan tidak menuturkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati orang lain.
Bukhari merekodkan dalam satu hadis, katanya, “Barangsiapa yang dapat menjamin untukku apa yang ada  di antara dua dagunya (lisan) dan apa yang ada di antara kedua kakinya (kemaluan) maka aku menjamin syurga untuknya.”
Hadis ini memberi maksud, selain kemaluan, lidah juga merupakan satu penyebab yang boleh seseorang terjebak dengan kebinasaan.    Lidah walaupun lembut, tidak bertulang tetapi di dalam kelembutan itu terkandung rahsia tersendiri. Lidah boleh menyebabkan masuk ke syurga jika bijaksana menggunakannya  dan boleh juga  menyebabkan manusia gagal memasukinya   jika di salahguna.
ALLAH menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Diberinya lidah supaya memberi manfaat kepada orang lain dengan bertutur yang baik-baik tetapi manusia sering menyalahgunakan dengan mengumpat, memfitnah, mengeji, menyakiti hati orang dan banyak lagi perbuatan yang boleh menyakitkan hati orang lain.
Lidah umpama sebilah pedang untuk mempertahankan diri dari serangan musuh tetapi jika tidak dimanfaat dengan sebaik-baiknya, pedang digunakan untuk memancung sesiapa sahaja tanpa memikirkan sama ada wajar atau tidak. Jika digunakan tanpa pertimbangan akal, sudah tentu ia akan membahayakan keselamatan sesiapa sahaja.
Mengapakah lidah diumpamakan seperti tajamnya sebilah pedang tidak kepada senjata tajam yang lain?  Jika tajam pedang mampu membunuh dengan melukai dan memancutkan darah tetapi lidah mampu membunuh tanpa melukai kulit tubuh. Ia cukup hanya dilakukan dengan lontaran kata-kata yang mengguris perasaan. Apabila hati sudah terguris, ia akan berhubungkait dengan tindakan-tindakan di luar batasan.
Imam Al-Ghazali dalam buku  Ihya’ Ulummidin menegaskan, bahaya kata-kata atau lisan sebagai racun pertama hati yang akan menyebabkan manusia semakin jauh dari cahaya hidayah. Akibat tidak menjaga lidah, manusia akan berkata apa sahaja tanpa memikirkan apakah yang dituturkan itu bermanfaat kepada orang lain atau tidak.    
Lidah memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian seseorang mukmin. Ia ibarat cermin yang akan mempamerkan indek prestasi iman seseorang. Bagaimanapun ia banyak bergantung kepada hati seseorang, jika hatinya suci bersih sudah tentu indeks prestasi keimanan seseorang itu pada graf yang tinggi. 
Manakala jika indek prestasi seseorang itu pada graf yang rendah sudah tentulah keimanannya masih boleh dipersoalkan. Ini ditegaskan sendiri oleh Rasulullah s.a.w melalui sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad. Katanya, “Tidak akan lurus iman seorang hamba sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus lisannya. Dan seseorang tidak akan masuk syurga apabila tetangganya tidak merasa aman dari kejahatan lisannya.”
Daripada kejahilan seseorang yang tidak mampu memelihara lidahnya daripada menuturkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati orang lain, akan menyebabkan terjadinya pelbagai jenis penyakit. Penyakit ini pula apabila tidak dikawal boleh menyebabkan seseorang menjadi kufur. Sebagai contoh, seseorang melafazkan kata-kata seperti mengatakan, ada tuhan lain selain ALLAH. Jika ia dilakukan secara sedar, sudah tentu ia menjadi kufur atau keluar dari Islam.
Akhlak manusia beriman dan manusia yang tidak beriman dapat dilihat daripada percakapannya. Mereka yang beriman lazimnya akan  bercakap perkara-perkara yang membawa kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain seperti berzikir dan mengingati ALLAH. Manakala orang yang tidak beriman, tidak mampu mengawal lidahnya. Mereka akan menyakiti hati orang lain dengan mengumpat, memfitnah dan sebagainya.
Dalam sebuah hadis daripada Imam Tirmizi, Raslulullah s.a.w berkata, “Sesungguhnya ALLAH benci kepada orang yang buruk budi pekertinya serta kotor lidahnya."       

Kotor lidahnya di sini bermaksud, suka menyakiti hati orang, menuturkan kata-kata yang tidak baik, mengumpat, mencaci, mengeji memfitnah dan sebagainya malah pepatah ada menyebut, kerana mulut badan binasa. Berpunca daripada keceluparan mulut akan mengakibatkan tubuh yang tidak bersalah pula  menerima akibatnya.

Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin menyatakan lagi, "Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula jika gagal diurus dengan baik. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia." 

Lidah yang tidak dikawal akan menjadikan pemiliknya memiliki  jumlah dosa yang tidak terkira jumlahnya kerana lidahlah adalah punca segala kejahatan.

Rasulullah s.a.w sekali lagi mengingatkan umatnya betapa bahayanya jika fungsi mulut disalah guna. Katanya, “Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya (mulutnya)?” Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w  sengaja menyoal supaya kita semua berfikir yang mana baik dan yang mana buruk.

Pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w,  diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim, para sahabat bertanya mengenai seorang wanita berpuasa di siang hari dan bersolat di tengah malam, tetapi sering menyakiti hati jirannya.
Rasulullah s.a.w menjawab, “Bahawa tiada kebaikan padanya, sesungguhnya dia akan masuk neraka.”

Jelaslah di sini, semua amalan kebaikan yang telah dilakukan secara otomatik akan terhapus hanya kerana menyakiti hati orang lain. Oleh itu fikirkan semula apakah perbuatan menyakiti hati orang lain hanya kerana mencari kepuasan sedangkan pada hakikatnya segala amal perbuatan baik yang kita lakukan sebelum terhapus begitu sahaja.

Sesetengah kita mungkin beranggapan apabila disebut menyakiti hati orang lain, ia hanya tertakluk kepada percakapan sahaja tetapi pada zaman ini pelbagai cara dilakukan untuk menyakiti hati orang lain. Ia mungkin boleh dilakukan dengan gaya atau lenggang lengkok, dengan isyarat tangan, mulut, muka dan sebagainya malah melalui tulisan juga mampu menyakiti hati orang.

Dengan adanya teknologi canggih, perbuatan menyakiti hati orang boleh dilakukan melalui sms, email, facebook, blog, twitter, surat layang dan seumpamanya. Sebagai contoh ketika kita menulis dalam laman facebook, kita tidak sedar apa yang kita tulis telah mengguris hati orang lain walaupun mungkin tujuan kita hanya ingin bergurau.

Kita  juga kadang-kadang menulis di dalam blog bertujuan untuk menyakiti hati orang lain dan perbuatan ini semakin kerap pula berlaku seperti  menghina, mencaci, memfitnah dan sebagainya seolah-olah sudah menjadi perkara biasa.

Jadikan iktibar apa yang berlaku di sekeliling  untuk mendidik akhlak kita supaya tidak menggunakan kemudahan ini  bertujuan menyakiti hati orang lain. Kita bersolat dan melakukan amal perbuatan yang lain tetapi tanpa sedar amalan kita telah dikikis oleh kita sendiri yang gemar menyakiti hati orang lain.

Kita jangan terlalu mudah mengaku keimanan  kita sudah sempurna sedangkan kita masih  melakukan perbuatan yang dianggap remeh ini kerana ia  mempunyai kesan besar dalam menghakis amalan kita? Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Sesungguhnya amal yang paling dicintai oleh ALLAH adalah membahagiakan orang-orang mukmin.”

Sebagai manusia kita sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, tetapi yang sebaik-baiknya apabila melakukan kesilapan, bertaubatlah segera. Semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita.



Tiada ulasan: