Jumaat, 20 Januari 2017

MUDAHNYA MENJADI CALUN SYURGA




SEMUA yang hidup di dunia ini sangat berharap ingin menjadi penghuni syurga. Anehnya, ada yang berkata; mahu ke syurga itu mudah. Bahkan ada yang menolak dengan kata-kata; mahu ke syurga itu sukar!

Eh, mana satu yang benar?

Kedua-dua kenyataan ini sememangnya tidak boleh dinafikan. Umpama seorang pelajar yang mahu lulus peperiksaan; akan menjadi mudah apabila dia berusaha dan tekun belajar bagi memastikan mendapat kejayaan.

Tetapi sangat sukar bagi yang malas belajar dan tidak mahu berusaha tetapi hanya bergantung kepada nasib. Begitulah perumpamaannya sekiranya menganggap mudah atau sukar untuk memasuki syurga.

Direkodkan daripada Abu Hurairah, seorang Arab Badwi dari pendalaman bertemu Rasulullah SAW kemudian dia berkata, “Wahai Rasulullah, ajarkan kepada saya perbuatan yang sekiranya saya melaksanakannya, akan membawa diri saya ke syurga.” Rasulullah SAW kemudian berkata, “Beribadah kepada ALLAH SWT, dirikan solat wajib, bayarlah zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan.” Orang Arab Badwi itu berkata, “Demi ALLAH SWT yang menguasai diri saya, saya tidak akan mengerjakan lebih daripada ibadat-ibadat itu.”Semasa orang Arab Badwi itu berlalu pergi, Rasulullah SAW berkata, “Siapa yang ingin melihat penghuni syurga, lihat orang itu.”- HR  Bukhari.

Syurga ini indah sehingga tiada akal yang mampu mengungkapnya. Bahkan tiada mata yang pernah melihat isinya, tiada telinga yang pernah mendengar tentangnya, hingga langsung tidak terdetik dalam hati sekalipun. 

Mintalah apa sahaja yang kita mahu kerana ia tiada hadnya, dan inilah hasil amalan yang kita lakukan dahulu ketika berada di dunia dahulu. Sebuah tuaian yang keuntungannya berkali lipat!

Mahu bidadari? Nah, di depanmu wanita muda belia yang kulitnya putih tanpa sebarang cela dan bermata jeli.

Mahu cuba minuman keras? Nah silakan! Bahkan kita tidak akan berasa pening kecuali kesedapan yang sukar diluah. Disediakan bukan hanya segelas tetapi beberapa batang anak sungai yang dari situ mengalir pelbagai air yang kita dambakan.

Mahu melihat wajah Allah SWT? Ya, ketika itu kita berhak menikmatinya dan itulah nikmat paling hebat buat penghuni syurga.

Ini baru sedikit nikmat syurga yang diceritakan, belum lagi tentang pintu syurga yang bermacam-macam jenis yang disediakan khusus bagi penghuni di dalamnya.

Masih belum terujakah untuk kita membawa diri ke syurga?

“Saya mahu berubah tapi saya malu. Rasa susah dan tidak sanggup tinggalkan dunia yang selama ini menjadi pegangan. Muzik, couple dan tinggal solat, sudah sebati dengan diri saya. Bagaimana mahu ke syurga?”



Sukarkah untuk ke syurga?

-      Tidak, jika kita mujahadah untuk hijrah daripada kejahatan kepada kebaikan. Kerana tidak ramai yang tahu bahawa hijrah itu bukan menyusahkan bahkan memudahkan. Walaupun hakikatnya mujahadah itu pahit tetapi syurga itu manis.
-          Sukar, andai hatinya tidak lagi bersama Tuhan. Jiwanya sarat dengan maksiat dan rohaninya penuh dengan indah duniawi. Apabila diminta untuk melakukan kebaikan dan kebajikan, dia melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Malah apabila diminta meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan, dia tanpa segan silu melakukannya.

Orang yang mengatakan sukar untuk menjadi penghuni syurga sebenarnya tidak yakin dengan janji Allah SWT. Dan orang yang tidak yakin dan meraguinya sudah pasti akan dilorongkan jalan kesesatan walaupun jalan kebenaran sudah dibentang luas.

Kita tidak pernah mampu mengubah masa lalu, tetapi kita berhak mencipta sejarah baru. Sisihkan kata-kata mereka yang menjatuhkan kita, bahkan binalah diri yang sering mendorong jiwa menuju syurga Allah SWT yang hakiki.

Percayalah, kita mampu dan Allah SWT ada bersama kita.

Yakinlah.

Isnin, 16 Januari 2017

MAMPUKAH BERSYUKUR BILA DIUJI



SEMUA manusia tidak terlepas daripada diuji. Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang menerima ujian itu dengan lapang dada? Betullah, masih ada yang berfikiran terbuka, tetapi ramai juga yang akan berkeluh kesah. Fikiran menjadi buntu seolah-olah tiada jalan keluar.

Sekiranya kita dididik supaya bersabar dan berfikiran positif apabila berhadapan dengan sebarang ujian, kita akan tenang menghadapinya. Hanya dengan bersabar, bertenang dan berlapang dada, ujian itu akan dapat diatasi dengan mudah kerana adanya rasa syukur.

Pelik juga ya, apabila ada sesetengah orang mampu menghadapi ujian yang berat dengan tenang tanpa keluhan. Sesetengah lainnya pula baru sedikit diuji dengan sekecil-kecil ujian, sudah berasa dunia menjadi gelap. Seolah-olah ujian itu sudah menghempap keseluruhan hidup mereka.

Teruknya! 

Padahal Rasulullah SAW bersabda, “Ajaibnya perihal seorang mukmin itu. Sesungguhnya semua urusannya baik-baik belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang seperti ini melainkan hanya kepada seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji dengan kesenangan, lalu dia bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik baginya. Sekiranya dia diuji dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar itu adalah yang terbaik baginya. – HR Riwayat Muslim.

Baginda menyuruh kita bersyukur dan bersabar walau diuji, tetapi amat sedikit yang melaksanakannya. Kebanyakannya akan bersedih, kesal dan kecewa, sedangkan ujian itu sebenarnya untuk mengangkat darjat atau keimanan diri. Sesungguhnya kita lupa bahagian itu kerana terlalu asyik dengan kecewa dan akhirnya tenggelam dalam dunia kesedihan.

Sebenarnya hanya mereka yang beriman dan bertakwa sahaja mampu mengucapkan syukur apabila diuji. Ini kerana ia memerlukan kekuatan emosi dan keimanan tinggi terhadap setiap yang dilalui. Apakah kita tergolong dalam kalangan mengucapkan syukur saat diuji? Jawablah dengan jujur. Hanya kita yang tahu isi hati sendiri. 

Apabila Aku menguji seorang hamba-Ku dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan syurga.”– HR Imam Bukhari.

Hayati benar-benar janji Allah SWT ini. Bukankah sepatutnya ujian menambahkan keyakinan kita kepada Pemberi ujian? Bukannya kekecewaan yang berpanjangan sehingga merosakkan iman dan takwa yang selama ini kukuh di dada. Yakinlah, ujian bukan untuk menyusahkan, bahkan ia merupakan jentikan kasih sayang daripada-Nya kepada kita.

Ada yang bertanya, mengapa dia yang harus laluinya. Bukan orang lain?

Kerana kita yang terpilih untuk kembali kepada-Nya. Beruntunglah kerana dipilih berbanding berjuta-juta umat lain yang masih alpa dalam kesesatan. Dan disebabkan Allah SWT itu Penyayang, maka dijentiknya kita dengan ujian lembut agar kita tidak terus berada dalam dunia yang penuh kepalsuan.

Saat itu hanya suara kita yang didamba-Nya. Hanya rintihan kita yang mahu didengari-Nya. Moga saat kita mengadu itu, Allah SWT membuka tangan-Nya dan menyambut setiap doa yang kita sebut dengan penuh kasih sayang.

Ya, saat itu kasih sayang-Nya hanya untuk kita, iaitu hamba yang mahu kembali kepada-Nya.

Mulai hari ini, bangunlah. Usah lagi berada di takuk kesedihan yang hanya merosakkan iman yang semenangnya hanya sejengkal cuma. Jangan lagi biarkan diri kita terjerat dalam situasi kekecewaan yang berpanjangan. Ayuh! Move on! 

Berdoa dan berdoalah tanpa henti agar Allah SWT sentiasa memberi kekuatan di hati untuk menghadapi setiap cubaan yang mendatang. Andai dirasa masalah yang menimpa itu besar, maka kita harus cepat-cepat sedar yang pemberi ujian itu lebih besar bahkan Maha Besar.

“Jika masalah kita sebesar kapal, yakini bahawa nikmat Allah SWT itu sebesar lautan.”

Nikmati hidup dengan ujian itu lebih manis berbanding hidup tanpa rahmat dan kasih Tuhan.