Isnin, 8 Disember 2014

BERHATI HATI MEMILIH SAHABAT



SAHABAT yang baik umpama sepohon rendang yang mampu menjadi tempat berteduh sesiapa sahaja ketika panas terik. Itulah kata-kata yang kita sering dengar apabila memperkatakan cirri-ciri seorang sahabay yang baik untuk kita. Tetapi mudahkah kita untuk mencari sahabat sebagaimana yang dikatakan itu?
            Islam menggalakan umatnya mencari sahabat yang baik, beriman dan taat kepada Allah. Ciri-ciri sahabat  yang soleh dan tidak mementingkan diri sendiri serta dapat dijadikan tempat untuk mengadu apabila ditimpa sebarang masalah.
            Kita juga sering dinasihatkan supaya mencari sahabat yang apabila kita susah, dia bersedia menghulurkan tangannya untuk membantu, apabila ia melihat ada kebaikan pada diri kita, ia akan menumpang gembira dan menceritakan kebaikan manakala jika ternampak keburukan, ia akan sgeera menutupinya.
            Seorang sahabat yang baik akan saling mengingatkan kita apabila kita melakukan kesilapan, tidak terlalu mementingkan keduniaan tetapi menganjurkan kita sentiasa melakukan kebaikkan. Rasulullah s.a.w ada menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud, “Seseorang itu menurut agama (aturannya) kekasihnya, oleh itu sebaik-baiknya teliti dahulu siapa-siapa yang  akan kamu  dikasihinya.”
            Sekiranya kita ingin mencari seorang sahabat, kita boleh mengambil contoh wasiat oleh Alqamah kepada anaknya dalam memili  sahabat yang baik. Alqamah berpesan:
            “Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tanganmu untuk membantu, ia menerima dengan rasa terharu.   Jika ia melihat kebaikan pada dirimu,  dia suka menghitung-hitungnya dan jika dia melihat keburukanmu dia akan  menutupinya.”
            Contoh persahabatan yang baik dan boleh dijadikan teladan ialah di antara Saidina Abu Bakar r.a dengan Rasulullah SAW sendiri di mana Saidina Abu Bakar sentiasa mempercayai dan mengiakan apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW.
            Contohnya ketika Rasulullah SAW menceritakan perjalanannya ke Israk dan Mikraj. Ramai di kalangan penduduk kota Mekah tidak percaya malah ada yang mengatakan baginda mereka-reka cerita dan menganggap Rasulullah SAW berbohong.
            Mereka yang tidak percaya telah berjumpa dengan  Saidina Abu Bakar untuk bertanyakan mengenai kebenaran itu dan tanpa ragu-ragu  Saidina Abu Bakar r.a mengaku kebenaran itu. Sebenarnya tujuan mereka bertanyakan hal itu bertujuan untuk mentertawakan Rasulullah SAW.
            Saidina Abu Bakar bukan sahaja mempercayai kata-kata Rasulullah SAW malah sanggup mempetahankan maruah dan harta baginda untuk kepentingan perjuangan Islam.
            Sebagai sahabat sejati, Saidina Abu Bakar r.a rela hati memberikan komitmen untuk bersama-sama Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah walaupun dia tahu perjalanan itu sangat berbahaya kerana terpaksa berhadapan dengan musuh-musuh Rasulullah SAW yang ingin membunuhnya.
            Sementara itu Abu Sulaiman pula berpesan, “Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan salah seorang daripada dua orang ini.
            “Pertama; Orang yang dapat engkau ajak bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur dan kedua, orang menjadikan sahabat itu sebagai memberi kemanfaatan ditrimu untuk urusan akhirat. Jika engkau suka bersahabat  dengan orang yang  selain dua orang ini maka engkau adalah manusia yang sangat bodoh.’’
            Demikianlah kita disarankan mencari sahabat yang mempunyai ciri-ciri seperti sahabat Rasullullah SAW. kerana ia boleh menjamin kita apabila hari akhirat  kelak.
                                                                                                   .





Tiada ulasan: