Memaparkan catatan dengan label Dipetik dari buku AKU SANGGUP DUHAI MUHAMMAD terbitan Karya Bestari Sdn Bhd. (Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd) terbit pada 2010.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dipetik dari buku AKU SANGGUP DUHAI MUHAMMAD terbitan Karya Bestari Sdn Bhd. (Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd) terbit pada 2010.. Papar semua catatan

Isnin, 8 Disember 2014

BERHATI HATI MEMILIH SAHABAT



SAHABAT yang baik umpama sepohon rendang yang mampu menjadi tempat berteduh sesiapa sahaja ketika panas terik. Itulah kata-kata yang kita sering dengar apabila memperkatakan cirri-ciri seorang sahabay yang baik untuk kita. Tetapi mudahkah kita untuk mencari sahabat sebagaimana yang dikatakan itu?
            Islam menggalakan umatnya mencari sahabat yang baik, beriman dan taat kepada Allah. Ciri-ciri sahabat  yang soleh dan tidak mementingkan diri sendiri serta dapat dijadikan tempat untuk mengadu apabila ditimpa sebarang masalah.
            Kita juga sering dinasihatkan supaya mencari sahabat yang apabila kita susah, dia bersedia menghulurkan tangannya untuk membantu, apabila ia melihat ada kebaikan pada diri kita, ia akan menumpang gembira dan menceritakan kebaikan manakala jika ternampak keburukan, ia akan sgeera menutupinya.
            Seorang sahabat yang baik akan saling mengingatkan kita apabila kita melakukan kesilapan, tidak terlalu mementingkan keduniaan tetapi menganjurkan kita sentiasa melakukan kebaikkan. Rasulullah s.a.w ada menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud, “Seseorang itu menurut agama (aturannya) kekasihnya, oleh itu sebaik-baiknya teliti dahulu siapa-siapa yang  akan kamu  dikasihinya.”
            Sekiranya kita ingin mencari seorang sahabat, kita boleh mengambil contoh wasiat oleh Alqamah kepada anaknya dalam memili  sahabat yang baik. Alqamah berpesan:
            “Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tanganmu untuk membantu, ia menerima dengan rasa terharu.   Jika ia melihat kebaikan pada dirimu,  dia suka menghitung-hitungnya dan jika dia melihat keburukanmu dia akan  menutupinya.”
            Contoh persahabatan yang baik dan boleh dijadikan teladan ialah di antara Saidina Abu Bakar r.a dengan Rasulullah SAW sendiri di mana Saidina Abu Bakar sentiasa mempercayai dan mengiakan apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW.
            Contohnya ketika Rasulullah SAW menceritakan perjalanannya ke Israk dan Mikraj. Ramai di kalangan penduduk kota Mekah tidak percaya malah ada yang mengatakan baginda mereka-reka cerita dan menganggap Rasulullah SAW berbohong.
            Mereka yang tidak percaya telah berjumpa dengan  Saidina Abu Bakar untuk bertanyakan mengenai kebenaran itu dan tanpa ragu-ragu  Saidina Abu Bakar r.a mengaku kebenaran itu. Sebenarnya tujuan mereka bertanyakan hal itu bertujuan untuk mentertawakan Rasulullah SAW.
            Saidina Abu Bakar bukan sahaja mempercayai kata-kata Rasulullah SAW malah sanggup mempetahankan maruah dan harta baginda untuk kepentingan perjuangan Islam.
            Sebagai sahabat sejati, Saidina Abu Bakar r.a rela hati memberikan komitmen untuk bersama-sama Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah walaupun dia tahu perjalanan itu sangat berbahaya kerana terpaksa berhadapan dengan musuh-musuh Rasulullah SAW yang ingin membunuhnya.
            Sementara itu Abu Sulaiman pula berpesan, “Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan salah seorang daripada dua orang ini.
            “Pertama; Orang yang dapat engkau ajak bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur dan kedua, orang menjadikan sahabat itu sebagai memberi kemanfaatan ditrimu untuk urusan akhirat. Jika engkau suka bersahabat  dengan orang yang  selain dua orang ini maka engkau adalah manusia yang sangat bodoh.’’
            Demikianlah kita disarankan mencari sahabat yang mempunyai ciri-ciri seperti sahabat Rasullullah SAW. kerana ia boleh menjamin kita apabila hari akhirat  kelak.
                                                                                                   .





MENCARI HARTA SECARA HALAL




UMAT Islam digalakan untuk mencari harta sebanyak mungkin. Namun tidak digalakan mmencari harta dengan cara yang tidak diredai Allah. Banyak kaedah mencari harta supaya manusia tidak hidup dalam kemiskinan yang boleh membawa kepada kekufuran.  Tetapi sebaik-baiknya carilah harta dengan cara yang halal dan bukan secara haram.
            Mencari harta dengan cara yang halal akan membawa keberkatan dalam kehidupan manakala sebaliknya ia akan membawa kepada kehancuran.
            Rasulullah SAW pernah berkata, “Sesungguhnya Allah sangat suka dan kasih kepada orang mukmin yang berusaha mencari penghidupan yang halal sama ada dengan jalan bercucuk tanam, berniaga, bertukang dan sebagainya.”
            Sehubungan ini Allah sangat memuliakan apa juga pekerjaan asalkan ia halal di sisi agama dan Allah tidak suka kepada mereka yang suka meminta-minta sedangkan mereka boleh berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.
            Sikap suka meminta-minta sangat tidak digemari oleh sesiapa pun lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai kemampun untuk berusaha sendiri, sihat tubuh untuk melakukan pelbagai pekerjaan, tidak cacat atau apa-apa yang boleh menghalang untuknya berusaha menacari rezeki.
            Allah akan memuliakan air muka seseorang meskipun seseorang itu hidup susah seperti bekerja dan berusaha sendiri tetapi halal. Sehubungan ini Rasulullah SAW berkata, “Seseorang yang membawa seutas tali kemudian aia mencari kayu api lalu dijualnya kayu api itu  untuk mendapatkan barangan yang lain, Allah akan memuliakan air mula orang itu kerena ia adalah lebih baik daripada perbuatan suka meminta-minta.”
Tidak dinafikan dalam mencari rezeki sama  ada pekerjaan itu mudah atau susah lalu menjadikannya penat lalu mereka tidur dalam keadaan kepenatan, Rasulullah SAW berpesan, “Sesiapa yang bermalam dalam kedadaan penat kerana bekerja secara halal pada siangnya lalu bermalamlah  ia dalam   keadaan diberikan keampunnan. 
            Mencari harta dengan hasil yang mencukupi, tidak berlebh-lebihan dan menunjuk-nunjuk snagat dianjurkan agama sebagaimana yang ditegaskan dalam al-Quran, Surah Al-An-am ayat 41 bermaksud, “Jangan kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlebih-lebihan.”






DUNIA HANYA PERSINGGAHAN



PADA hakikatnya semua umat Islam itu bersaudara. Apabila bersaudara sudah tentulah tidak ada   permusuhan, persengketaan, perbalahan dan sebagainya. Tetapi  apa yang berlaku pada hari ini berbeza sekali dengan kalimat yang telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.
            Di mana-mana, ramai umat Islam yang mengaku bersaudara tetapi tetap melakukan perbuatan yang ditegah seperti memutuskan hubungan, saling membenci, berdengki dan saling bermusuhan.
            Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya bermaksud, “Janganlah kamu semua saling memutuskan hubungan, jangan saling membenci, jangan saling berdengki dan jangan saling bermusuhan. Jadilah kamu semua itu hamba-hamba Allah sebagai saudara. Tidak halal bagi seseorang Muslim jika bermusuhan dengan saudaranya melebihi daripada tiga hari.”
            Walapun ingatan ini sudah sering kita dengari tetapi permusuhan sesama saudara seagama masih tetap berlaku malah sehingga bertahun-tahun lamanya. Apakah mereka tidak pernah mengambil peduli pesanan Rasulullah SAW ini sehinggakan perbuatan seperti itu sudah menjadi perkara biasa?  Akibat daripada perbuatan ini, tumpuan untuk mengukuhkan kedudukan umat Islam selalunya gagal dan pihak luar sentiasa mengambil kesempatan.
            Rasulullah SAW sudah pun meninggalkan pesanan kepada umatnya, tetapi sayang pesanannya tidak mahu dijadikan panduan. Manakala di kalangan bukan Islam melihat situasi itu sebagai mengelirukan kerana umat Islam sendiri tidak mematuhi ajaran yang disampaikan.
            Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mengingatkan, “Umat Islam itu adalah saudara Muslim,  tidak boleh menganiya dan tidak membenarkan penganiayaan. Barang siapa yang suka menolong hajat saudaranya, Allah akan menolong hajatnya. Barangsiapa yang melapangkan sesame Muslim daripada kesusahan di dunia, Allah akan melapangkan kesusahannya pada hari akhirat kelak. Barangsiapa yang menutup aib sesama Muslim,  Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.”
              Sudah sampai masanya untuk kita kembali mengingati pesanan-pesanan Rasulullah SAW supaya amal perbuatan kita itu dicontohi oleh generasi yang akan datang. Apa yang disarankan oleh Rasulullah SAW  bukan tertaklok kepada sesama Muslim sahaja malahan kepada bukan Muslim juga.
            Ini selaras dengan peringatan Allah dalam al-Quran, surah Al-Mumtahanah ayat 8 bermaksud, “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap mereka yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusir dari negerimu. Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

SABAR MENGHADAPI KESUSAHAN



SAMA ADA disedari atau tidak, kebanyakkan penghuni neraka terdiri daripada kaum wanita. Mengapakah kaum wanita? Apakah kaum lelaki juga tidak melakukan dosa sehingga boleh menyebabkan mereka menjadi penghuni neraka?
            Pada satu hari Saidatina Aisyah r.a bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapakah kebanyakan kaum wanita itu adalah isi neraka?”
            Rasulullah s.a.w menjawab, “Kerana ramai kaum wanita itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayan suami serta melakukan kerja rumah.”
            “Adakah lagi ya Rasululah?” Tanya Saidatina Aisyah r.a lagi.
            Kemudian Rasulullah s.a.w menjelaskan lagi, mereka tidak memuji atau berterima kasih (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan mellaui suaminya (pemberian suami). Sering engkar terhadap nikmat Allah ketika bertengkar dengan suaminya sepereti tidak bersyukur dengan apa yang ada. Gemar berkata sesuatu yang sia-sia seperti mengumpat atau memperkecil-kecilkan suami. Kaum wanita ini tidak diterima sembahyangnya kecuali setelah meminta ampun dan maaf daripada suaminya.
            Di dalam agama banyak tegahan yang melibatkan kaum wanita supaya meninggalkan atau menjauhinya. Di antaranya kaum wanita dilarang supaya memakai bau-bauan apabila keluar rumah kerana ia boleh menyebabkan perkara maksiat.
            Kaum wanita juga dilarang supaya bermasam muka sehingga suami tersinggung. Selagi mereka tidak bermanis muka dan senyum mesra kepada suaminya,  selagi itu Allah akan memurkainya.
            Selain itu, kaum wanita dilarang mengerjakan puasa sunat kalau tanpa izin suaminya dan tidak membenarkan seorang lelaki masuk ke dalam rumah juga tanpa izin suaminya.
            Larangan seumpama itu bertujuan untuk mengelakkan sebarang pelakuan dosa. Oleh yang demikian, kaum wanita digalakan pula supaya mentaati suaminya.
            Rasulullah s.a.w dalam satu hadis berkata, “Wanita yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan akan beristighfar untuknya selama mana ia  masih taat kepada suami dan diredai-Nya.”
            Untuk mengelakkan kaum wanita termasuk di kalangan penghuni neraka, Rasulullah s.a.w berpesan melalui sebuah hadis yang direkodkan oleh Muaz, katanya, “Mana-mana wanita yang berdiri di atas dua kaminya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka Allah mengharamkan muka dan tangannya dari kebakaran api neraka.”
            Thabit Al-Bananiy menceritakan, seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya melayan suaminya dengan baik. Apabila dia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dia akan memegang pelita sehingga suami habis makan.
            Pada satu malam, pelitanya telah kehabisan sumbu lalu dia mengambil rambutnya untuk dijadikan sumbu. Pada keesokan harinya, dia mendapati sebelah matanya yang buta telah celik dan dapat melihat. Di atas ketaaan terhadap suaminya itu, Allah telah mengurniakan kemuliaan kerana ketaatan kepada suaminya.  
            Oleh itu Rasulullah s.a.w sentiasa berpesan, katanya, “Sebaik-baik wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya, ia menggirangkan engkau, jika engkau memerintah diturutinya perintahnya (taat) dan jika engkau berpergian dijaga harta engkau dan dirinya.”
            Sementara itu Rasulullah s.a.w juga pernah berpesan kepada puteri baginda, Fatimah Az-Zahra, katanya, “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyak rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka, memandikan mereka, Allah akan mencatatkan untuknya pekerja baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan yang jahat dan menjadiikan dirinya kelihatan berseri-seri di mata orang-orang yang melihatnya.”