Isnin, 8 Disember 2014

PELUANG MERUBAH HIDUP SENTIASA TERBUKA



TIDAK ada sesiapa yang boleh mendakwa jika sememangnya hidup sejak awal sentiasa susah, akan susahlah selama-lamanya malah sehingga ke akhir hayat tidak akan mengecapi kesenangan. Tidak ada juga sesiapa yang boleh mendakwa, jika seawal hidupnya dilimpahi kesenangan, mereka akan senang sehingga akhir hayat.
     Hidup ini umpamakan roda yang berputar. Ada waktunya berada di atas, dan ada waktunya ada di bawah. Apabila berada di atas, jangan sekali-kali berfikir tidak akan turun ke tanah dan apabila berada di bawah, bukan mustahil satu ketika nanti akan berada di atas.
   Corak kehidupan manusia itu ditentukan oleh manusia itu sendiri. Jika seseorang itu mahu hidupnya berubah, mereka akan berusaha dengan apa cara sekalipun untuk berubah. Seseorang yang hidup susah dan bercita-cita ingin  hidup senang, semestinya perlu berusaha dengan pelbagai cara untuk memastikan hidupnya berubah.
    Jika seseorang itu tidak mahu berubah, ingin hidup kekal sebagai orang susah, itu juga merupakan pilihannya. Sebenarnya banyak peluang disediakan untuk hidup seseorang itu berubah mengikut apa yang telah diajarkan di dalam al-Quran. Allah mengurniakan tenaga dan akal fikiran supaya mereka dapat berfikir untuk merubah kehidupan dengan bekalan tenaga yang disediakan.
       Merubah kehidupan daripada hidup susah kepada hidup senang sememangnya digalakan kerana apabila hidupnya susah, ia tidak akan menyusahkan orang lain. Allah sendiri tidak gemar umatnya hidup dalam keadaan meminta-minta sebaliknya diminta supaya sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan.
     Mengajak manusia ke arah perubahan hidup yang lebih baik merupakan satu kebaikan kerana dengan kemajuan hidup, mereka boleh membantu orang lain. Siapakah yang akan membantu mereka yang hidup susah jika bukan mereka yang hidup senang? Orang yang hidup susah boleh membantu mereka yang hidup susah tetapi bantuannya sangat terhad berbanding mereka yang mempunyai kelebihan harta.
      Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang mengajak ke arah kebaikan, maka ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dan dari pahala-pahala mereka yang mencontohnya itu, sedang barangsiapa yang mengajak kearah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikit pun dari dosa-dosa mereka yang mencontohnya itu.”- Hadis Riwayat  Muslim.
    Allah sesungguhnya membuat tawaran untuk merubah kehidupan kepada orang-orang yang masih hidup kerana peluang untuk mereka tetap terbuka. Amat malang dan rugilah mereka yang hidup melepaskan peluang ini kecuali mereka yang tidak mahu Allah menolong mereka.
   Mereka yang sudah meninggal dunia tidak akan ada peluang kedua dan seterusnya untuk melakukan perubahan kerana peluang ini hanya diberikan hanya kepada yang hidup sahaja. Allah menyeru supaya sentiasa bersedekah sementara masih hidup kerana selepas kematian tidak akan ada peluang membelanjakan harta ke jalan Allah.
      Dalam surah al-Baqarah ayat 254 Allah sudah mengingatkan maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah sebahagian rezeki  dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”
     “Nafkahkanlah  sebahagian rezeki dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu,” bermaksud supaya manusia menyedekahkan  apa juga nikmat termasuk rezeki yang Allah berikan selama hayatnya kepada mereka yang memerlukan kerana apabila mereka sudah meninggal dunia atau hari kiamat telah tiba, peluang untuk berbuat baik sudah tertutup malah pada ketika tidak ada sesiapa pun yang dapat membantu. 
Ibnu Katsir ra. ketika  menafsirkan ayat di atas menjelaskan, Allah  memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya  menginfakkan rezeki yang telah Allah kurniakan kepada mereka  ke jalan Allah yakni jalan yang diredhai kerana dengan cara ini sahajalah mereka dapat mengumpulkan pahala yang akan dipersembahkan kepada Allah kelak. Allah juga mengingatkan supaya melaksanakan suruhan itu dengan segera sebelum tiba hari kiamat. Ini kerana selepas itu, mereka tidak ada peluang lagi untuk berbuat kebaikan.
Allah menyeru kebaikan menafkahkan  harta ini hanya kepada orang yang beriman sahaja kerana mereka yang beriman sahaja yang sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam. Selain itu sifat suka menginfakkan harta  ke jalan Allah ini juga merupakan sifat orang yang  beriman sesuai dengan keimanannya yang teguh.
Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir as-Sa’di ra. pula menjelaskan Allah meminta golongan yang beriman supaya menginfakkan harta bukan kesemuanya tetapi hanya sebahagian sahaja memandangkan Allah yang memberikan rezeki dan sehala nikmat kepada mereka dan mereka perlu pula membelanjakan harta yang dikurniakan itu ke arah kebaikan.
Jelasnya lagi,  apa yang mereka infakkan itu sebenarnya kekal dalam simpanan Allah sehinggalah akan sampai pada satu hari yang tiada lagi urusan jual beli yakni telah sampai hari kiamat. Pada waktu itu, sudah tiada gunanya lagi untuk kita belrumba-lumba untuk berinfak ke jalan Allah  memandangkan masa sudah terlalu lama diberikan dan apa yang mereka infakkan itu akan menjadi bekal pada hari akhirat kelak.  
Sehubungan itu Allah meminta supaya berlumba-lumba dan bersegera melakukan amal kebajikan kerana pada hari akhirat kelak, bukan harta atau anak-anak yang akan menjadi sandaran tetapi amal kebajikan yang dilakukan sebagaimana ditegaskan dalam surah Saba ayat 37 bermaksud, “Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami sedikit pun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam surga)."
Biarpun amal kebajikan itu sedikit atau kecil, Allah tetap akan memberikan ganjaran sebagaimana dijelaskan dalam surah Al-Muzammil ayat 20 bermaksud, “Dan kebaikan sekecil apapun yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya."
Kepada mereka yang beriman Allah mengingatkan supaya tidak mengikut jejak  orang-orang yang kafir. Walaupun mereka diberikan pelbagai nikmat dan rezeki tetapi memilih jalan untuk berpaling dan tidak mahu membelanjakan harta ke jalan Allah. Mereka tidak taat kepada perintah Allah malah menyekutukan ALLAH, melakukan kekufuran, kemaksiatan, tidak berlaku adil dan mereka sebenarnya adalah golongan yang zalim.

Tiada ulasan: