Rabu, 17 Disember 2014

MUSIBAH TIDAK MENIMPA ORANG ZALIM SAHAJA



MUSIBAH itu umum sifatnya. Maksudnya jika musibah ditimpakan kepada sesuatu kaum, bukan sahaja orang yang melakukan kemaksiatan yang terkena tetapi mereka yang tidak melakukan kemaksiatan juga akan tertimpa sama. Inilah yang menakutkan kita sebenarnya, tetapi janji Allah itulah yang nyatakan dalam al-Quran.
     Sebab itulah awal-awal lagi Allah sudah memberikan peringatan dalam surah Al-Anfal ayat 25 bermaksud, “Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaannya."
     Selain daripada Al-Quran, dalam kitab Misykaatul Mashoobiih juz 3 bab 22 pasal 2, sebuah hadis bersumber dari 'Umairoh Al-Kindiy ra bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak mengazab umumnya manusia hanya kerana perbuatan khusus sebahagian mereka, sehingga mereka melihat kemungkaran di tengah mereka dan mereka mampu untuk menecegahnya, namun mereka tidak berbuat demikian.  Jika sudah demikian yang mereka perbuat maka Allah mengazab yang umum dan khusus dari mereka."
      Ayat di atas  mahu menjelaskan kepada kita betapa bahayanya jika membiarkan orang melakukat maksiat berleluasa sedangkan sebahagian mereka yang mempunyai kuasa tidak berusaha mencegahnya. Apabila ia berlaku di tengah-tengah masyarakat, orang yang berkuasa di dalam masyarakat itu mesti mengambil tindakan dengan menasihati supaya memberhentikan maksiat itu sebelum musibah tiba. 
      Sehubungan ini dalam surah Al-Maidah ayat 195, Allah sudah menerangkan maksudnya, “Sesungguhnya manusia jika mereka melihat orang yang berbuat  zalim dan tidak mencegahnya, maka sudah dekat Allah meratakan mereka semua dengan siksa dari-Nya."
     Dalam hal ini Allah tidak memilih siapa yang perlu diselamat dan siapa yang perlu ditimpakan musibah. Ini kerana apabila musibah itu diturunkan, semua yang berada di tempat berkenaan akan terkena sama. Untuk mengelakkan daripada musibah ini terjadi, setiap anggota masyarakat apabila mengetahui berlaku kemaksiatan berlaku di tempat mereka segeralah melaporkan kepada pihak berkuasa supaya diambil tindakan.
     Sebuah hadis dari Muttafaqun 'alaihi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bersumber dari Zainab binti Jahsy ra, menceritakan tentang berita akan datangnya bahaya bagi umat manusia, lalu Zainab ra bertanya kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, mungkinkah kami binasa padahal di tengah-tengah kami masih ada orang-orang yang soleh ?" Rasulullah SAW pun menjawab, " Ya, apabila kerosakan sudah berleluasa.”
     Hadis di atas  menjelaskan,  bahawa Allah tidak memilih-milih sekiranya di dalam sesebuah masyarakat itu terdapat orang yang soleh dan orang suka melakukan kemungkaran ketika menurunkan musibah.
     Dari Jabir bin Abdullah ra, melaporkan Rasulullah SAW bersabda, “Allah 'Azza wa Jalla mewahyukan kepada Jibril as : "Goncangkanlah kota ini dan kota itu bersama penghuninya !" Jibril as pun berkata : "Wahai Tuhanku, sesungguhnya di tengah-tengah mereka ada hamba-Mu si fulan yang tidak pernah melakukan maksiat kepada-Mu sesaat pun juga." Rasulullah SAW melanjutkan, "Allah berfirman: "Sesungguhnya wajahnya (si hamba yang soleh itu) tidak pernah berubah terhadap-Ku (tidak marah melihat kemaksiatan) sesaat pun juga."
     Dua hadis di atas sudah tentu mengingatkan kita yang hidup pada akhir zaman ini. Pelbagai bentuk kemaksiatan berlaku dalam pelbagai bentuk dan cara malah kadang-kadang berlaku kemaksiatan di sebeleh menyebelah rumah pun kita tidak menyedari.
    Rasulullah SAW bersabda, “Demi yang jiwaku ada di tangan (kekuasaan) -Nya, hendaklah engkau sungguh-sungguh menyerukan kema'rufan dan mencegah kemungkaran, atau niscaya Allah akan benar-benar mengirim atasmu sekalian siksa dari-Nya. Kemudian engkau berdoa kepada-Nya dan Dia tidak mengabulkannya." – Hadis riwayat At-Tirmizi.

Tiada ulasan: