Selasa, 9 Februari 2016

HAPUSKAN DOSA SEUMPAMA DAUN-DAUN YANG GUGUR



MUNGKIN satu ketika kita pernah berjalan-jalan di satu kawasan yang panas terik. Kita membayangkan sekiranya ada satu pohon yang rendang, alangkah indahnya jika dapat berteduh. Ditakdirlah ALLAH SWT kita pun berjumpa dengan satu pohon di tepi jalan. Kita pun berhenti berehat untuk melepaskan penat.
Sebaik sahaja kita berehat di bawah pokok, tiba-tiba hembusan angin yang kuat sehingga menggugurkan daun-daun yang sudah kekuningan. Daun-daun itu jatuh  melayang-layang jatuh ke tanah.

Apabila melihat keadaan seumpama itu, mungkin kita tidak pernah terfikir apa-apa melainkan itu adalah perkara biasa. Daun-daun kering akan jatuh ke tanah apabila ditutup angin kencang.

Tetapi bagi mereka yang berfikir, sudah pasti mereka akan teringat sebuah hadis. Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya, “Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa musibah seperti tertusuk duri atau yang lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu Allah menghapuskan dosa-dosanya seumpama pohon kayu yang menggugurkan daun-daunnya.” -  HR Bkhari dan Muslim.

Siapa menyangka, peristiwa daun-daun yang gugur itu Rasulullah SAW mengajak kita berfikir apabila daun-daun itu diibaratkan dengan manusia.

Dalam hidup ini, tidak ada seorang pun manusia yang tidak diuji oleh ALLAH SWT. Adakalanya ujian yang diterima itu kecil dan ada juga ujian atau musibah yang lebih besar. Ia bergantung kepada kemampuan seseorang menanggung ujian yang ditimpakan ke atasnya.

Daripada ujian yang sekecil seperti tertusuk duri ketika berjalan atau tertusuk jarum ketika menjahit pakaian, ia sebenarnya satu musibah. Namun bagi kita ujian sekecil itu tidak dianggap satu musibah, melainkan ia kerana kelalaian kita sendiri yang tidak berhati-hati ketika melakukan sesuatu.

Tetapi bagi ALLAH SWT, ia sebenarnya satu musibah. Berbanding dengan kita yang menganggap musibah berlaku hanya jika  ditimpa kejadian seperti gempa bumi, banjir besar, ribut taufan, tanah runtuh, kebakaran, kematian dan sebagainya.

Hakikatya setiap musibah yang berlaku ada maksud tertentu yang ALLAH SWT hendak sampaikan. Sama ada ia sebagai satu peringatan atau sebagai kafarah kerana kita semkian jauh daripada-NYA.

Tetapi sebenarnya, setiap musibah yang berlaku meskipun hanya kerana tertusuk duri, sakit kaki, sakit kepala, sakit gigi, sakit mata  dan pelbagai penyakit lagi, ALLAH SWT sebenarnya mahu menghapuskan dosa-dosa kita.
        
Kita bayangkanlah, seandainya dosa-dosa kecil itu banyak begitulah keadaannya ALLAH SWT mahu menggugurkan dosa-dosa itu seumpama daun-daun yang ada pohon tempat kita berteduh itu. Sekali angin bertiup, berapa banyakah daun-daun yang gugur, begitu juga dengan banyaknya dosa-dosa kita.

Hadis ini mengingatkan kepada kita supaya jangan menyesali apa juga musibah yang menimpa.  Apabila kita sering ditimpa penyakit, jangan sesekali menyesali. Yakin kita sebenarnya banyak dosa. Jika kita kurang bertaubat, dosa-dosa kita tidak akan terhapus.

 Sekurang-kurangnya apabila kita ditimpa penyakit, banyakkan bersyukur kerana ALLAH SWT telah membantu kita mengurangkan jumlah dosa pada kita. Kita lazimnya hanya bertaubat apabila ditimpa musibah yang besar seperti kehilangan orang yang disayangi, ditimpa kebakaran, kemusnahan tempat tinggal dan seumpamanya.
         
Justeru apabila kita melihat daun-daun yang gugur, muhasabahlah diri bahawa kita manusia yang banyak melakukan dosa dan kurang masa untuk bertaubat. Ia juga mengingatkan kita bahawa daun-daun kering yang jatuh itu ibarat usia kita yang semakin hari semakin singkat.
          
Satu ketika daun-daun itu juga pernah berputik, kemudian membesar  dan apabila sudah sampai masanya, ia akan gugur ke bumi dan berakhirlah riwayat daun-daun itu. Sesungguhnya apa yang berlaku itu menunjukkan kekuasan dan kebesaran ALLAH SWT yang manusia tidak mampu untuk menepisanya.  

Tiada ulasan: