Khamis, 29 Januari 2015

HIASI RUMAH DENGAN BACAAN AL-QURAN



HATI Hajah Aisyah tiba-tiba sahaja menggelegak apabila mendengar lagu dari corong radio yang dikuatkan oleh anaknya dari ruang tamu. Dari ruang dapur, dia segera melangkah  ke ruang tamu. Hafiz, anak lelakinya sedang terbuai-buai dengan irama lagu yang membingitkan telinga. Hajah Aisyah segera mematikan suiz radio dan suasana menjadi sepi tiba-tiba.
Hafiz terkedu seketika melihat ibunya sudah tercegat di ruang tamu dengan wajah menahan marah.  
"Macam manalah  suasana dalam rumah ni nak tenang, nak sejuk kalau setiap masa dibingitkan dengan lagu yang menyakitkan telinga?” Hajah Aisyah bersuara keras sambil memerhatikan wajah anak bujangnya yang sedang bercuti dari kolej.
Sepasang anak mata Hafiz terkecil-kebil.
“Cubalah baca al-Quran supaya sejuk rumah ni. Kalau tak nak baca sekalipun, pasangkan kaset atau CD al-Quran, sekurang-kurang tenang hati mendengarnya. Ini tidak. Macam manalah malaikat nak masuk rumah kalau lagu memekakkan telinga macam ni kamu pasang?” Hajah Aisyah merungut.
“Lain kali mak tak nak dengar kamu pasang lagu-lagu macam ni lagi…,” sambung Hajah Aisyah menyebabkan Hafiz terdiam menyedari kesalahannya.
Inilah kebiasaannya yang berlaku di dalam rumah masyarakat Islam kita hari ini. Jarang sekali kita mahu mendengar bacaan al-Quran berkumandang sebagai ubat penenang jiwa  para penghuninya.   Apa yang biasa kita dengar, lagu-lagu yang muziknya membingitkan dipasang sehingga mengganggu jiran-jiran.
Umat yang beriman dan ingin kesempurnaan imannya tidak akan melakukan perlakuan buruk seperti ini. Boleh mendengar lagu-lagu tetapi biarlah dalam suara yang cukup untuk didengari diri sendiri. Bagaimanapun adalah lebih baik jika diputarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran menghiasi suasana ketenangan di dalam rumah.
Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w merupakan agama yang indah dan menyejukan malah baginda sering berpesan supaya menghiasi rumah dengan bacaan al-Quran. Manakala rumah yang tidak pernah dihiasi dengan bacaan al-Qiuran ibarat kawasan perkuburan yang sepi dan suram.
Tidak memberi makna apa-apa jika sebuah rumah yang besar berharga ratusan riibu ringgit dengan perabut yang serba mahal, tetapi ayat-ahat al-Quran hanya menjadi hiasan dinding serta tidak diamalkan untuk membacanya. Penghuninya pula sentiasa di dalam kepanasan kerana sering berlaku pergeseran berpunca penghuninya yang tidak pernah membaca al-Quran menyebabkan syaitan bebas keluar masuk seperti rumah sendiri.
Al-Quran yang yang terakhir diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w merupakan sebuah kitab yang sempurna  meliputi segala permasalahan hidup dan menjadi rujukan serta penawar paling mujarab untuk mententeramkan hati yang gelisah jika dibaca dengan penuh keikhlasan.
Isi kandungan al-Quran mencakupi  semua kisah benar yang berlaku sebelum turunnya al-Quran dan semasa al-Quran diturunkan sebagai peringatan kepada manusia untuk dijadikan teladan dan pengajaran selain sebagai panduan hidup.

Sebelum al-Quran diturunkan, terdapa tiga kitab diturunkan oleh ALLAH iaitu kitab Zabur, Taurat dan  Injil. Daripada tiga kitab itu, al-Quran merupakan kitab yang sempurna dan mulia di sisi ALLAH.

Ini dijelaskan dalam sebuah hadis, dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.”

Walaupun di dalam bahagian-bahagian tertentu ada huraian dalam al-Quran  tidak terperinci tetapi ALLAH menjadikan demikian supaya manusia  menggunakan akal dan fikiran untuk  mengkaji isi kandungan al-Quran berpandukan saranan yang diberi. 


Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 14 dan 15 yang bermaksud, “Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari ALLAH dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu ALLAH menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izin-Nya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus. 

Hujah ini dikuatkan lagi dalam surah al-Baqarah ayat 2, ALLAH berfirman yang bermaksud, “Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.”

Manakala dalam sebuah hadis, Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w berkata,“Semaikanlah perasaan takwa kepada ALLAH kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk dibaca, difahami  dan dihayati isi kandungannya bukan untuk dijadikan hiasan di dinding-dinding rumah sebagaimana yang terdapat di kebanyakan  di dalam rumah masyarakat kita pada hari ini. 

 Membaca al-Quran juga dikira satu ibadat dan ia dikira sebagai berzikir bagi sesiapa yang mengamalkannya setiap hari. Rasulullah s.a.w  dalam sebuah hadis berkata, “Sesungguhnya al-Quran ini ialah hidangan ALLAH  maka hendaklah kamu terima hidangan ALLAH sebanyak mana yang kamu boleh.”

Sementara itu dalam sebuah hadis lain, daripada Ibnu Umar, katanya, Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”

 Sesungguhnya membaca al-Quran itu amat besar sekali pahalanya malah setiap huruf yang dibaca dan setiap ayat yang dibaca juga sudah ditentukan pahalanya. Perkara ini ada dijelaskan dalam sebuah hadis  daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah s.a.w berkata, ”Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

 
Sementara itu dalam sebuah hadis daripada Abi Hurairah r.a, berkata Rasulullah s.a.w, “Sesiapa yang membaca al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai.”

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Orang yang sering membaca al-Quran terutamanya di rumah akan diberikan kelebihan yang melimpah ruah di samping akan dikunjungi oleh para malaikat dan syaitan tidak berani menghampiri. Kehidupan seisi  rumah itu akan dilimpahi kebaikan dan dikurangkan kejahatan.

 Manakala rumah yang tidak pernah dihiasi dengan bacaan al-Quran akan dijauhi malaikat dan akan didekati oleh syaitan dan keadaan seisi rumah itu sentiasa dalam keadaan tidak selesa.

Diceritakan oleh Ibnu  Masud, seorang sahabat Rasulullah s.a.w telah didatangi oleh seorang lelaki yang wajahnya murung. Lelaki itu memberitahu Ibnu Masud.”Wahai Ibnu Mas’ud, berikanlah padaku satu nasihat untuk aku jadikan penawar mengubati hatiku yang gelisah ini.”

“Mengapa dengan hati kamu?” Ibnu Mas’ud bertanya.

“Sejak akhir-akhir ini perasaanku tidak tenteram, jiwaku resah, fikiranku kusut, tidak ada selera makan dan tidurku tidak lena,” jawab lelaki itu.

Mendengar pengakuan lelaki itu, Ibnu Ma’sud segera ,menjawab, “Jika itulah penyakit kamu, 
sila kunjungi tiga tempat ini. Pertama tempat orang membaca al-Quran sama ada kamu membaca atau kamu mendengarnya. Kedua, majlis pengajian yang akan mengingati hatimu kepada ALLAH dan ketiga carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada ALLAH dengan kusyuk dan ikhlas.”

Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana ALLAH akan diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah mati  di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca al-Quran, kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya.

 Hadis dari Rasulullah s.a.w bermaksud, “Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya.”

Dalam satu hadis lain,  riwayat  Imam Muslim, mengatakan Rasulullah s.a.w melalui para sahabat yang sedang berkumpul, lalu baginda bertanya,” Apakah yang kamu lakukan berkumpul di sini?” Jawab mereka: “Kami duduk berzikir kepada ALLAH Azzawajalla yang telah memberi petunjuk dengan agama Islam, dan kami  bermurah hati dengan hidayatnya.” Rasulullah s.a.w menjawab,”Demi ALLAH, benarkah itu yang menyebabkan kamu berkumpul di sini?” Mereka menjawab  “Demi ALLAH, kami tidak berkumpul di sini melainkan atas tujuan itu semata-mata.” Rasulullah s.a.w pula berkata,“Sebenarnya aku tidak meminta kamu bersumpah kerana aku meragukan kebenaran kamu, tetapi Jibril a.s. telah mendatangiku dan memberitahuku,  ALLAH memuji-muji kamu di hadapan para Malaikat.”

 TIP MEMBACA AL-QURAN

1. Hendaklah sentiasa dalam keadaan  suci  zahir dan batin kerana membaca al-Quran merupakan  zikir yang paling utama berbanding zikir yang lain.

2. Membaca di tempat yang suci dan bersih sesuai  dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian al-Quran. Sunat membaca al-Quran di masjid atau di tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.

3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.

4. Mulut dalam keadaan bersih  kerana mulut yang akan megeluarkan suara dan   menyebut ayat al-Quran.

1.    Menzahirkan di dalam hati, apabila membaca al-Quran seolah-olah sedang berhadapan dengan ALLAH dan bacalah seolah-olah ALLAH sedang melihat kita membaca al-Quran.

6. Tumpukan kepada pembacaan dan elak daripada  berbual kosong ketika membaca al-Quran.

7. Jangan bergurau dan bermain-main  ketika sedang membaca al-Quran.

8. Duduk atau bersila dalam keadaan tenang dan tertib ketika membaca. Jika membaca berdiri pastikan ada sebab yang tidak dapat dielakkan.

9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah A'uzubillahiminasy -syaitannirrajim  yang bermaksud, “Kami memohon perlindungan  ALLAH dari syaitan yang direjam.”

10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim).
Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.

11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada al-Quran.

12. Hendaklah membaca dengan memelihara hukum tajwid. Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.

13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan al-Quran diturunkan oleh ALLAH.

14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. 

15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.

16. Hendaklah berhenti membaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca al-Quran ia bermunajat kepada ALLAH dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.

17. Hendaklah meletakkan al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah.

18.Hendaklah berusaha memperelokkan bacaan dan menghiaskan dengan suara yang lunak.

19.   Apabila selesai membaca al-Quran, sudahilah dengan membaca Sadaqallahul’azim.

20. Disunatkan berpuasa pada hari khatam al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam majlis khatam al-Quran.




Tiada ulasan: