Khamis, 11 Jun 2015

BIAR REZEKI SEMPIT ASALKAN HALAL



“MENGAPA rezeki awak murah sangat hah? Rezeki saya, ya ALLAH, sempitnya! Apa bezanya awak dengan saya?  Sama saja, tapi saya tengok rezeki awak murah sangat berbanding saya, kenapa ya?”
Mungkin kata-kata itu kita pernah dengar atau kita sendiri mengalaminya. Hakikatnya rezeki manusia di dunia tidak sama. Tujuannya supaya manusia saling memanfaatnya di antara satu dengan lain. Bayangkan jika semua manusia rezekinya sama sahaja, bagaimanakah yang senang hendak membantu yang susah?  Sebab itulah diwujudkan rezeki supaya ada yang susah dan ada yang senang. 

Sesiapa yang rajin berusaha mencari rezeki, sudah tentulah hidupnya senang. Manakala yang malas bekerja, sudah tentulah rezekinya sempit. Tetapi ada orang yang tidak boleh menerima keadaan ini dan beranggapan ALLAH sengaja mahu menyusahkan hidupnya. Pada hakikatnya  ALLAH menyayangi semua hamba-NYA. Cuma manusia yang tidak tahu menguruskan rezeki akan berasakan rezekinya sempit.


Sama ada rezeki itu luas atau sempit, apa yang penting di sisi ALLAH ialah status rezeki itu halal atau tidak. Tidak ada gunanya rezeki yang melimpah-ruah jika diperolehi dengan cara yang haram. Sebaik-baikya biarlah rezeki itu sempit asalkan halal  kerana jika kita bersyukur dengan yang sedikit, ALLAH akan menambahkan lagi nikmat-NYA.

Oleh kerana ada di kalangan manusia yang berasakan rezekinya sempit, mereka mengambil jalan mudah dengan melakukan kerja-kerja haram asalkan mendapat rezeki. Dalam Islam, kemiskinan atau kesempitan rezeki bukan alasan untuk menghalalkan perbuatan yang salah. Rasa yakin terhadap ALLAH dan nikmat kesyukuran amat perlu bagi setiap manusia dengan mempergunakan kekuatan tenaga dan akal fikiran untuk mencari rezeki.

Apa yang penting apabila berhadapan dengan kesempitan rezeki jangan mencari jalan yang salah untuk mendapatkan rezeki. Pertolongan ALLAH akan datang dari segenap penjuru bagi mereka yang tidak mudah putus asa. Ini dijelaskan dalam surah Yusuf ayat 87 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat dan pertolongan ALLAH. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan ALLAH, melainkan kaum yang kafir.”   

Islam tidak melarang umatnya mencari harta tetapi melarang keras mengumpul harta dengan jalan yang salah. Harta atau rezeki yang tidak halal, tidak akan ada keberkatannya. Harta yang tidak ada keberkatannya akan menjadikan pemiliknya menerima musibah. Ini yang dinamakan rezeki membawa musibah bukan membawa kepada ketenangan dan kebahagiaan. 

Biarlah rezeki sempit tetapi ia membawa keberkatan, ia akan memberikan kebahagiaan dan ketenangan pemiliknya selain ALLAH akan  menambahkan lagi rezekinya, jika mereka bersyukur dengan kesempitan itu. Sebaliknya jangan mudah mengambil jalan singkat dengan melipatgandakan rezeki walaupun dengan jalan yang ditegah ALLAH. 

Walaupun setiap manusia sudah ditentukan rezekinya, itu bukan bermakna kita perlu berhenti berusaha dan menunggu rezeki datang bergolek sebagaimana yang dijanjikan ALLAH. Rezeki perlu diperolehi dengan cara berusaha.

Di dalam al-Quran sendiri banyak ayat-ayat al-Quran yang meminta supaya mencari rezeki yang halal. Dalam Islam,  bekerja dan mencari nrezeki merupakan satu tanggungjawab dan ibadah manakala mencari rezeki yang halal adalah fardu ain. Mencari rezeki yang halal merupakan tuntutan agama. 

'Bagaimanapun kita akan tertanya-tanya, bagaimanakah ada orang yang hidup mewah dan senang lenang walaupun rezeki yang diperolehi dengan cara yang tidak diredai ALLAH seperti rasuah, penipuan dan seumpamanya? Sedangkan ada orang yang mencari rezeki yang halal tetapi cara hidupnya biasa-biasa sahaja.

ALLAH mengurniakan rezeki kepada hamba-hamba-NYA adalah rezeki yang baik-baik, diperolehi dengan cara baik dan digunakan dengan cara yang baik juga. Rezeki yang baik wajar  dibelanjakan dengan cara yang mengundang kepada keberkatan. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud, “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”               

Ayat di atas menjelaskan, bukan sahaja digalakkan mencari rezeki dengan cara yang halal, malah rezeki itu biarlah halal dan yang terbaik. Contohnya ada makanan yang halal tetapi belum tentu ia baik kerana ia boleh menjejaskan kesihatan jika diambil secara berlebihan. Apabila kesihatan terjamin, ia akan memudahkan manusia menjalani ibadah dan mencari rezeki dengan tenaga dan akal fikiran yang sempurna.

Seandainya memperolehi rezeki dengan cara yang haram, ia akan menjadi darah daging dan sudah pasti akan menyulit dan meliatkan manusia itu sendiri melakukan amal ibadah terhadap ALLAH. Apabila mereka sudah melanggar hukum ALLAH, sudah tentulah amat sukar untuk melakukan ibadah-ibadah lain  kerana hasil dari rezeki yang haram, tidak membawa keberkatan.

Sebaik-baiknya apabila mencari rezeki yang baik biarlah bertujuan dan niat yang baik, yakni jika memiliki rezeki yang berlebihan, tujuannya untuk membantu mereka yang kesusahan. Yakinlah jika meniatkan mencari rezeki bertujuan untuk menolong orang yang susah, ALLAH tidak akan menyempitkan laluan rezekinya.  Malah bukan mustahil, jika pada mulanya rezeki sempit,  ALLAH akan membuka perlahan-lahan sehingga pintu rezekinya menjadi luas.

Tiada ulasan: