Jumaat, 22 Mei 2015

REZEKI TIDAK DATANG BERGOLEK



KEBANYAKAN rezeki mesti dicari. Rezeki tidak akan datang bergolek jika tidak ada sesiapa yang menggoleknya. ALLAH sudah mengingatkan umatnya dalam surah ar-Ra’adu ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Jika dikaitkan dengan rezeki, manusia itu sendiri yang mesti berusaha untuk mendapatkannya bukannya ALLAH melonggokkan rezeki di hadapan kita. Perhatikan, burung-burung pun mesti keluar dari sarangnya untuk memenuhkan perutnya dengan terbang mencari rezeki, tetapi kenapa manusia yang mempunyai akal dan fikiran masih duduk termenung mengharapkan rezeki datang bergolek?

Manusia mesti mengubah sikapnya daripada sifat malas kepada sifat rajin untuk menambahkan rezeki. Jika manusia itu sendiri enggan mengubahnya, sampai bila-bila pun mereka tidak akan berubah dan rezeki juga tidak akan bertambah. Hanya orang yang bersabar dengan usahanya itu akhirnya akan memberikan hasil.

Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan berasa kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa  serta hasil tanaman. Dan berilah khabar kepada orang-orang yang sabar.”

Lazimnya apabila manusia tidak diuji dengan rasa takut, kelaparan dan kehilangan harta benda, manusia tidak akan mahu merubah hidupnya kerana berasakan apa yang ada padanya hanyalah itulah rezeki untuknya sedangkan ALLAH meminta supaya kita terus berusaha.  Dalam surah al-Baqarah ayat 245, ALLAH menegaskan lagi bermaksud, “ALLAH jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezseki) dan kepada-NYAlah kamu semua dikembalikan.”

Ayat ini menjelaskan sesiapa yang berasakan rezekinya sempit, ini berpunca daripada dirinya yang tidak mahu berusaha manakala apabila dia berusaha meluaskan rezekinya, ALLAH akan sentiasa  meluaskan rezekinya.

Kebanyakan orang menganggap apabila berbicara mengenai rezeki, ia akan berkait rapat dengan harta benda atau wang ringgit sedangkan apabila kita amat-amati rezeki berupa harta benda dan wang ringgit hanyalah sebahagian kecil sahaja dalam hidup ini.  Untuk itu apabila ALLAH memberikan rezeki dalam bentuk lain selain harta dan wang ringgit, jarang ada manusia mahu mensyukuri.

Dalam fikiran mereka sudah tertanam, apabila disebut rezeki sahaja akan terbayanglah wang ringgit dan harta benda, sedangkan rezeki dalam bentuk nikmat yang lain seperti angin, udara, hujan, siang dan malam dianggap bukan rezeki. Bayangkanlah jika panas atau hujan berpanjangan, bagaimanakah kita mahu mendapatkan rezeki?  Tumbuh-tumbuhan tidak akan boleh hidup dalam keadaan hujan berterusan, begitu juga dengan panas berpanjangan.

Oleh itu kita perlu sedar, dalam hidup kita ada dua rezeki yang perlu diketahui iaitu rezeki umum dan rezeki khusus.

Rezeki umum

Sama ada manusia itu kafir ataupun beriman kepada ALLAH, ALLAH tetap akan memberikannya rezeki seperti kesihatan, rumah, kenderaan. Harta benda, pekerjaan dan sebagainya jika mereka mahu berusaha mendapatkannya. Walaupun rezeki seperti ini dikurniakan kepada ramai manusia, bukan bermakna mereka beriman kepada ALLAH. Contohnya ramai juga orang kafir yang tidak beriman, semuanya mendapat rezeki yang ALLAH berikan.
       
Sesiapa yang diberikan lebihan rezeki dan dikurangkan rezeki, bermakna ALLAH menyanjung atau menghinakan mereka. Hanya manusia yang diberikan lebihan rezeki, akan berkata ALLAH telah memuliakannya dengan kesenangan. Manakala yang disempitkan rezeki akan berkata, ALLAH telah menghinakannya.
        
Mereka tidak sedar bahawa kesenangan atau kesempitan hidup itu sebenarnya satu ujian. Ini dijelaskan dalam al-Quran surah al-Fajr ayat 15-16 yang bermaksud, “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakannya dan diberinya kesenangan maka dia akan berkata, “Tuhanku telah memuliakanku.” Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia akan berkata, “Tuhanku menghinakanku.”

 Rezeki khusus

Rezeki seperti ini hanya ALLAH berikan kepada mereka yang dicintai sahaja. Hanya orang mukmin sahaja yang layak mendapat rezeki seperti ini.  Ini dijelaskan oleh ALLAH dalam surah At-Talaq ayat 11 yang bermaksud, “Dan barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan amal soleh nescaya ALLAH akan memasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalam selama-lamanya. Sesungguhnya ALLAH memberikan rezeki yang baik kepadanya.”
         
Orang-orang kafir tidak akan sekali-kali menikmati rezeki khusus ini kerana ia merupakan anugerah kepada orang mukmin yang sentiasa beriman.
         
ALLAH menegaskan dalam surah Sad ayat 49-54 yang bermaksud, “Ini adalah kehormatan bagi mereka dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar disediakan tempat kembali yang baik iaitu syurga ‘Add yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka, di dalamnya mereka bersandar (di pelamin) sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu. Dan di samping mereka ada bidadari-bidadari yang redup pandangannya  dan sebaya umurnya, inilah apa yang dijanjikan kepadamu pada hari perhitungan. Sesungguhnya ia adalah rezeki dari Kami yang tiada kehabisan.”

Tiada ulasan: