Khamis, 29 Januari 2015

BIASAKAN SOLAT MALAM



BAYANGKANLAH jika solat subuh pun selalu tertinggal atau terlewat menunaikannya, bagaimanakah hendak mengamalkan solat malam yakni bangun pada sepertiga malam lebih kurang di antara pukul 3.00 pagi untuk menunaikan solat tahajud? 
      Walaupun hukum solat tahajud atau solat malam ini hanya sunat sahaja tetapi kelebihannya amat besar sekali. Tidak ramai yang tahu kelebihan yang ALLAH berikan kepada mereka yang mengamalkan solat tahajud ini kerana waktu yang dianjurkan itu ialah waktu paling enak untuk ‘tidur mati’.
   Tetapi bagi mereka yang merasakan kelazatan nikmat solat tahajud, mereka akan sentiasa tertunggu-tunggu detik itu kerana saat hening seperti itulah waktu yang sesuai sekali untuk bermunajat kepada ALLAH. Para malaikat akan turun ke dunia untuk melihat hamba-hamba-Nya yang kusyuk menunaikan ibadah kepada ALLAH.
     Kenikmatan hidup di dunia mungkin tidak dapat dirasakan oleh mereka yang rajin bertahajud setiap malam, tetapi ALLAH menjanjikan tempat yang terbaik pada hari akhirat kelak.
     Ini ditegaskan sendiri oleh ALLAH dalam al-Quran surah al-Israk ayat 79, ALLAH berfirman yang bermaksud, “…....dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah ’sembahyang tahajud’ padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.”
     Dalam menjalinkan hubungan di antara manusia dengan ALLAH, solat tahajud merupakan peluang keemasan yang ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan tetapi sejauh manakah manusia merebut peluang itu? Tidak dinafikan sejumlah besar umat membiarkan sahaja peluang kemasan itu berlalu begitu sahaja. Alangkah ruginya manusia, setelah diberikan peluang keemasan tetapi diabaikan begitu sahaja.
       Sudah tentulah banyak alasan akan diberikan mengapa sedikit  yang mahu merebut peluang keemasan itu kerana  menganggap ia hanya sunat bukan perkara wajib selain syaitan akan berusaha sedaya upaya supaya umat manusia terus tidur daripada bangun menyembah ALLAH.
         Abu Hurairah merekodkan dalam sebuah hadis  Rasulullah s.s.w berkata, “Syaitan mengikat tengkuk kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk pada setiap ikatan, ‘Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah.’ Apabila kamu bangun dan berzikir mengingati ALLAH, maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk, terbuka satu lagi ikatan. Apabila kamu solat, terbukalah satu ikatan lagi. Maka di pagi hari, kamu segar dan bersemangat. Sekiranya tidak, di pagi hari tentu kamu berasa lesu dan malas.”
           Begitu hebatnya syaitan mengekang umat Muhammad daripada bangun bersolat tahajud tetapi mereka yang pernah merasai kelazatannya  bermunajat kepada ALLAH, terasa rugi jika meninggalkan terus solat malam ini walaupun dibelenggu syaitan setiap penjuru.
          Pada sepertiga malam pintu langit akan terbuka luas bagi sesiapa yang mahu bertaubat dan ALLAH sudah tentu menerima taubat hamba-Nya. Manakala Malaikat yang turun ke dunia membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
              Dalam sebuah hadis  direkodkan oleh Abu Daud,  Rasulullah s.a.w menegaskan , “ALLAH  sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. ALLAH sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.”
             Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa yang mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan ALLAH sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.”
Lima kurniaan di dunia ialah:
1.       Dijauhi  daripada segala penyakit
2.        Terdapat  kesan takwa pada wajahnya
3.        Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia
4.        Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
5.        Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati).
Sementara empat perkara di akhirat ialah:-
1.       Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
2.       Dipermudahkan hisab
3.       Cepat melalui siratal-Mustaqim seperti kilat
4.       Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.
Walaupun banyak solat-solat sunat yang dianjurkan tetapi solat tahajud adalah solat yang penting di antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah s.a.w pernah ditanya, “Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?” Beliau menjawab dengan tegas, “Solat malam!” - (Hadis Riwayat Muslim).
Sekiranya ramai umat manusia yang mengetahui keutamaan dan kelebihan solat malam ini, mereka akan berlumba-lumba menunaikannya cuma apa yang menjadi persoalan, sekiranya solat yang wajib pun tidak dilakukan pada waktu yang ditetapkan bagaimanakah mahu menunaikan solat tahajud yang kebanyakan umat manusia pada ketika  itu sedang lena tidur?
Justeru itulah mereka yang tekad bangun untuk solat malam dijanjikan oleh ALLAH keutamaan dan kemuliaan. Dalam al-Quran surah Az-Dzariyat ayat 15- 18 ALLAH berfirman yang bermaksud, “Sesungguhmya orang yang takwa ialah orang yang dijanjikan syurga dengan air yang mengalir di dalamnya. Mereka mengambil apa yang ALLAH berikan kepadanya. Mereka adalah orang-orang yang sedikit tidur pada waktu malam dan pada sepertiga malam mereka bangun dan memohon ampun kepada ALLAH.”
  Mereka yang ikhlas menunaikan solat tahajud adalah orang yang dikasihi ALLAH, hidup mereka sentiasa tenang dan tidak ada sifat sombong dan jika mereka taat kepada-Nya, mereka akan mendapat perlindungan. Ini kerana mereka bangun pada malam hari dan bersujud kepada ALLAH dan tidak semua orang sanggup melakukannya melainkan jika benar-benar taat kepada ALLAH.
            ALLAH menjelaskan perkara ini dalam al-Quran surah al-Furqan ayat 63-64 yang bermaksud, “Hamba-hamba yag dikasihi ALLAH ialah mereka yang berjalan di muka bumi ini yang tidak ada sifat sombong dan jika mereka dianiayai oleh orang jahat, mereka tidak bimbang. Ini kerana mereka pada malam hari akan sujud kepada ALLAH memohon perlindungan.”
           Mungkin ada orang yang tidak percaya membiasakan diri bersolat malam boleh menghindari daripada penyakit, bagaimanapun Salman Al-Farisi menceritakan, Rasulullah s.a.w berkata, “Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”ama-hamba yang dikasihi ALLAHHAMba-Hambaba  

           Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w berkata, “Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti AKU ampuni.’” -  (Hadis Riwayat Al-Jama’ah).
         ‘Amr bin Al-‘Ash pula meriwayatkan Rasulullah s.a.w berkata, “Sedekat-dekat hamba kepada ALLAH adalah pada tengah malam yang terakhir. Apabila kamu dapat menyertai golongan orang yang berzikir mengingat ALLAH pada saat itu, maka lakukanlah.” - (Hadis Riwayat Al-Hakim).
            Bangun solat malam bagi yang tidak biasa melakukan, bukan satu kerja mudah. Selain daripada banyak melakukan dosa-dosa, berkemungkinan juga hal pemakanan yang sumber yang diragui atau yang memang jelas dari sumber yang haram akan membuatkan hati berat untuk bertahajud. Terdapat beberapa petikan dari al-Quran dan hadis yang menganjurkan kita supaya menunaikan solat malam sebagai menambahkan amalan tambahan dan keimanan terhadap ALLAH.
            Dalam al-Quran surah Al-Muzzamil ayat 1- 4, ALLAH  mengingatkan yang bermaksud, Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) di malam hari, kecuali sedikit daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan.”
            Ayat di atas menjelaskan kepada Rasulullah s.a.w yang sedang tidur untuk melakukan solat malam atau solat tahajud. Perlu diingat, perintah solat tahajud bukan untuk Rasulullah s.a.w sahaja bahkan kepada semua umat yang mengaku dirinya beriman kepada ALLAH. Keikhlasan dan ketaatan kita melaksanakan solat malam akan menjadi kayu ukur adakah iman kita sudah benar-benar sempurna?
          Jika kita masih mengabaikan solat malam, ini bermakna tahap keimanannya belumlah sempurna. Oleh itu perbaikilah dengan melakukan solat malam biarpun sedikit tetapi tetap berterusan.
            Sebuah hadis direkodkan oleh Muslim dan Ahmad, dari Jabir r.a, ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya pada malam hari itu benar-benar ada saat yang seorang muslim dapat menepatinya untuk memohon kepada ALLAH suatu kebaikan dunia dan akhirat, pasti ALLAH akan memberikannya (mengabulkannya) doa itu setiap malam.”
              Sementara itu hadis daripada Ahmad, Rasulullah s.a.w berpesan, “Lazimkan dirimu untuk solat malam kerana hal itu tradisi orang-orang soleh sebelummu, mendekatkan diri kepada ALLAH, menghapus dosa, menolak penyakit, dan pencegah dari dosa.”
        Dari Sahal bin Sa’ad r.a., ia berkata, “Malaikat Jibril datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata, ‘Wahai Muhamad, hiduplah sebebas-bebasnya, akhirnya pun kamu akan mati. Berbuatlah semahumu, pasti akan dapat balasan. Cintailah orang yang engkau mahu, pasti kamu akan berpisah. Kemuliaan orang mukmin dapat diraih dengan melakukan solat malam dan harga dirinya dapat ditemukan dengan tidak meminta tolong orang lain.
            Setelah memahami betapa kelebihan  dan keutamaan menunaikan solat tahajud, mulai saat ini bagaimana jika kita berhijrah daripada tidak pernah melakukan solat tahajud kepada menunaikan solat tahajud setelah mengetahui  keistimewaan yang bakal dinikmati.
            Untuk memudahkan kita bangun solat malam, cubalah ikuti panduan yang diberikan ini, semoga ia dapat menmbantu kita yang liat untuk bangun beribadah.
1.        Biasakan  tidur pada awal waktu kerana apabila  tidak cukup tidur akan menyusahkan untuk bangun malam.
2.       Sebelum masuk tidur amalkan adab tidur  seperti yang Rasulullah s.a.w lakukan. Contohnya seperti mengambil air sembahyaang , solat sunat, berzikir, berdoa sebelum tidur dan memasang niat untuk bangun malam.
3.       Tidur dalam keadaan suci dan tidak berhadas besar kerana ia akan menghalang keinginan untuk bangun.
4.       Elak daripada beranggapan bangun solat malam sebagai menyusahkan kerana pemikiran seperti ini akan melemahkan semangat sebaiknya menganggap ia satu peluang yang mesti direbut yang tidak semua orang mampu melakukannya.
5.       Hati hendaklah senantiasa  ikhlas ketika berniat untuk bangun malam dan melakukan solat tahajud.  Niat yang ikhlas, akan meringankan pekerjaan yang  dianggap berat.
6.       Sebelum tidur, pastikan waktu yang tepat untuk kita bangun. Alat penggera seperti telefon bimbit boleh disetkan lebih awal  untuk memudahkan kita terjaga apabila terdengar bunyi penggera itu.
7.       Elakkan daripada menyiapkan kerja yang tidak siap  sehingga lewat malam. Ini  akan menghalang kita daripada bangun solat malam.
8.       Tidur siang sebentar jika ada peluang supaya tidak terlalu mengantuk pada waktu malam untuk bertahajud.
9.       Jangan makan terlalu kenyang sebelum tidur kerana perut yang terlalu kenyang akan membuatkan tidur ‘mati’ dan sukar untuk terjaga.
10.   Jika bekerja pada waktu siang, pastikan tidak terlalu keletihan dan dapatkan rehat yang secukupnya serta kurangkan  aktiviti yang memenatkan.
11.   Berlaku adil terhadap kegiatan rohani dan jasmani kerana kedua-duanya saling memerlukan dan jangan berat sebelah.
12.   Wujudkan rasa kerinduan untuk  bermunajat kepada ALLAH pada setiap malam sebagaimana  rindunya kita ingin berjumpa ketika berkasihan.
13.   Renungkan betapa banyak kelebihan bakal diperoleh jika selalu solat malam dengan ikhlas.
14.   Elakkan daripada melakukan maksiat dan dosa besar kerana ia menurunkan kadar keimanan yang sangat nipis dan sukar untuk melakukan  kebajikan.
15.   Susun jadual dalam keluarga untuk solat malam berjamaah mengikut masa yang ditetapkan sama ada setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali.
16.    Jangan lupa untuk sentiasa berdoa dan memohon kepada ALLAH agar diberikan kemudahan untuk bangun malam dan melakukan solat tahajud dengan ikhlas dan kusyuk.







Tiada ulasan: