Khamis, 29 Januari 2015

BIASAKAN ISTIGHFAR KEPADA ALLAH



TATKALA malam sunyi, sebelum sepasang mata terlena, terdetikkah fikiran kita memikirkan berapa banyakkah kesalahan yang telah dilakukan sepanjang hari, sepanjang minggu atau sepanjang bulan itu terhadap ALLAH?  Tidak pernah atau tidak terkira jumlahnya?  Harus diingat, yang bernama manusia sememangnya tidak pernah sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan terhadap ALLAH.
     Menyedari betapa banyak dosa yang yang kita lakukan seperti meninggalkan suruhan dan melakukan tegahan-NYA, sebanyak mana pula kita memohon ampun kepada-NYA? Setiap saat? Setiap hari atau setahun sekali?
     Tidak malukah kita kepada ALLAH apabila mengaku beriman tetapi masih jauh daripada melakukan apa yang disuruh sebaliknya sering pula melakukan dosa? Sesudah itu kita tidak mahu pula memohon keampunan kepada ALLAH setiapkali melakukan dosa.  
       Untuk memohon keampunan atau bertaubat tidak perlukan belanja yang tinggi. Cukup hanya dengan sediakan sedikit waktu untuk bertaubat atau beristighfar kepada ALLAH.  Jika kita banyak membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah, rugikah jika menyediakan sedikit waktu untuk beristighfar kepada ALLAH?
     Amatlah malang bagi kita sebagai umat Muhammad jika jarang sekali atau tidak pernah beristighfar kepada ALLAH. Istighfar bermaksud memohon ampun kepada ALLAH di atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan dosa kemudian menyesal, cara yang sebaik-baiknya beristighfar disertai dengan niat ikhlas bertaubat tidak akan mengulanginya dan berharap dosa-dosanya akan diampunkan ALLAH.
Beristighfar atau bertaubat berbeza hanya dari segi istilah tetapi membawa maksud yang sama.  Beristighfar menurut hukum Islam ialah merendahkan diri jiwa dan raga memohon keampunan daripada ALLAH yang sepatutnya dilakukan setiap detik bukan hanya setelah melakukan dosa barulah hendak beristighfar.
Saranan supaya memohon keampunan daripada ALLAH ada ditegaskan dalam al-Quran surah an-Nissa ayat 106, yang bermaksud, “Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada ALLAH  kerana sesungguhnya ALLAH  adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi.”
Sesudah ALLAH memperkenankan permohonan keampunan seperti yang ditegaskan dalam ayat al-Quran di atas daripada hamba-Nya, masih  ada juga di antara kita yang liat untuk memohon keampunan seolah-olah ALLAH tidak mengetahui dosa yang dilakukan. 
Sebenarnya ada beberapa ayat di dalam al-Quran yang mengesyorkan supaya mereka yang melakukan dosa  memohon keampunan kepada ALLAH. Di antaranya dalam surah al-Mukminun ayat 55, ALLAH berfirman yang bermaksud, “Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
          Dalam surah Muhammad ayat 19, ALLAH juga menyeru supaya memohon keampunan  bukan hanya untuk diri sendiri malah bagi pihak orang lain juga permohonan keampunan itu digalakan. Firman ALLAH, “Dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan).”
Walaupun beristighfar itu hukumnya sunat  tetapi ia sangat dituntut dan tidak wajar diabaikan bagi mereka yang beriman. Tambahan pula ALLAH sudah  menyatakan kesediaan untuk mengampunkan mereka yang berdosa terhadap-NYA.
           Bayangkanlah jika melakukan kesalahan sesama manusia sanggup untuk meminta maaf kerana takut dengan tindakan yang akan diberikan  tetapi melakukan dosa terhadap ALLAH jauh sekali untuk memohon keampunan. Mengapakah boleh terjadi begini? Mereka rasa lebih takut sesama manusia berbanding dengan ALLAH.  
            Beristighfar boleh menghapuskan dosa seseorang dan menambahkan rezeki asalkan dilakukan dengan tulus ikhlas.  Ini ditegaskan oleh Al-Hafizh Ibnu Katsir dalam tafsirnya berkata : "Maknanya, jika kalian bertaubat kepada ALLAH, meminta ampun kepada-Nya dan kalian senantiasa mentaati-Nya, nescaya Ia akan membanyakkan rezeki kalian, menurunkan air hujan serta keberkahan dari langit, mengeluarkan untuk kalian berkah dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan untuk kalian, melimpahkan air susu perahan untuk kalian, membanyakkan harta dan anak-anak untuk kalian, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya bermacam-macam buah-buahan untuk kalian serta mengalirkan sungai-sungai di antara kebun-kebun itu (untuk kalian)."
         Pada satu ketika seorang lelaki bertemu  Imam Al-Qurthubi mengadu kepadanya mengenai bumi yang kekeringan, manusia yang hidup fakir, ketiadaan zuriat serta keringnya tanam-tamaman. Lalu Imam Al-Qurthubi mengatakan kepadanya, “Beristighfarlah kepada ALLAH.” Yang lain mengadu kepadanya tentang kemiskinan maka beliau berkata kepadanya, 'Beristighfarlah kepada ALLAH,” Yang lain lagi berkata kepadanya, “Doakanlah (aku) kepada ALLAH, agar Ia memberiku anak!, maka beliau mengatakan kepadanya, “Beristighfarlah kepada ALLAH. Dan yang lain lagi mengadu kepadanya tentang kekeringan kebunnya maka beliau mengatakan (pula) kepadanya, 'Beristighfarlah kepada ALLAH!"
      Sementara itu dalam al-Quran, surah  Nuh ayat 10-12, ALLAH berfirman yang bermaksud, “ Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai."
     Sebagaimana kita maklum, Rasulullah s.a.w ialah orang yang dijamin  dijanjikan syurga oleh ALLAH tetapi mengapakah baginda masih juga beristighfar tidak henti-henti malah adakalanya sehingga 70 kali dalam sehari. Kita yang belum tentu lagi kedudukan di hari akhirat kelak, mengapa tidak sanggup beristighfar lebih daripada 70 kali sehari?
        Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari, daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w berkata, Demi ALLAH! Sesungguhnya aku minta ampun kepada ALLAH dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali.
       Manakala dalam satu hadis lain yang direkodkan oleh Musli, Rasulullah s.a.w berkata,  Wahai manusia! Bertaubatlah kepada ALLAH, sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya seratus kali dalam sehari.
     Para ulama menjelaskan Rasulullah s.a.w beristighfar lebih daripada 100 kali sehari sebagai menunjukkan kesyukurannya dengan nikmat yang ALLAH berikan di samping supaya umatnya mencontohi apa yang dilakukan yakni beristighfar.
       Di dalam al-Quran ALLAH ada menjelaskan mengenai kelebihan beristighfar  di antaranya ialah menambah nikmat dan kurniaannya dalam bentuk keluasan rezeki, kesenangan hidup dan dijauhi daripada azab sengsara. Ini dijelaskan dalam surah al-Imran ayat 135-136 yang bermaksud,  “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan ALLAH  dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”
      Dalam surah Hud Ayat 3, Allah berfirman yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal salih) akan pahala kelebihan itu.”
       Rasulullah s.a.w  juga ada menjelaskan mengenai kelebihan beristighfar, sebagaimana dalam  hadis qudsi, Anas bin Malik meriwayatkan, dia mendengar Rasulullah  s.a.w berkata yang bermaksud, “ALLAH  berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdoa dan berharap pada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun pada-Ku, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangi-Ku tanpa menyekutukan-Ku dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya.”
             Sementara di dalam hadis lain pula, mereka yang beristighfar akan mendapat rahmat ALLAH dan mendapat ganjaran di atas ketaatan-Nya sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas r.a merekodkan,  “Bersabda Rasulullah s.a.w :  “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya ALLAH akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya.” -  (Hadis riwayat Abu Daud).
KELEBIHAN BERISTIGHFAR
1)   Mendapat  keampunan dari ALLAH  atas segala dosa yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak.
2)   Menghindari  hati dari kegelisahan akibat banyak melakukan dosa.
3)   Mendekatkan diri kepada ALLAH kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada ALLAH  dan untuk mencapai keredaan-Nya.
4)   Mendapat perlindungan dari ALLAH daripada tipu daya dan hasutan syaitan kerana ber- istighfar merupakan perbuatan yang dibenci oleh syaitan.
5)   Mencegah daripada melakukan dosa atau kesalahan kerana beristighfar akan membersihkan hati dari lalai menunaikan tanggungjawab terhadap perintah ALLAH  dan apa yang dilarang-Nya.
6)   Mendapat keutamaan dan anugerah dari ALLAH  berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.





Tiada ulasan: