Khamis, 29 Januari 2015

BANYAKAN BERZIKIR KEPADA ALLH



BERAPA kalikah dalam sehari kita berzikir atau mengingati ALLAH selain menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam? Berzikir bermaksud mengingati ALLAH, menyebut nama-NYA,   mempelajari dan memahami isi kandungan al-Quran. Apabila kita memahami seluruh isi kandungan al-Quran dan merenungkan kejadian alam dan segala  isinya, itu adalah zikir tetapi yang paling hebat berzikir ialah dengan menunaikan solat.
      Mengapakah kita digalakkan memperbanyakkan berzikir? Berzikir merupakan amalan kerohanian yang sangat penting  untuk menjadikan kita manusia yang sempurna imannya. Zikir dapat dilakukan dengan tiga cara. Berzikir melalui  hati, berzikir melalui lisan dan banyak melakukan solat sama  ada yang wajib atau sunat.
Zikir ini juga dikenali seperti berikut:
 1. Zikir Qauli
Zikir qauli adalah zikir dengan menyebut nama ALLAH dengan lidah dan meresapkannya ke dalam hati, seperti bertasbih, tahmid, takbir, istighfar, tahlil, membaca al-Quran dan sebagainya.

2. Zikir Fi’li
Zikir Fi’li adalah zikir dengan perbuatan, umpamanya meninggalkan perbuatan maksiat, menuntut ilmu, mencari rezeki halal, menghibur orang yang sedang kesusahan dan seumpamanya.

3. Zikir Tafakur
Zikir Tafakur adalah zikir yang dilakukan dengan memikirkan makhluk-makhluk ciptaan ALLAH setiap waktu dan keadaan. Zikir inilah yang paling tinggi darjatnya dan diamalkan oleh para solihin. 

Contoh zikir harian.
Sebenarnya banyak jenis zikir tetapi yang afdal dilakukan ialah  zikir  selepas sembahyang itu Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar dan Lailahaillah  sebanyak 33 kali.
      Berzikir tidak memerlukan waktu atau tempat dan ia boleh dilakukan di mana sahaja seperti berzikir dengan hati, dengan lisan dan juga bersolat. Oleh sebab itulah kita digalakan supaya memperbanyakan berzikir sama ada ketika sedang bekerja, memandu, duduk berseorangan atau berkumpulan.
      Dalam al-Quran ALLAH ada mengingtakan dalam surah Al-Ahzab ayat 41, bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman berzikirlah (dengan menyebut nama) ALLAH, zikir yang sebanyak-banyaknya.”
      Berzikir merupakan sebaik-baik ibadah dan sebesar-besar ketaatan daripada seorang hamba kepada penciptanya. Sesudah kita berzikir sebanyak-banyaknya, sudah tentulah kita ingin tahu apakah kelebihan berzikir itu sehinggakan ALLAH memberikan ganjaran kepada mereka yang sentiasa membasahi bibir dengan zikrullah.
1.       Zikir melahirkan budi pekerti yang luhur.
Sentiasa berzikir akan menghindari kita daripada  melakukan perkara yang buruk. Dalam surah al-Ankabut, ayat 45,  ALLAH berfirman yang bermaksud, “Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab,dan dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu dapat menghalangi manusia daripada keburukan dan kemungkaran dan sesungguhnya mengingati ALLAH (berzikir)lebih besar,dan ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 
2.       Zikir mendekatkan diri kepada ALLAH.
Apabila diri terasa dekat dengan ALLAH, bermakna kita di dalam perliharaan-NYA sebagaimana firman-nya dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud, “Kerana itu,ingatlah kamu kepadaKu nescaya aku ingat pula kepadamu,dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari nikmatKu.” 
3.       Zikir boleh menenangkan jiwa.
Hati yang resah gelisah tidak akan dapat dihilangkan dengan berhibur atau bersukaria keciali dengan hanya berzikir mengiungati ALLAH. Ini ditegaskan oleh ALLAH dalam al-Quran surah Ar-Ra’adu ayat 28 yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingat ALLAH,hati menjadi tenteram.”
4.       Berzikir memperoleh keampunan.
Apakah kita tidak berasa  banyak berdosa kepada ALLAH? Jika ya, apakah kita tidak percaya dengan berzikir sebanyak-banyaknya, ALLAH akan mengampunkan dosa-dosa kita malah memberikan lagi pahala?  Ini ditegaskan dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 35, ALLAH berfirman yang bermaksud, “Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama ALLAH (berzikir),ALLAH telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” 
  1. Berzikir dapat melepaskan diri dari bahaya.
Percaya atau tidak, dengan  berzikir sebanyak-banyaknya, kita yang sedang dalam bahaya akan diselamatkan oleh ALLAH?  Oleh itu apabila kita terasa dalam bahaya segeralah mengingati ALLAH.  ALLAH memberi jaminan ini sebagaimana yang difirmankannya dalam surah As-Syafaat ayat 142 yang bermaksud, “Maka Yunus ditelan oleh ikan yang besar.Maka kalau sekiranya,dia tidak termasuk orang-orang banyak mengingat ALLAH,nescaya ia akan tetap tinggal dalam perut ikan itu hingga hari berbangkit.”
  1. Berzikir memperoleh pahala yang tinggi.
Sebagaimana ibadah yang lain, ALLAH juga  akan memberikan ganjaran yang besar kepada mereka yang sentiaza berzikir.  Ini dijelaskan dalam satu hadis  direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah berkata, “Dua kalimah yang tercinta kepada Tuhan Yang Pemurah, ringan diucapkan pada lidah, berat dalam timbangan iaitu: Subhanallahi Wabihamdihi, Subhanallahil Aziim.
Selian yang disebutkan di atas, berzikir juga mempunyai kelebihan seperti:
1.                 1.Mengusir syaitan dan melemahkan kekuatan syaitan.
  1. Menyebabkan ALLAH reda
  2. Menghilangkan perasaan cemas dan kebimbangan.
  3. Merasa kesenangan dan kebahagiaan dalam hati.
  4. Menguatkan anggota badan dan fikiran.
  5. Mencerahkan mata dan hati.
  6. Membuka pintu rezeki.
  7. Menghidupkan hati.
  8. Melindungi dari perangkap dan penyelewengan.
  9. ALLAH membanggakan orang yang berzikir di hadapan para Malaikat.
  10. Membantu kepada semua bentuk ibadah yang lain.
Adab Berzikir
Sebagaimana ibadah yang berzikir juga mempunyai adabnya sendiri, ini ditegaskan dalam al-Quran surah Al-‘Araf ayat 205 yang bermaksud, “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut,dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
            Selain berzikir, kita juga digalakan supaya berdoa kepada ALLAH kerana berdoa juga satu ibadah dan sebagai tanda manusia merendah diri kepada-Nya malah ALLAH lebih suka hamba-Nya meminta sesuatu kepada-Nya sebagai tanda komunikasi ALLAH kepada hamba-Nya.
               Saranan supaya berdoa ada dijelaskan dalam al-Quran surah al-Mukminun ayat 60, ALLAH berfirman yang bermaksud, ”Minta doalah daripada-Ku, aku menerima doamu."
            Doa merupakan senjata bagi orang mukmin untuk mengharapkan sesuatu daripada ALLAH. Sama ada ALLAH akan memakabulkan atau tidak, hanya ALLAH sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Rasulullah s.a.w pernah menegaskan doa itu merupakan otak bagi ibadat.  Orang yang beribadah tanpa doa ibarat manusia yang tidak menggunakan otak untuk berfikir. Rasulullah s.a.w yang sudah dijamin syurga untuknya juga tidak berhenti-henti berdoa mengharapkan pertolongan ALLAH, apatah lagi kita yang belum tentu kedudukan sama ada di syurga atau sebaliknya.
Di dalam al-Quran ada ditegaskan supaya kita berdoa di dalam bebepa ayat di antaranya:
Surah al-Fatihah ayat 5,67 yang bermaksud, ”Hanya Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukannya jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat."
Surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada ALLAH dengan sabar dan solat. Sesungguhnya ALLAH beserta orang-orang yang sabar."
Surah al-Baqarah ayat 201-202 yang bermaksud, “Dan di antara mereka ada orang yang berdoa : Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan peliharalah kami dari siksaan neraka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan ALLAH sangat cepat perhitungan-Nya."
Surah al-Imran ayat 8 yang bermaksud, “Mereka berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya"
Surah as-Syuara ayat 83-85 yang bermaksud, “Wahai Tuhanku, berilah diriku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh dan jadikanlah bagiku sebutan dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. dan jadikanlah daku daripada orang-orang yang mewarisi syurga jannatun Naim."
Hadis direkodkan oleh Abu Daud dan At-Tirmizi, Rasulullah s.a.w berkata,
“Sesungguhnya Tuhan kamu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu sangat pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa tetapi tidak dimakbulkan permintaannya itu.”
Hanya ALLAH sahaja yang tahu sama ada doa seseorang itu dimakbulkan cepat atau lambat, bagaimanapun sebagai umat yang beriman disarankan supaya tidak jemu-jemu berdoa dengan hati ikhlas dan penuh mengharap.
Adab Berdoa

Adab berdoa wajib dipatuhi untuk memastikan doa yang kita pohon itu dimakbulkan ALLAH.

1. Dilakukan pada saat-saat yang mulia, seperti hari ‘Arafah, bulan Ramadan, hari Jumaat, antara dua khutbah solat Jumaat, antara azan dan iqamah dan sebagainya.

2. Dilakukan dengan penuh khidmat.

3. Menghadap ke kiblat dan menadahkan kedua-dua belah tangan.

4. Merendahkan suara, sekadar dapat didengar oleh telinga sendiri.

5. Menggunakan bahasa yang sederhana atau lebih diutamakan menggunakan doa-doa yang berasal daripada Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabiin.

6. Khusyuk dan merendahkan diri.

7. Hendaklah berasa yakin doanya akan dikabulkan dan tidak merasa kecewa atau berputus asa apabila doanya belum dikabulkan.

8. Mengulang-ulangi doanya dengan penuh keyakinan.

9. Memulai berdoa dengan menyebut nama ALLAH, memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w, serta diakhiri dengan bacaan hamdalah atau kalimah yang memuji ALLAH.

10. Melaksanakan adab batin, yakni:

i. Bertaubat sebelum berdoa.

ii. Menghadapkan diri sepenuhnya kepada ALLAH.

iii. Makan dan minum serta berpakaian dari barang yang halal.

iv. Tidak meminta perkara-perkara yang mustahil.

v. Tidak meminta untuk mencelakakan orang lain, kecuali orang yang zalim.












Tiada ulasan: