Selasa, 9 Februari 2016

MEMAKAI DUA JUBAH SEUMPAMA BERINFAK



DALAM al-Quran banyak ayat yang menceritakan kelebihan orang yang berinfak dan bersedekah. Selain ALLAH SWT akan menambahkan rezeki, mereka yang berinfak juga akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda. Selain itu banyak lagi kelebihan orang yang berinfak sebagaimana yang ALALH SWT janjikan.
Gambaran orang yang selalu berinfak seumpama seorang lelaki yang memakai dua jubah atau dua baju besi. Sudah tentu jubah atau baju besi ini mememiliki keistimewaannya sendiri. Jika tidak, mana mungkin Rasulullah SAW menggambarkan kelebihan orang yang berinfak ini di dalam hadis.

Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan orang yang berinfak dan orang yang bersedekah adalah seperti seorang lelaki yang mengenakan dua jubah atau dua baju besi mulai dadanya sampai ke atas. 

Apabila orang yang berinfak hendak berinfak, (dalam riwayat lain) Apabila orang yang bersedekah hendak bersedekah, maka baju itu menjadi longgar padanya. Dan kalau orang bakhil hendak berinfak, maka baju itu menjadi sesak dan terasa kecil, sehingga dapat menutupi jari-jarinya dan menghapus jejaknya. Lalu ia berkata: Kata Abu Hurairah ra.: Kemudian beliau bersabda: Orang yang bakhil ingin melonggarkan pakaiannya, tetapi tidak longgar. – HR Muslim.

Berpandukan hadis di atas, mungkin kita dapat membayangkan bagaimanakah keadaannya seseorang yang memakai baju besi. Baju besi ini lazimnya digunakan sebagai keselamatan diri ketika berperang.
        
Baju besi ini bukan dipakai keseluruhannya pada badan. Menurut hadis ini, baju besi ini dikenakan bermula pada paras dada sampai ke bahu. Bermakna, apabila seseorang yang memakai baju besi ini dan kemudian perg berperang, keselamatannya terjamin daripada terkena tikaman pedang, lembing, tombak atau anak panah daripada menembusi dada.
          
Sekiranya  pemakaian baju besi ini diumpamakan orang yang menginfakkan hartanya, bermakna mereka mampu terhindar daripada bencana.  Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “Bersegeralah bersedekah sebab bala bencana  tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu suatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala bencana dan yang paling ringan adalah penyakit kusta dan sopak.” – HR Al-Baihaqi dan At-Tabrani.
         
Dalam satu kisah,  malaikat maut menemui Nabi Ibrahim as dan bertanya, “Siapa anak muda yang tadi bertamu ke rumahmu?”  Jawab Nabi Ibrahim, “Ia sahabat sekaligus muridku.” “Apa maksud kedatangannya menemuimu!” “Dia mengutarakan niatnya akan menikah esok pagi,” Jawab Nabi Ibrahim. ”Sayang sekali ya, usia anak muda itu tidak akan sampai esok pagi,” ujar malaikat maut.

Setelah itu ia segera meninggalkan Nabi Ibrahim. Ternyata esok harinya Nabi Ibrahim masih melihat dan menyaksikan  pernikahan anak muda itu. Bahkan usia anak muda itu sampai 70 tahun. Apabila Nabi Ibrahim bertanyakan kepada malaikat maut, ia menjawab, “Wahai Ibrahim, di malam menjelang pernikahannya, anak muda tersebut menyedekahkan separuh dari kekayaannya. Dan ini yang membuatkan  ALLAH memutuskan untuk memanjangkan umur anak muda tersebut, hingga engkau masih melihatnya hidup.”
         
Begitulah sebahagian kisah yang menceritakan betapa sedekah bukan sahaja mendapat ganjaran ALLAH, tetapi mereka yang bersedekah sentiasa mendapat perlindungan ALLAH sama ada terhindar daripada bala bencana malah ALLAH akan memanjangkan usia mereka yang bersedekah.
       
Tidak dinafikan, sesiapa yang memakai baju besi akan terasa berat dan badan terasa sempit dan tidak selesa untuk bergerak. Menurut hadis di atas, sesiapa yang berinfak baju ini akan menjadi longgar. Bermakna sesiapa yang berinfak, ALLAH SWT akan memberikan kelapangan daripada bebanan yang menimpa.
           
Manakala bagi orang yang tidak mahu berinfak, dia seumpama memakai baju besi dan terasa ia sangat sempit, tidak selesa malah bebanan yang sangat berat. Ini menggambarkan betapa orang yang tidak mahu berinfak, kehidupan tidak berubah. Sentiasa dalam kesempitan kerana ALLAH SWT tidak memberikan kelonggaran rezeki.
          
Walaupun orang yang tidak berinfak ini cuba untuk melonggar baju besinya tetapi ia semakin pula mengecil. Ini memberi makna mereka yang enggan berinfak langsung, kehidupan sentiasa dalam kesempitan.  

Untuk itu, hadis ini sebenarnya mahu mengingatkan manusia supaya sentiasa berinfak sekiranya mahukan kehidupan yang selesa dan  bebas daripada kesempitan hidup.

Tiada ulasan: