Selasa, 9 Februari 2016

BERTAWAKAL MENCARI REZEKI SEUMPAMA BURUNG



APABILA setiap pagi kita mendengar kicau burung, bermakna haiwan berkenaan sudah bersedia keluar dari sarang untuk mencari rezeki. Tidak ada sesiapa pun tahu di mana rezeki burung itu pada hari itu. Berbanding dengan kita yang sudah tahu tempat kerja kita di mana, kita akan terus menuju ke tempat kerja.
 Berbanding burung, ia akan terbang ke merata-rata tempat. Di mana burung ternampak ada rezeki di situ, ia akan berhenti.   Kemudian burung akan terbang lagi mencari makanan untuk anak-anaknya yang ditinggalkan dalam sarang. Begitulah keadaannya setiap hari. Burung akan bertawakal kepada ALLAH SWT. Apa yang pasti burung akan keluar sarang dan bukan mengharap rezeki datang kepadanya.

Sekiranya kita menjadi seperti burung itu, sememangnya wajar untuk kita bertawakal kepada ALLAH SWT ketika mencari rezeki. Bagi yang bekerja tetap, mungkin tidak ada masalah mendapatkan rezeki. Tetapi bagi mereka yang berniaga atau menjalankan kerja sendiri, sikap tawakal wajib ada.

Sebagai contoh seorang penjual air minuman di gerai-gerai atau di tepi jalan. Jika hari panas terik, sudah tentunya rezekinya bertambah. Tetapi tidak siapa pun tahu, esok atau lusa hujan akan turun sepanjang hari. Sudah tentu rezekinya berkurangan. Peniaga seumpama ini wajar bertawakal.

Sehubungan dengan tawakal dalam mencari rezeki, Rasulullah SAW memberikan perumpamaan burung yang untuk dijadikan contoh kepada manusia.

Rasulullah SAW bersabda, “Seandainya kamu sekalian benar-benar bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kalian seumpama Ia memberi rezeki kepada burung. Di mana burung itu keluar pada waktu pagi dengan perut kosong  dan pada waktu petang kembali dengan perut kenyang.” – HR Tarmizi dan Ibnu Majah.

Burung-burung seringkali dikaitkan dengan pencarian rezeki. Kenapa burung? Bukan haiwan lain?  Burung satu model yang unik untuk dijadikan perbandingan kepada manusia. Kita belum bangun subuh, burung-burung sudah berkicau di keliling rumah memanggil burung-burung lain supaya terbang mencari rezeki awal pagi dan bukan waktu matahari telah meninggi.      

Pagi-pagi lagi burung-burung akan keluar dari sarang, terbang ke merata pelosok mencari rezeki dan akan bertemu dengan pelbagai suasana, hujan, panas, petir, ribut dan sebagainya. Semua itu dilalui dengan tabah demi untuk mencari rezeki bagi mengisi perutnya.

Burung-burung yakin, setap kali keluar mencari rezeki, ALLAH sudah telah menyediakan. Hanya burunglah yang perlu mendapatkannya. Burung-burung akan mengutip rezeki di mana sahaja dan akan pulang dengan perut kenyang. Bagaimana burung boleh tahu di mana ada rezeki atau tidak, bukan seperti kita yang setiap hari akan ke tempat yang sama (tempat bekerja)?     

ALLAH telah mengurniakan naluri kepada burung untuk menghidu di mana rezekinya sedang menanti, berbanding manusia yang sememangnya tahu di mana tempat bekerja, di situlah manusia akan tertumpu. Burung bukan mencari rezeki untuk dirinya sahaja malah berulang kali pulang ke sarang menghantar makanan kepada anak-anaknya.

Meskipun adakalanya burung dianggap sebagai perosak buah-buahan tetapi kebaikan ada pada burung, di mana burung mampu untuk membiakkan biji benih dan menumbuhkan pokok-pokok baru. Manakala bagi penamam pokok-pokok yang buahnya di makan burung, ia merupakan satu sedekah dan penanamnya juga mendapat pahala kerana memberi rezeki kepada burung.

Burung-burung juga seperti manusia, tidak terlepas daripada ujian ketika mencari rezeki. Adakalanya burung-burung sedang mencari rezeki tiba-tiba termasuk dalam perangkap pemikat burung. Burung dipelihara dan dikurung di dalam sangkar. Adakalanya juga budak-budak nakal melastik burung yang sedang mencari rezeki, mati burung itu.

Manakala anak-anak yang ditinggalkan dalam sarang, adakalanya pokok tempat membuat sarang ditebang atau terbakar, mati juga anak-anak burung itu. Apabila burung pulang, hanya asap berkepul-kepul yang tinggal. Namun bagaimanakah kita hendak mengerti kesabaran burung berhadapan dengan ujian ini?


Tiada ulasan: